12039249_1199193903441043_2963940706234917763_n copy

Iskandariah, September 27 – telah berlangsung program Sambutan Hari Raya Aidil Adha (SAADAH) dibawah kelolaan Biro Pembangunan Insan selama tiga hari berturut-turut dengan diisi oleh pelbagai aktiviti dan disertai oleh mahasiswa dan mahasiswi Iskandariah.

Pada hari raya pertama, seawal 7 pagi mahasiswa dan mahasiswi telah berkumpul di Bangunan MARA untuk bersama-sama menunaikan solat sunat hari raya Aidil Adha dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh Saudara Fitri, mahasiswa perubatan tahun 6 diikuti dengan sedikit amanat dan nasihat oleh Ustaz Ahmad Sofi bin Abdullah, pengarah MARA Timur Tengah. Jamuan ringan turut diadakan sejurus selepas solat .

Sebanyak 28 ekor kambing, seekor lembu dan seekor unta telah berjaya ditumbang sempena korban kali ini yang disembelih dan dilapah oleh mahasiswa di Carmella, Mandarah pada hari raya kedua. Mahasiswa berpeluang bersama membantu dalam aktiviti penyembelihan dan melapah di samping dapat mengeratkan lagi ukhuwwah yang sedia terjalin.
Pada waktu malam pula, mahasiswi turut dijemput bagi menyertai aktiviti merewang di Bangunan MARA. Mereka membantu merewang daging-daging hasil korban untuk diadakan jamuan pada keesokan harinya. Aktiviti sebegini amat digalakkan bagi menerapkan semangat gotong-royong dan saling membantu dalam kalangan mahasiswi.

12077353_730567380403846_2003522895_n copy

Jamuan SAADAH telah berlangsung di Kafe Seri Putra, Asrama MARA pada hari raya ketiga bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi mahasiswi manakala mahasiswa pula pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang. Jamuan turut dihadiri oleh Pengarah MARA Timur Tengah bersama keluarga bagi menikmati juadah yang menyelerakan seperti kari unta, sup daging, kari kambing, daging goreng dan acar.

Diharapkan SAADAH terus dijadikan platform untuk mengukuhkan ukhwah antara mahasiwa dan mahasiswi serta pemangkin dalam semangat hidup bergotong-royong seterusnya dapat menghayati erti pengorbanan bagi Aidiladha kali ini.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga diberikan kepada pihak MARA Timur Tengah yang diwakili oleh Ustaz Ahmad Sofi bin Abdullah dan En. Faizal bin Abdul Bashir serta kakitangan MARA yang lain yang telah memberikan sokongan dan sumbangan tidak kira dari segi wang ringgit, tempat program bahkan curahan idea dan cadangan kepada pihak pelaksana program. Semoga dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan mampu mengeratkan lagi hubungan antara para mahasiswa/wi serta semua kakitangan MARA.

Disediakan oleh,

Nur Haliayatul Shawani bt Abd Goni,Unit Liputan,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2015/2016.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :