logo-150x150

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat ilahi kerana masih berada dalam nikmat Islam dan Iman yang kita kecapi sejak sekian lama. Selawat dan salam buat baginda Nabi Muhammad SAW, keluarga dan juga sahabat-sahbat baginda. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan rahmatNya, dan sentiasa memperoleh petunjukNya dalam setiap urusan.

Sedar atau tidak, kita sudah kembali ke tahun pengajian yang baru iaitu sesi 2015/2016. Sesungguhnya masa berlalu dengan begitu cepat. Banyak dugaan dan cabaran yang telah kita tempuhi  dengan suka dan duka. Sesungguhnya segala dugaan dan cabaran itulah yang mematangkan akal fikiran kita sebagai mahasiswa sains kesihatan yang menuntut di bumi Kinanah ini dan juga menguatkan hati dan iman.

Pada awal permulaan sesi pengajian, kita dikejutkan oleh keputusan pihak universiti yang ingin menukarkan sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu mengikut semester kepada sistem peperiksaan akhir tahun bagi pelajar-pelajar klinikal. Hal ini bermakna tidak akan ada lagi  peperiksaan akhir semester 1 dan 2 bahkan para pelajar akan menduduki semua peperiksaan akhir subjek/jabatan pada tahun tersebut di akhir tahun pengajian.

Berikutan dengan itu,  Biro Akademik dan juga Jabatan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Dr Hala Maklad dan juga Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Iskandariah, Dr Muhammad Hesham Abdul Monem bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan keputusan yang dibuat ini. Pendapat dan suara-suara para pelajar tahun klinikal juga telah dikutip melalui ‘Student Representatives’ dan telah disampaikan kepada mereka. Rata-rata pelajar tidak bersetuju dengan keputusan untuk menukarkan sistem peperiksaan akhir tahun ini dan ingin menukarkan semula kepada sistem yang asal di atas beberapa sebab musabab.

Maka pihak universiti membincangkan semula berkenaan perkara ini setelah menerima petisyen dan surat bantahan daripada para pelajar dan juga daripada pihak MARA. Setelah beberapa minggu menunggu , maka pada 26.11.2015 yang lalu ,Dr. Hala Maklad memaklumkan bahawa pihak unversiti bersetuju untuk menukarkan kembali sistem peperiksaan akhir tahun ini kepada sistem peperiksaan mengikut semester.

Sekalung penghargaan kepada Ustaz Ahmad Sofi bin Abdullah yang mewakili pihak Pejabat MARA Mesir dan secara tidak langsung membawa suara para pelajar, ‘Student representatives’ dan semua pelajar yang membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan usaha ini. Berikutan dengan itu, jadual pembelajaran yang sedia ada dijangka akan berlaku beberapa perubahan dan sehubungan itu, semua ‘Student Representatives’ bagi setiap tahun klinikal diminta untuk cakna akan perkara ini.

 

Siruu `Ala Barakatillah.

 

“Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

“PCI di hati kami”

 

DSC06635

KHAIRUL ANUAR BIN BAHRIM

Ketua

Biro Akademik

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2015/2016.

MC-1

 

AIN FATINI BIN IBRAHIM

Timbalan Ketua

Biro Akademik

PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2015/2016.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :
  • Iman Azlan

    Alhamdulillah. Lega !