Aku segumpal darah, wujudnya aku umpama oksigen buat manusia. Lahirnya aku seperti cahaya kepada bumi. Hidupnya aku membuat membuat tuan aku hidup tanpa sia-sia. Matinya aku memberi kesan seribu erti.

Rasulullah bersabda melalui hadisnya: “Dalam setiap manusia ada segumpal darah (sepertiku), jika baik darah itu maka baiklah keseluruhan tubuh, jika buruk maka buruklah keseluruhan tubuh.”

Aku diberi nama “HATI”.

Aku dilahirkan bersama tuan aku tanggal 16 Muharram dalam keheningan subuh pagi. Terdengar tangisan sayup tuan aku menjadi tanda bahawa aku bersama tuan aku telah berada di satu alam lain yang asing bagi kami yang penuh dengan cabaran dan ujian, pasti! Semoga aku mampu membentuk dan membimbing diriku dan tuan aku ke arah kebaikan.

“Hati itu seperti Raja dalam tubuh badan, akal pula seperti penasihat dan tubuh ibarat rakyat yang mematuhi sang raja. Jika sang raja berjaya memandu kerajaan ini ke arah kebaikan, maka kebaikanlah yang akan diperoleh oleh kerajaan ini, samada kebaikan dunia mahupun akhirat.

Hari berganti hari detik berlalu pergi, kami membesar dengan sihat dengan rezeki dan nikmat Ilahi. Setiap ujian dan perasaan kami lalui bersama. Susah senang jerit perih, pahit manis semua dihadapi bersama.

Aku merasakan bahawa setiap hati di dunia ini menjadi satu kepentingan yang sangat besar buat manusia seperti pentingnya otak dan akal kepada sang genius, seperti pentingnya cahaya buat tumbuhan dan mahkluk yang lain. Manakan tidak, aku disebut berulang kali dalam Kalam Allah, hadith-hadith Baginda s.a.w. bahkan dalam perbualan manusiawi seharian. Sememangnya benar sabda Rasulullah bahawa aku memberi 1001 erti dalam kehidupan sang bernyawa.

Sepanjang hidupku, aku tidak pernah dilupakan oleh tuan aku. Sentiasa sahaja aku dihidangkan dengan pelbagai santapan rohani. Bacaan al-Quran, tazkirah dan peringatan, alunan zikir dan sebagainya menjadi juadahku sehari-hari serta menjadi penenang dalam kehidupanku.

“Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Lumrah manusia tidak dapat lari daripada melakukan maksiat dan dosa. Tatkala kesilapan itu dilakukan oleh tuan aku, aku juga terkena tempiasnya. Satu kekhilafan dosa dan turutan nafsu duniawi dilakukan, timbul satu titik kecacatan pada diriku seperti titiknya dakwat yang di hamparan putih dan begitulah berikutnya. Namun aku tetap bersyukur hidup di dalam tuan aku yang sentiasa menjagaku dengan baik. Setiap kecacatan pada diriku, segera diubati dengan ubatan istighfar dan rawatan taubat. Maka aku kembali pulih.

Terkadang aku bersimpati dengan rakanku yang lain yang langsung tidak dijaga oleh tuannya sehinggakan ia menjadi lumpuh akibat titik kecacatan yang hanya berpunca dari titik dosa yang kecil, namun tanpa ubatan dan rawatan manakan tidak ia menjadi parah. Tidak dapat tidak, untuk kembali kepada fitrah manusia normal setiap hati perlu dirawat dan diubat selain dijaga dengan baik.

Aku juga makhluk dan tuan aku juga makhluk, mustahil makhluk lemah seperti aku dapat hidup sihat sepanjang masa setiap waktu setiap saat. Seperti manusia, aku juga kadangkala jatuh sakit akibat penyakit ujian dan pujian yang menguji. Riya’, takabbur, sombong dan sum’ah antara penyakit yang sering aku hidapi dan sangat merbahaya. Sifatnya seperti barah yang sukar dikesan diperingkat awal dan sungguh mudah merebak. Maka sebagai penawar, aku dibantu oleh ‘penasihat raja’ dan ‘rakyat jelata’ berusaha mengubati dan mencegah daripada dihidapi oleh penyakit ini atau daripada merebaknya penyakit-penyakit ini. Tawaddu’, ikhlas, ilmu, zikir dan doa menjadi antara penawar tebaik bagi ‘penyakit hati’ ini.

Hati yang suci akan memanifestasikan sikap dan perlakuan yang baik lagi mulia, manakala hati yang kotor lagi dicemari akan menghasilkan gerak laku dan karakter hodoh lagi buruk sebagai seorang manusia jauh sekali sebagai seorang muslim yang beriman. IMAN dalam diri akan menjadi pemandu dan pelindung terbaik buat hati-hati manusia yang mudah tercemar. Menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan memelihara hati kita daripada tercemar dek kotoran dan kecacatan dosa yang sering kita lakukan. Kita bukannya Nabi yang akan hadir malaikat untuk mencuci hati kita dan kita juga tidak maksum, maka adalah perlu untuk kita sentiasa perbanyakkan istighfar dan taubat semoga hati kita terpelihara dan terjaga.

Jatuh bangun adalah lumrah bagi setiap makhluk. Tidak hairan jika suatu hari aku hancur berkecai, jika suatu hari aku remuk dek kekecewaan dan kesedihan, tidak hairan aku jatuh futur dek kelemahanku namun bersamaku suatu harapan…

Aku harap aku akan mati bersama tuan aku. Bukannya aku mati dahulu tatkala tuan aku hidup…hidup tanpa hati nurani sebagai seorang Muslim. Nauzubillah.

Wallahu a’alam.

-hamba Allah-

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :