tumblr_mfze54slCp1qkpgr0o1_500_large

‘ SUNGGUH , AKU RINDU ’

PROLOG

Masing-masing ada kisah mereka. Masing-masing punya seribu satu cerita dan jalan cerita.

Tetapi, izinkan aku berbicara mengenai aku dan dia.

Si dia yang berjaya merebut hatiku. Si dia yang benar-benar memberi impak dalam diri ku.

Oh ya, belum sampaikah lagi waktu aku menceritakan siapa si dia?

Dialah Muhammad bin Abdullah , Kekasih Allah SWT .

Muhammad yang agung.

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi)
rahmat bagi semesta alam.”

(al-Anbiya; 107)

……………………………………………………………………………………………………

Aku terdiam. Berfikir. Tetapi tanpa isi. Kata-kata ustaz yang lahir daripada penceritaan beliau mengenai seorang insan yang agung, benar-benar menarik perhatianku. Jujur aku katakan, bukan aku tidak mengenali insan agung yang diceritakan ini. Cumanya, aku seperti yang lain. Mengenali si dia hanya melalui buku-buku teks sekolah atau ceramah-ceramah khas yang dianjurkan di sekolah setiap kali tiba hari kelahiran insan ini. Siapa ahli keluarganya, sahabat karibnya,perjuangannya dan peribadinya, belum sempat aku hadam sepenuhnya. Tetapi segalanya berubah taktala pulang daripada kelas agama yang dianjurkan oleh pihak universiti.

Ustaz memulakan bicaranya dengan ayat daripada Rasulullah SAW. “Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka” Hanya dengan satu ayat, mampu meruntunkan hati ini. Kata-kata ini bukan diungkapkan oleh ahli keluarga mahupun sahabat. Tetapi kata-kata ini lahir dari mulut insan yang paling Dia kasihi. Ditambah pula,ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu. Hati ini mula tersentak. Allah,ini kalam Rasulullah SAW. Ustaz meneruskan lagi ceramahnya dengan menceritakan suasana ketika ungkapan ini dilafazkan semasa zaman Rasulullah SAW.

………………………………………………………………………………………………….

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya yang tenang berubah warna.

“Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? ” Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

“Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan),” suara Rasulullah bernada rendah.

“Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah,” kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, “Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.”

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: “Siapakah yang paling ajaib imannya?” tanya Rasulullah.

“Malaikat,” jawab sahabat.

“Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah,” jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, “Para nabi.”

“Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka.”

“Mungkin kami,” celah seorang sahabat.

“Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau,” pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

“Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui,” jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

“Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku,” jelas Rasulullah.

“Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka,” ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

……………………………………………………………………………………………………

“Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka.” Usai pulang daripada kelas agama tadi, hanya ayat ini sahaja berlegar di mindaku. Seakan ada suatu getaran yang mengusik jiwa ini. Terdetik di hati, “ Sampai begitu sekali tingginya kasih sayang Rasulullah SAW terhadap ummat baginda. Begitu hebat sekali ummat baginda sehingga baginda begitu merindukan kita. Rasulullah SAW rindukan aku. Aku? ”

Allah. Sayu benar hati hambaMu. Sebak. Sayu. Mengenangkan kasih Rasulullah SAW terhadap ummat baginda. Aku juga mahu rindukan baginda. Aku juga mahu baginda menjadi sebahagian daripada hidup aku. Tetapi..bagaimana? Aku hambaNya yang penuh khilaf. Aku ummat baginda yang pernah memandang enteng akan sunnah-sunnah Rasulullah. Allah,aku malu dengan MU. Aku malu dengan kekasih MU.

Dalam sayu, sedetak aku terimbas kembali akan kalam Ibnu al-Qayyim di dalam kitabnya, “Jalaul Afham” berkata, “Setiap kali seorang hamba banyak menyebut nama yang dicintainya dan menghadirkan kebaikan-kebaikannya di dalam hati; mengingat sisi-sisi positifnya, niscaya akan bertambahlah kecintaannya kepada yang dicintainya tersebut dan akan menambah pula kerinduannya untuk berjumpa dengannya. Ini semua akan menguasai semua relung hatinya.”

Namun,serba serbi mengenai insan mulia ini hanyalah umpama dipermukaan air sahaja. Bukanlah namanya yang kerap terpancul di bibir ini. Bukanlah sirahnya yang ingin diambil peduli. Bukanlah dirinya yang digembar-gembur menjadi idola hati. Lalu Tuhan, adakah benar palsu akan cinta ini?

Usai menunaikan solat, persoalan-persoalan tadi umpama dijawabkan terus melalui kalamNya taktala diri membuka Al-Quran.

“ Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. ”
(Surah ali-Imran: ayat 31)

Allah. Ampuni aku. Air mata mengalir deras.
Beberapa hari selepas itu, perpustakaan universiti menjadi tempat berehatku. Jika semua orang sibuk untuk menyiapkan assigment masing-masing, aku sibuk membedah buku-buku sirah mengenai salah silah Rasulullah SAW serta kisah-kisah perjuangan baginda bersama sahabat.

Aku tidak mahu menjadi ummat baginda yang dahulu. Yang hanya mengenali baginda setakat di kalimat La ila ha illa Allah atau hanya berselawat bila tiba sambutan Maulidur Rasul. Aku mahu menjadi ummat baginda yang baginda rindukan dahulu. Semakin diri mengetahui serba serbi mengenai Rasulullah SAW, semakin bertambah rasa rindu dan cinta pada baginda.

tumblr_nj7tjkKPkQ1qapk2qo1_500
Akan aku cuba mengamalkan sebanyak mungkin sunnah-sunnah Rasulullah SAW seperti mendahulukan kaki kanan saat memakai sandal dan kaki kiri saat melepasnya. Menjaga dan memelihara wudhuk, bersiwak, mendirikan solat-solat sunat dan beberapa perkara lagi yang lengkap merangkumi kehidupan kita seharian. Sekurang-kurangnya dengan mengamalkan sunnah-sunnah baginda, dapat mengingatkan aku pada insan yang bernama Muhammad SAW ini dan dapat membuatkan aku merasakan yang baginda sentiasa bersama denganku. Sungguh, benarlah kata-kata Allah SWT mengenai kekasihnya yang disebut dalam Al-Quran ;

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah Al-Ahzaab, ayat 21)

Mereka berkata kamu tidak akan pernah menyukai seseorang tanpa melihat wajahnya.
Aku hanya tersenyum lalu berkata,

“Aku tidak pernah melihat wajah Nabi Muhammad SAW namun aku sangat mencintainya.”

Sungguh, aku rindu padamu duhai Rasulullah SAW dan akan aku bermandi darah dalam mengharungi cabaran cinta ini pada zaman yang penuh fitnah dan mehnah ini.
– Allahummasolli a’ala Saiyiddina Muhammad –

FATIN INANI BINTI MOHD NOH,
TAHUN 5 BACHELOR OF DENTAL SURGERY, ALEXANDRIA UNIVERSITY

– TAMAT –
.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :