ISKANDARIAH, 11 Julai- Biro Pembangunan Insan (BPI) telah menjayakan program IHYA’ Ramadhan (IHRAM) sepanjang 3 minggu dalam bulan Ramadan ini. Antara program yang telah berjaya dilaksanakan adalah tafaqquh edisi ramadhan, daurah kitab, iftar jamai’ dan program kemuncak yang telah  berlangsung semalam iaitu Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup IHRAM bersama Kedutaan Malaysia Besar Kaherah (KBMK).

11741875_694731943987390_104769771_n

Program dimulakan pada  jam 4.30 petang di tingkat 3 Bangunan MARA dengan  mengalunkan  bacaan Al-Quran oleh 10 orang qari yang diketuai oleh Pengarah MARA Timur Tengah sendiri, Ustaz Ahmad Sofi bin Abdullah. Acara telah berlangsung selama satu jam sebelum diteruskan dengan ucapan daripada Ustaz Ahmad Sofi. Menariknya beliau telah mendendangkan sajak yang bertajuk ‘Rumahku’ di mana intipati sajak beliau menceritakan tentang rumah sebenar kita iaitu syurga dan bukanlah dunia yang bersifat hanya sementara. Matlamat utama hidup kita di dunia ini adalah untuk menuju ke rumah kita yang kekal abadi iaitu syurga Allah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada TYT Duta Dato Ku Jaafar Ku Shaari sekaligus merasmikan Majlis Penutup IHRAM kali ini. TYT Duta Dato Ku Jaafar Ku Shaari atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ku dalam ucapannya telah menceritakan serba sedikit apakah yang dimaksudkan dengan perkataan ‘ARAB’ yang beliau peroleh daripada ustaz yang mengajar beliau Bahasa Arab. Memetik sedikit kata-kata dari Pak Ku yang menerangkan makna ‘ARAB’ , “Arab secara bahasanya bermaksud kesempurnaan, ketelitian, lengkap tanpa silap dan cacat. Begitu hebat makna arab dari sudut bahasanya.”

11739729_694743063986278_1400249033_n

Sebelum iftar jamai’, sedikit pengisian telah dikongsikan oleh pengisi jemputan yang dibawa khas dari Kaherah iaitu Ustaz Farid, Pegawai Atase Pendidikan Selangor merangkap sahabat kepada Ustaz Sofi. Menurut beliau, sahabat-sahabat pada zaman Rasulullah S.A.W menunggu kedatangan bulan Ramadan umpama menanti kehadiran kekasih yang mereka tunggu sekian lamanya. Begitulah istimewanya Ramadan bagi mereka. Namun masyarakat hari ini lebih menyambut kehadiran Eidul Fitri berbanding Ramadan.

Pelajar-pelajar berserta tetamu kehormat kemudiannya menuju ke sutuh MARA untuk solat Maghrib berjemaah. Kit Ramadan dan sedikit juadah ringan telah diedarkan untuk pelajar berbuka puasa sebelum solat. Juadah berat telah disediakan selepas solat Maghrib. Majlis berlangsung sehingga azan Isyak yang diteruskan dengan solat Isyak berjemaah diikuti solat Tarawih 8 rakaat. Sedikit moreh telah disediakan selepas selesai solat.

MC-08820

Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJKP) IHRAM pada tahun ini sangat berbesar hati menerima banyak sumbangan dan tajaan dari pihak Pejabat MARA Mesir serta dapat juga turun bekerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada program kali ini. Ucapan ribuan terima kasih diucapkan atas segala sumbangan yang diberikan. Semoga kerjasama sebegini dapat diteruskan demi meningkatkan keutuhan pertalian antara pegawai dan mahasisiwa di Iskandariah.

Dengan berakhirnya program ini maka berakhirlah juga aktiviti IHRAM pada tahun ini. Diharapkan program IHRAM ini memberi satu lonjakan paradigma dalam meniti  semangat Ramadan kali ini serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di Iskandariah bersama pegawai-pegawai penaja seperti MARA dan yayasan negeri serta Kedutaaan Besar Malaysia di Mesir.

 

Disediakan oleh,

Nur Haliayatul Shawani bt Abd Goni,

Unit Liputan,

Biro Penerbitan & Penerangan 2015/2016.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :