tumblr_m7fiwjcakB1r3rbg6

Fateh termenung di birai katil kayu yang terukir indah dengan bunga-bungaan dan dedaun. Sudah lama dia tidak mendengar radio IKIM.fm sebagai halwa telinga di petang hari. Kebiasaannya, di waktu petang begini,dia lebih suka merehatkan jiwa dengan berjoging sepanjang laluan pantai Laut Mediterranean jika tidak menghadiri kelas arab. Namun, apabila musim panas menjengah, jasadnya cepat berasa letih dan batang tubuhnya berasa tidak keruan dengan suhu yang meningkat tinggi, lantas setelah berkira-kira, dia mengambil keputusan untuk bersantai di rumah sahaja mendengar live streaming IKIM.fm dari telefon bimbit Sony Experia hadiah dari ayahnya.

“Ingin saya tegaskan buat diri sendiri dan pembaca. Ilmu itu walaupun utama, tetapi bukan segala-galanya. Paling utama, kita perlu mengamalkannya. Apa gunanaya kita berhempas-pulas bermujahadah di bulan Ramadan, menjaga pergaulan mahupun pertuturan namun apabila keluar dari madrasah Ramadan , kita lalai dan alpa, lalu hilang sudah semangat yang dibina dan dipupuk sepanjang Ramadan. Hilang sudah semangat yang ingin khatam al-Quran dalam sebulan Ramadan, hilang sudah rasa mujahadah bangun qiam di saat orang lain enak dibuai mimpi indah. Di mana silapnya?”

Tersentap juga di sudut hatinya mendengar kalam cinta dari seorang murabbi yang dikagumi di stesen radio itu. Ya, di mana silapnya. Sudah hampir tiga tahun dia berpuasa di negara yang digelar ummu dunia, tiga tahun meneguk air Sungai Nil, tiga tahun jugalah dia menghirup bayu dari Laut Mediterranean itu. Namun setelah melangkah keluar dari bulan ramadan, dia menjadi seperti biasa, tiada lagi rasa ingin bertadarus bersama-sama kawan-kawan sehingga tamat juzuk 30. Tiada lagi yang mengingatkan untuk bangun qiam menjadi rahib di malam hari. Tiada lagi teman yang mengingatkan agar menjaga pertuturan dan tingkah laku. Dan dia sendiri juga berasa tawar hati melakukan semua itu setelah seronok berhari raya bersama rakan-rakan. Murabbi itu meneruskan lagi tintanya.

“ Sebelum kita memasuki madrasah Ramadan, kita harus sedar, apakah tujuan kita beribadah, adakah sekadar taabbud kepada Allah atau sekadar adat kebiasaan yang dituruti sejak turun temurun oleh nenek moyang kita?Jika kita memahami dan menyelesuri segala hikmahnya bahawa seseungguhnya jika kita memasuki madrasah Ramadan, ia adalah suatu latihan untuk kita agar istiqamah di bulan yang selainnya. Bukankah kita diingatkan bahwa jika kita melakukan sesuatu amalan melebihi 40 hari bertutut-turut, kita akan terbiasa dengan amalan itu. Dan itulah yang dikira sebagai tabiat. Yang susah adalah mujahadah selepas menjelang Ramadan. Aidilfitri diraikan tanpa batasan, rumah terbuka diadakan sepanjang bulan syawal. Tidak salah semua itu, namun kita harus berpada-pada agar syaitan yang dibelenggu suatu ketika dahulu tidak mudah menjerat kita kembali dengan tipu dayanya. Puasa sunat enam yang dicanang-canang tergendala. Ya, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Jika kita berjaya melalui rintangan di bulan Ramadan, dan terus istiqamah di bulan syawal, insyaAllah kita akan diberi kekuatan untuk terus beramal dan istiqamah. Cuma ingin saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan semua, janganlah kita hanya berharap pada diri sendiri, pintalah pada Allah agar diberi kekuatan dan benteng keimanan yang kukuh untuk menghadapi semua ini.”

Termangu dia sendirian.Teman serumah yang lain semuanya tiada di rumah, Afiq ke kelas biola yang sudah dihadiri sejak tiga bulan yang lalu. Saif menghadiri mesyuarat AJK program untuk Ramadan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Danial pula sudah pulang ke Malaysia dua hari lepas bagi menguruskan urusan perkahwinannya yang bakal dilangsungkan di Malaysia selepas Aidiliftiti. Telinganya terus menangkap kata-kata terakhir daripada ikon yang diteladani ramai itu memandangkan slot santai petang bakal tamat lima minit lagi

“Ingatlah, apabila Rasulullah s.a.w. menyuruh Saidina Bilal r.a. mengumandangkan azan, Baginda akan berkata: “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.” (Riwayat Ahmad). Menerusi permintaan itu, Rasulullah menegaskan bahawa solat sebenarnya memberi suatu kerehatan bagi orang yang mendirikannya. Diriwayatkan daripada Saidina Huzaifah: “Apabila Rasulullah mengalami suatu kesulitan, Baginda akan segera mengerjakan solat.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud). Cukuplah seorang muslim itu mengetahui apa kelebihan solat mahupun amalan-amalan sunat yang lain, pasti zikir itu akan memandu fikirnya. Sebagai penutup bicara,pelerai kata, tuntutlah ilmu dan fahamilah ia dan beramallah dengannya. Jangan dilupakan mujahadah dalam istiqamah dan doa sebagai pengiringnya. Semoga kita semua berada di bawah naungannya dan dilimpahi rahmatnya dan kelak mendapat sanjungannya di akhirat kelak insyaAllah. Mari menjadi hamba rabbaniyyun dan bukannya hamba ramadaniyyun ”

Penceramah itu mengakhiri perkongsiannya dengan salam. Seusai salam disambut, Fateh bingkas bangun dari birai katilnya dan menuju ke tingkap yang terbuka luas. Membiarkan lagu Menuju Wawasan nyanyian UNIC berkumandang dari corong radio. Matanya mencerun ke arah laut Mediterranean, membuang pandangan jauh-jauh. Ya, dialah yang harus memulakan langkah ini. Dialah yang harus mengajak sahabat-sahabatnya agar istiqamah dalam menuju mardatillah. Suatu azam disemat di dalam hati, bergetar di dadanya, aku harus istiqamah!

Disediakan oleh ,
Nur Syahidah Binti Zulkefflie
Tahun 3
Pergigian

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :