kk

Anak muda menari-nari,

Menari riang dalam hujan,

Merantau keluar dari negeri,

Mencari ilmu tanpa sempadan.

Bermula serangkap pantun bukanlah untuk bermadah, tetapi hanya sekadar pembuka bicara. Ceritanya mudah, buat perkongsian untuk adik-adik yang bakal menempuh hidup baharu di sini. Ini adalah perkongsian pengalaman, sebarang perunding cara tidak diperlukan tetapi jika ada yang ingin menambah atau berkongsi juga amat dialu-alukan.

Ketika mendapat tawaran belajar ke Timur Tengah, mesti dalam fikiran kalian akan terbayang-bayang pelbagai perkara yang bakal dihadapi kelak. Tambahan pula, Mesir adalah bumi asing bagi sesetengah pelajar yang bukan berasal dari sekolah berteraskan agama seperti Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) atau sekolah agama yang lain. Akan tetapi, sebagai diri yang kerdil lagi miskin ilmu ini, saya ingin cuba membantu adik-adik untuk memberi gambaran awal serta panduan yang boleh digunakan ketika di bumi Mesir nanti.

“Language barrier”

Ramai sedia maklum, Mesir adalah negara Arab yang terletak di benua Afrika dan mereka mengamalkan budaya arab. Bahasa utama di Mesir adalah bahasa Arab walaupun bahasa arab yang digunakan adalah cuma bahasa arab pasar yang dikenali sebagai bahasa arab ‘ammiyah bukanlah bahasa seperti yang digunakan dalam kalamulllah. Pengaruh bahasa arab Mesir sangatlah meluas sehingga dalam drama-drama selain Mesir (Syria, Yaman, etc) juga boleh kedengaran bahasa pasar ini, hanya saja ia berbeza dari segi loghat bergantung pada suatu negara dan budaya tempat tersebut.

Sebelum datang ke Mesir, mesti adik-adik telah menghadari kursus pre-departure atau kursus intensif bahasa Arab kan? Semasa program itu berlangsung, adik-adik diberi nota dan sedikit catatan untuk digunakan di Mesir terutamanya dalam segi percakapan harian. Adik-adik boleh menggunakan nota itu dan mengulangkaji serta menghafal beberapa perkataan yang boleh digunakan seperti,

1. Siapa nama awak? إسمك ايه؟

Nama saya اسمي

2. Awak tinggal di mana? أنت ساكن فين؟

Saya tinggal di… انا ساكن في

3. Berapa harga ayam sekilo? كم بكيلو فرح ؟

4. Saya hendak beli… انا عيز

Dan beberapa contoh lain yang boleh digunakan dalam rutin harian . Di sini, adik-adik bolehlah cuba berlatih dan bercakap dengan masyarakat tempatan supaya lebih banyak perkataan baru yang adik-adik boleh kumpulkan kelak. InshaAllah, tiada yang mustahil dalam dunia ini, berusaha, itulah sahaja kuncinya.

“Persekitaran dan aku”

Letakkan bayangan Mesir dalam fikiran anda adalah yang biasa-biasa sahaja supaya nanti tidaklah terlalu terkejut mahupun kecewa jika meletakkan harapan yang tinggi pada persekitaran di Mesir. Keadaan di Mesir dan Malaysia bagaikan langit dan bumi. Jauh beza sekali. Di Mesir terdapat banyak bangunan rumahnya tinggi-tinggi dan tiada variasi warna. Keadaan rumah di sana semuanya sama, cuma yang membezakan adalah pada seni bina dan susun atur dalamannya.

Penduduk di sana juga berbeza dengan penduduk Malaysia. Mereka mungkin dilihat lebih kasar dan kuat tetapi dalam keadaan sebegitu mereka sangat ramah dan sentiasa mendoakan kita apabila menolong atau berbuat baik kepada mereka. Keadaan ini boleh dilihat di merata tempat seperti di dalam tram, di pasar mahupun di kuliah kita sendiri.

Semuanya bergantung kepada kita. Samada kita boleh menyesuaikan diri sendiri mahupun perlukan masa. Bagi saya, turunlah kepada persekitaran mesir sebegini kerana Mesir dapat mengajar kita banyak benda yang menarik.

Jangan pandang mesir yang berdebu dengan mata kasar, tetapi pandanglah dengan mata hati, baru akan nampak mutiara ilmu itu.

Erti hidup pada memberi

Hidup di perantauan bukanlah mudah tetapi pasti mudah jika kita hidup dalam suasana kekeluargaan bersama pelajar Malaysia yang lain. Kita sama-sama berada di sini dengan matlamat yang juga sama, ingin menuntut ilmu dan kembali berbakti kepada negara kelak, jadi tidak salah jika kita saling membantu dan memberi nasihat yang sepatutnya jika ada yang memerlukan nasihat.

Hidup saling bergantung umpama sebuah keluarga besar adalah sangat digalakkan kerana kita berjauhan dengan keluarga dan kita adalah logam-logam kecil yang bergabung untuk menguatkan yang lain. Sikap mengambil berat antara satu sama lain juga bagus kerana ini menunjukkan kasih sayang yang sentiasa menerima orang lain.

Belajar di luar negara juga memberi peluang kepada kita untuk menjadi duta-duta kecil negara bagi mempromosikan lagi negara kita di mata dunia. Jadi, teladanilah dengan sikap yang baik dan menunjukkan sikap yang mulia supaya dapat menjaga nama Malaysia di mata negara luar.


Bersatu, kita adalah keluarga

Setiap orang daripada kita mesti mempunyai banyak ragamnya bukan? Itu bukanlah sesuatu yang berbeza tetapi itu adalah satu persamaan untuk menerima antara satu sama lain. Ayuh jadilah batu bata yang saling menguatkan dalam perjuangan mencari ilmu di bumi ini. Semoga kita terus bersama umpama keluarga yang besar. Jangan malu untuk meminta nasihat atau pertolongan, kita juga jangan malas untuk mengambil nasihat dan bantuan!

Bersatulah, kita adalah keluarga di sini!

ll

Penulis :

Nur Haliayatul Shawani bt Abd Goni

Tahun 4 ,

Fakulti Pergigian Universiti Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :