“Mak dah makan ke ubat hari ni?” Hafsah bertanya ibunya yang sedang asyik menikmati  sebakul buah langsat dan manggis. Masuk sahaja musim buah, Mak Cik Rohana pasti membeli banyak buahan tempatan. Kalau tak beli sekalipun, pasti ada sahaja jiran tetangga atau saudara-mara yang berbaik hati menghulurkan buah-buahan tempatan. Mak Cik Rohana memang peminat tegar buahan tempatan tapi sayangnya sejak lima tahun yang lalu, dia telah di diagnos menghidap sakit kencing manis.

Mak Cik Rohana tersenyum mendengar soalan anaknya. Tangannya masih mengupas buah langsat. Ditelannya seulas demi seulas. Menguntum senyumannya.

“Kak Long jangan risau. Mak makan sikit je buah ni. Lagi pun, mak ingat nak berhenti lah makan ubat selama seminggu ni. Dah lima tahun mak makan ubat yang doktor bagi tu. Tak sembuh-sembuh pun penyakit mak ni.” Hafsah yang merupakan anak sulung Mak Cik Rohana terdiam seketika. Hari ini sudah hari ketiga emaknya tidak mengambil ubat kencing manis. Kebimbangannya turun naik.

“Tapi mak janji, mak kena minum air kosong banyak tau. Mak kan nak selalu sihat.” Hafsah masih prihatin dengan kesihatan ibunya. Itulah satu-satunya ibu yang dia ada. Arwah ayah sudah tiga tahun meninggalkan mereka.

***

“Minta laluan! Minta laluan!” Seorang HA menjerit meminta diberi laluan ke wad kecemasan Hospital Besar Kubang Bemban. Orang ramai yang berada di hadapan pintu masuk wad segera berlari ke tepi membuka ruang. Seorang mak cik di usung masuk ke zon merah wad kecemasan. Mak cik tersebut tidak sedarkan diri. Anak perempuannya yang mengekori emaknya sejak dari rumah lagi menangis teresak-esak.

“Sabar dik. Insyallah tidak ada apa-apa. Doktor akan berikhtiar untuk buat sesuatu.” Ketua jururawat memberikan nasihat sambil menggosok belakang Hafsah.

***

Diabetes

Dr. Urfi memeriksa keadaan pesakit yang sedang terbaring di hadapannya. Dia segera memberikan rawatan yang sepatutnya. Dan berusaha menstabilkan keadaan pesakit yang diserang koma secara tiba-tiba. Sebentar kemudian dia mendekati waris pesakit untuk melengkapkan maklumat berkenaan pesakit. Maklumat yang sudah dia dapati perlu dipadankan dan dilengkap dengan maklumat dari pesakit atau waris terdekat pesakit agar ‘management’ yang dibuat nanti tepat dan terbaik untuk pesakit.

“Assalamualaikum, saya Dr. Urfi. Rohana Binti Abdul Hamid, ibu akak kan?”

“Waalaikumussalam, ya. Saya anaknya, Hafsah. Mak saya dah okey ke doktor?”

“Insyallah okey sahaja. Boleh akak ceritakan bagaimana Mak Cik Rohana boleh pengsan?

“Oh, begini doktor. Mak saya ada penyakit kencing manis. Dah lima tahun dah. Tapi kebelakangan ni, dah empat hari dia tak nak makan ubat kencing manis. Selepas tu, dia asyik makan buah-buahan pula. Air kosong pun kurang dia minum.” Dr. Urfi menggangguk-angguk mendengar sedikit penjelasan dari Hafsah.

“Jadi mak akak ni kencing manis la kan tapi tak nak makan ubat. Gula dia biasa berapa? ”

“Kalau ikutkan kad pemeriksaan bulan lepas, 12.5 tak silap saya doktor. Tinggi la tapi tu lah. Tiba-tiba mak tak nak makan ubat pula. Dah beberapa kali saya pesan, mak kena makan ubat… mak kena makan ubat. Ni kali pertama lah dia pengsan. Kenapa  ya doktor, mak saya pengsan? Dia ada penyakit lain pula ke? Bimbang saya ni doktor.” Saat ini seorang pelajar perubatan yang sedang membuat ‘attachment’  turut mendengar perbualan ini. Dia hanya mendengar sahaja sambil mencatat-catat sesuatu pada buku nota kecilnya berwarna hijau putih.

“Hmm… tak nak makan ubat ya.”

“Mak akak pengsan bukan sebab penyakit lain tapi sebab penyakit yang sama sahaja. Nasib baik  akak bawa mak akak segera ke sini. Sempat kami stabilkan dia. Alhamdulillah.”

“Zainuddin! Boleh kamu terangkan kepada akak Hafsah ni bagaimana pesakit kencing manis boleh pengsan dengan tiba-tiba? History patient pun kamu dah dengar tadi kan?” Dr. Urfi sengaja melontarkan soalan kepada pelajar tahun tiga dari Universiti Iskandariah itu. Zainuddin terkedip-kedip memandang Dr. Urfi. Dia mengurut-urut dagunya. Berusaha memikirkan sesuatu.

“Hmm… patient 50 years old,female. Diabetic patient since 5 years ago. Last blood sugar level was 12.5mMol. Did not compliance to medication since four days. So… saya rasa… mungkin sebab… ” Panjang lebar Zainuddin membaca history patient yang telah dicatatnya itu. Dr. Urfi tersenyum melihat gelagak Zainuddin. Menanti penjelasan dari bakal doktor tiga tahun lagi itu. Hafsah pun jadi geli hati melihat pelajar macam Zainuddin di soal Dr. Urfi.

“Mungkin sebab Mak akak ni gulanya tinggi sangat. Sebab gula dia tak kawal kan. Makan buah banyak sangat kan. Jadi dia dapat hyperglycemic la kot. Tambah dia tak ambil OHA – Oral Hypoglycemic Agent kan doktor? Ketiga mungkin dia kurang minum air kosong. Jadi… mak cik tu dapat hyperglycemic coma due to excessive high blood sugar and dehydrated. Ya ke doktor?” Zainuddin membuat kesimpulan sendiri.

“Habis tu macam mane mak cik tu boleh pengsan Zainuddin? Apa mechanism dia?” Dr. Urfi belum berpuas hati dengan jawapan Zainuddin. Zainuddin kembali berfikir.

“Sebab severe dehydration lah. Koma kan salah satu komplikasi severe dehydration.” Dr. Urfi terus memberikan jawapan. Dia perlu menyelesaikan banyak lagi kes pesakit yang datang ke wad kecemasan hari ini. Tidak banyak masa untuk memberi penerangan kepada waris pesakit dan pelajar attachment.

“Zainuddin, saya nak bagi kerja kat kamu sikit boleh? Saya nak kamu nasihatkan mak cik tu supaya makan ubat, okey?” Zainuddin mengiyakan sahaja pesanan doktor. Mendapat satu tugasan sebenarnya membantu dia mendapat lebih pengalaman dalam tempoh membuat attachment ini.

“Saya cuba doktor.” Kedua ibu jarinya di angkat ke arah Dr. Urfi. Sudah minggu keempat dia hadir membuat attachment di HBKB. Menjadikan dia rapat dengan doktor-doktor di sini.

“Jom la akak, kita jenguk mak akak tu.”

“Mari.”

Mak cik Rohana tersenyum melihat Hafsah menghampirinya yang sedang di tahan di wad sementara. Kata doktor, Mak Cik Rohana perlu diperhatikan seketika hingga keadaannya stabil barulah dia boleh pulang. Tapi kalau tidak stabil juga, maka Mak Cik Rohana akan terus di wadkan ke Jabatan Perubatan Am.

Zainuddin cuba memberikan nasihat semampu mungkin agar Mak Cik Rohana menjaga kesihatannya dengan baik. Dia menerangkan komplikasi yang bakal berlaku sekiranya Mak Cik Rohana tidak mengawal paras gula dalam darahnya. Realitinya banyak lagi ahli masyarakat yang menghidap penyakit kencing manis tidak mengetahui komplikasi yang bakal mereka terima jika paras gula tidak dikawal. Para pengamal perubatan dan pelajar sains kesihatanlah yang perlu menjadi ejen-ejen memberi penerangan dan pencerahan terhadap setiap permasalahan ahli masyarakat awam. Tamat.

Ditulis oleh : Omar Nuruddin Bin Zahari

Pelajar Tahun 4 Kuliah Perubatan

Universiti Iskandariah.

 

 

 

 

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :