f

Abad ke-16 merupakan antara zaman kegemilangan ketamadunan Uthmaniyah. Pelbagai kejayaan daripada segenap sudut pembangunan tercapai dek kehebatan pemerintahnya serta kebijaksaan rakyatnya pada abad tersebut. Sultannya, Sultan Sulayman al-Qanuni, menjadi tunjang utama dalam kegemilangan Uthmaniyah. Di bawah kekuasaannya, armada Uthmaniyah menguasai Laut Merah dan Parsi. Di bawah usahanya, ‘Kanun Sulayman’ ditubuhkan bagi memelihara keamanan serta sosio-ekonomi negaranya.

Akan tetapi, Imam Birgivi khuatir akan kemerosotan akhlak yang berlaku. Hebatnya sesebuah tamadun tidak semestinya menjamin gahnya keperibadian akhlak rakyat-rakyatnya. Bagi beliau, akhlak bukan sekadar hal peribadi, tetapi ianya mempunyai hubungkait yang unik dengan kondisi sesebuah tamadun atau ummah. Sesuatu yang kecil tetapi memberi impak yang besar.

Imam Birgivi menjadikan kekuatan fikiran sebagai satu daripada tiga asas akhlak yang baik. Keelokan fikiran yang selari dengan fikrah dan menepati apa yang sepatutnya, adalah al-Hikmah.

d

3 ASAS AKHLAK YANG BAIK

Umum mengetahui, akal fikiran banyak dibentuk ketika usia remajanya, kerana pada waktu ini akal remaja mudah menerima sebarang anasir yang dipelajarinya. Sekiranya hidup remaja itu dipenuhi dengan perkara-perkara yang merangsangkan minda dan dipenuhi dengan pelbagai pengalaman hidup, maka besar potensi remaja tersebut untuk mempunyai akal fikiran yang sihat dan sejahtera. Jika sekiranya pengalaman di usia mudanya hanya sekadar di atas kertas peperiksaan, tidak ada kejadian-kejadian di luar konteks buku teks, kerja berpersatuan tidak pernah aktif, badan dakwah pula hanya sekadar membuat kerja-kerja yang ringan, tiada keinginan mengetahui perihal masalah ummah, apatah lagi untuk bangkit menentang, mengkritik dan bersuara memperbetul keadaan, maka sukar bagi golongan sebegini menjadi dewasa yang bijaksana akalnya.

Demikian juga halnya, sekiranya akal di usia mudanya lebih terarah kepada perkara-perkara yang liar, melampau dan tidak terarah, hanya membincangkan dan mencari jawapan muktamad atas perkara-perkara mustasyabihat, sering mencetuskan idea-idea yang melanggar etika kemanusiaan, maka golongan sebegini juga tidak sejahtera akalnya, dan lebih cenderung kepada ekstrimsime.

Yang paling malang, sekiranya akal remaja itu disempitkan dengan segala jenis perkara kebodohan, yang hanya melembabkan pemikiran akal. Hidupnya yang hanya berkisarkan dengan membuat lawak bodoh, menonton drama-drama murahan yang hanya berkisarkan cinta, lawak dan segala jenis kebodohan, tidak tahu membezakan antara gurauan dan serius, tidak jelas matlamat dan wawasan hidupnya. Maka, remaja sebegini hanya akan menatijahkan fikiran yang lemah, pasif dan lembab.

PEMUDA YANG SEJAHTERA AKALNYA

Sebagaimana yang dijelaskan sebentar tadi, pemuda yang sejahtera, bijaksana dan kritis akalnya, hanya akan dilahirkan melalui pengalaman-pengalaman yang diperolehi di luar konteks buku teks. Pemuda sebegini mempunyai cita-cita dan harapan yang besar, berfikiran luas dan terbuka dalam mencuba sesuatu perkara yang baru, dan yang paling utama, pemuda sebegini antara yang terkehadapan dalam menyantuni dan berkhidmat masyarakat. Bagi mereka, melalui wasilah masyarakat yang wujud di hadapan mereka, pelbagai perkara baharu dipelajari, dalam usaha pembinaan akal yang sejahtera.

Memetik kata-kata Abu Said Abil Khayr :

“ Jalan menuju tuhan adalah sebanyak tarikan nafas manusia, tetapi jalan yang terpendek adalah berkhidmat kepada sesama.”

Masyarakat terdiri daripada beberapa lapisan, yang saling lengkap-melengkapi bagi memapankan keseimbangan alam. Wujudnya golongan kaya-raya yang berharta, golongan bijak-pandai dan intelektual dalam bidang pengkhususannya (speciality), golongan bekerja, petani dan pembajak yang saban hari mengerah keringat di kampung, nelayan pukat tunda dan pukat dalam yang mencari rezeki di lautan, anak-anak yatim yang dahagakan kasih sayang juga para gelandangan di jalanan yang terus bergantung ihsan manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup.

KITA MEMERLUKAN MASYARAKAT?

g

Ya, kita memerlukan masyarakat. Kita yang digelar terpelajar, yang lebih bernasib baik, yang berkemampuan harus turun membantu mereka, melengkapkan satu hubung-kaitan yang unik dalam kehidupan ini, tetapi hakikaktnya, hubung kaitan itu tidak pernah wujud dengan baik. Seringkali terabai, seringkali terbiar. Kuasa-kuasa individualisme terus melemahkan etika kemanusiaan ini sedikit demi sedikit. Ya, kita gagal dalam hidup bermasyarakat. Fakta yang benar, tetapi cukup pahit untuk ditelan.

Golongan cerdik-pandai, mahasiswa-mahasiswi terpelajar, hanya tahu mengejar “pointer” peperiksaan, sedang mereka tidak sedar, dalam putaran dunia maha dahsyat ini yang diketuai rahib kapitalisme ini, beratur mengikut “trend” mengejar A atau 4.0 adalah perangkap yang cukup dahsyat. Mahasiswa yang terjelopok dalam sistem “exam-oriented”, pemikirannya jarang kali berkembang, hanya statik pada satu masa dan keadaan, kerana tidak ada pengalaman-pengalaman menarik yang dilakukannya di luar konteks buku teks, hidupnya cukup hambar. Secebis demi secebis aspek kemanusiaan mula terhakis dek kecanduan usaha dalam diri seorang mahasiswa tersebut. Sedang segolongan mahasiswa lain bangkit menentang, lantang mengkritik bagi meningkatkan hak dan taraf hidup masyarakat, dan kita pula hanya terus memilih untuk duduk berdiam diri tanpa sepatah bicara, lebih mengutamakan hidup sebagai ulat buku, yang akhirnya terus menjadi hamba kapitalis dalam sistem pekerjaan, tanpa berjaya mengubah apa-apa.

Hal ini sejajar dengan kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, “A dalam peperiksaan, tetapi C, D dan E dalam kehidupan, maka golongan ini dikatakan GAGAL.”

Begitu juga dengan golongan kaya-raya yang hartanya melimpah ruah. Mereka seakan-akan terlupa erti hidup pada memberi, dan natijahnya pada aspek kemanusiaan diri mereka yang kian terhakis. Seolah-olah, bagi mereka hidup di dunia ini cukuplah sekadar mengumpul harta, digunanya buat pergi umrah berulang kali, tetapi pulangnya tetap dengan sifat bakhil. Adakah mereka terlupa??

“Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah salat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.”
(Al Baqarah: 83)

Maka, bertanya lah pada diri. Pernahkah kita mencuba selami perasaan hiba si anak yatim? Apatah lagi menjiwai kesempitan sang gelandangan di jalanan. Mungkin kerana ego tidak pernah merasai kesempitan hidup, ada kalanya kita memandang mereka dengan kejelikan, seolah-olah membunuh sebuah harapan dan pergantungan. Sekalipun ada pertolongan, ianya sekadar hadir tatkala Ramadan menjelma. Maka, berlumba-lumbalah manusia mencari para gelandangan dan anak yatim, menginfaqkan rezeki untuk dikongsi bersama. Sedangkan pada hari-hari seterusnya, ‘mereka-mereka’ ini, entah hilang ke mana.

Perihal masalah ini digarapkan dengan cukup baik oleh Zul Fikri Zamir dalam karyanya “Masyarakat Melawan Mahasiswa.” Menurut beliau “Kesilapan besar masyarakat apabila melihat sisi ini secara individualistik. Kerja amal dilakukan untuk membantu diri sendiri masuk syurga. Masyarakat harus melihat kerja-kerja menyantuni anak yatim, kaum miskin dan gelandangan sebagai satu tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Kerja amal ini, bukanlah sebuah pilihan, tetapi bahkan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, golongan yang bernasib baik.” Justeru, besarnya obligasi mahasiswa atau pemuda, yang lebih kuat tenaga dan semangatnya, untuk mengubah semula paradigma ini.

Tiada bezanya juga dengan golongan ‘abid (ahli ibadat) yang bermain-main dalam kehidupannya. Menurut Muhammad Ahmad ar-Rasyid dalam buku beliau Munthalaq, golongan ini hanya memikirkan diri sendiri, mengumpul amalan kebaikan untuk ke syurga, tetapi mereka terleka, yang mereka ada masyarakat atau ummah yang perlu dibantu. Mereka mengasingkan diri (uzlah) di masjid-masjid, meratapi nasib Islam dan membiarkan generasi dan belia Islam yang tidak faham apa-apa itu, tertinggal dididik oleh puak-puak Atheist, sekularisme, komunisme dan materialisme, dan menjerumuskan belia Islam ini menjadi rosak dalam kehidupan hedonisme. Abdullah bin Mas’ud adalah sahabat yang bangun menentang, kerana beliau faham ‘uzlah’ adalah bertentangan dengan Islam yang mutaharrik dinamik, sebagaimana yang dididik Rasulullah saw.

Begitu juga dengan pemuda-pemuda yang lebih arif membezakan, baik dan buruk sesuatu perkara. Mereka lebih memilih untuk berdiam diri, sekadar meletakkan alasan, “cukuplah membenci dengan hati.” Ah, mana mungkin kebejatan maksiat terhapus sebegitu. Seandainya pemuda terus sebegini, menghalang diri daripada bergerak (haraki), maka tidak akan lahirnya dai’e sebagaimana Mus’ab bin Umair, yang dihantar bersendirian ke kota Madinah mengislamkan Aus dan Khazraj, atau Syeikh Abdul Kadir al-Afghani, yang tegas membangkitkan semula Islam di kota Baghdad.

INDIVIDUALISME

Gejala individualisme atau mementingkan diri sendiri ini, telah meragut satu lagi aspek kemanusiaan. Manusia hanyut dibuai kesenangan diri, tahu mengejar duniawi dengan keringat kerakusan. Mereka sudah tidak ambil peduli lagi perihal masyarakat, apatah lagi mengambil tahu perihal isu semasa. Natijahnya sudah pasti pada masyarakat sekeliling dan juga ummah di luar sana. Kalaulah kita terus terleka sebegini, maka pelarian Rohingya akan terus dibiarkan tersadai di lautan, kaum Muslim seantero dunia akan terus dibiarkan disembelih, juga rakyat Palestin akan terus terkepung di “penjara” sendiri.

Bila ditanya, mengapa tidak ambil peduli? Lantas dengan mudah kita membalasnya, “Ah, itu bukannya urusan aku, itu bukannya negara aku.” Sudah terlupakah kita? Akidah kita sesama saudara Muslim tiada keterbatasannya, cuma hanya dipisahkan melalui sempadan geografi sahaja. Inilah hasil serangan minda atau “ghazwatul fikr” yang ditanamkan oleh puak orientalis Barat kepada pemuda Muslim. Perjanjian Sykes-Picot 1916, yang memecah-belahkan kesatuan Uthmaniyah kepada beberapa negara-negara Arab yang ditetapkan sempadan negaranya, telah berjaya membenihkan semangat nasionalisme yang menebal dalam kalangan muslim-muslim di Timur Tengah, sekaligus menjerumuskan mereka kepada sifat individualistik tersebut.

Khulasahnya, akal fikiran dan akhlak mempunyai hubung kaitan yang cukup unik. Ia lebih dinamik apabila dikaitkan pula dengan masyarakat atau ummah. Menjadi pemuda yang mempunyai akal yang sejahtera, yang menjerumuskan kepada akhlak yang baik, untuk terus berbakti pada masyarakat. Persoalannya, bagaimana? Yakni, dengan melakukan sesuatu yang luar daripada konteks kebiasaan (buku teks), mendampingi masyarakat dengan kerja-kerja amal. Kerana, jalan ini lah dapat mengubah sesebuah masyarakat, menyeimbangi alam manusia dan seterusnya mendekatkan mereka kepada Pencipta.

Abu Musleh,
Tahun 3 Perubatan,
Universiti Iskandariah

Rujukan
Menalar Makna Diri : Kembara Menjejak Imam Birgivi, Hasrizal Abdul Jamil
– Masharakat Melawan Mahasiswa, Zul Fikri Zamir
– Ini Sejarah Kita, Firdaus Shah
– Munthalaq : Langkah Bermula, Muhammad Ahmad ar-Rasyid
– Generasi Pemuda dan Perubahan, Fathi Yakan

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :