grief

Surah Yusuf adalah surah Makiyah, dan keberadaan surah ini di dalam Al-Quran adalah unik kerana hampir keseluruhan surah ini didedikasikan untuk menceritakan sebuah kisah yang disusun secara kronologi. Pencerita tidaklah berniat untuk mengupas secara ekstensif segala isi indah-indah di dalam surah ini, kerana pencerita hanyalah seorang manusia yang belajar ilmu badan dan tidak lebih dari itu. Mahupun begitu, pencerita mahu mencuba, bak kata islamis mengambil ibrah dari surah ini, yang  pencerita kira cukup asyik maksyuk untuk mempersona jiwa jika dihayati dengan hati yang kudus. Semoga cubaan ini diberkati tuhan.

Ternyata surah ini banyak mengajar kita beberapa perkara, tetapi ada satu aspek yang pencerita kira amat penting iaitu surah yusuf mengajar kita cara berhadapan dengan kesedihan, kemurungan, keresahan jiwa, dan tidak kurang juga kesusahan yang datang menimpa kita dalam kehidupan, yang terkadang itu membuatkan kita rasa teramat sakit di dada.

Allah mengisahkan dua watak di dalam surah ini yang banyak berhadapan dengan kesusahan, bapa kepada Yusuf, Nabi Yaakub, dan Yusuf itu sendiri, dan kedua mereka teramatlah banyak diuji dengan kedukaan dan kesedihan yang besar.

Pada awal surah, Yusuf datang kepada bapanya dan mengadu akan mimpinya, dan respons pertama Yaakub adalah supaya tidak diberitahu akan mimpi Yusuf kepada abang-abang nya, dan Yaakub; seorang ayah yang amat cintakan anaknya teramatlah risau. Tetapi Yaakub sedar walau apa pun perancangannya, ternyata perancangan Allah lebih besar ke atasnya. Yaakub berpesan supaya jangan diceritakan mimpi itu, takut takut mereka akan berbuat sesuatu kepada Yusuf, dan seperti mana yang kita tahu, walaupun Yusuf tidak menceritakan mimpinya itu, kerana dia mendengar taat kata kata bapanya, abang-abangnya tetap berbuat jahat kepadanya walau apa pun sekali. Di sini kita melihat terdapat dua perancangan yang sedang berlaku, pertama perancangan seorang manusia, manusia yang hebat, Nabi Yaakub sendiri, yang tanpa soal lagi sangat hebat hubungannya dengan Khalik, dan satu lagi perancangan Khalik sendiri.

Kita sebagai manusia semestinya menaruh harapan yang tinggi untuk sesuatu yang indah seperti keputusan cemerlang dalam peperiksaan, isteri solehah penyejuk mata penawar hati, suami berjubah putih yang selalu subuh di masjid, sohib rumah yang baik, mendapat pekerjaan yang baik dan sebagainya. Ada ketika perancangan Allah dan manusia itu bergabung bersatu dengan rapi, kita berharap akan keputusan yang cemerlang, begitu juga perancangan Allah ke atas kita, maka dikurniakan kepada kita. Terkadang Allah memutuskan bahawa perancangannya berlainan dengan apa yang kita kehendaki. Di mana kita sudah merancang dengan rapi segala benda alah, mengharap semuanya berjalan dengan baik, tetapi perkara sebaliknya berlaku, ketika inilah kesedihan datang menimpa.

Perkara yang tidak dijangka jangka, suatu lencongan yang memedihkan. Al Quran merakamkan perasaan ini sebagai ‘yaūs’, suatu kesedihan yang teramat dalam, apabila sesuatu nikmat ditarik dia menjadi ‘yaūs’, sangat sangat berduka, berputus asa terhadap tuhan, kemudian jika berterusan tanpa redha akan ketentuan tuhan, ia akan bergerak ke arah ‘yaūsun kafur’ dan mengeluarkan kata kata seperti kenapa semua ini terjadi kepada aku, kenapa tuhan meperlakukan aku sebegini rupa, apa gunanya aku beriman, sebagai contoh.  Awalnya kesedihan kemudian menuju kepada rosaknya iman.

Ada dua nama Allah yang disebut berulang kali di dalam surah ini, iaitu ,عليم  حكيم  , ḥakīm (Yang Maha Bijaksana)  dan alīm (Yang Maha Mengetahui)  pada awal Yaakub sedar bahawa mimpi Yusuf itu bukan mimpi biasa, dan sebagai seorang yang dikurniakan hikmah oleh Allah, Yaakub tahu Yusuf akan menjadi nabi, dan bahawa Allah akan mengajar takwil mimpi kepada Yusuf. Yaakub tahu bahawa anaknya itu mempunyai masa depan yang cerah, tetapi Yaakub tidak tahu bagaimana perjalanan anaknya nanti, maka ayat itu diakhirkan dengan menyebut bahawa Tuhan engkau (Yusuf) Yang Maha Mengatahui dan Maha Bijaksana

Yaakub seperti bapa lain mempunyai harapan yang tinggi terhadap anaknya, akan tetapi Yaakub akur bahawa perancangan tuhan itu ternyata penuh bijaksana, maka عليم حكيم  di sini adalah suatu perkataan pengharapan, Yaakub bercakap soal masa hadapan Yusuf yang cerah, dan dia berharap penuh terhadap pengetahuan Allah, bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik untuk Yusuf.

Untuk pengetahuan pembaca  عليم  حكيم ini disebut sebanyak tiga kali di dalam surah ini, kali kedua pula, Yaakub ditimpa kesedihan yang besar kerana kehilangan Yusuf,  didatangkan dengan berita bahawa Bunyamin  dan anaknya yang paling tua juga turut hilang, dan buat kali kedua Yaakub kehilangan anaknya. Yaakub berkata bahawa mungkin Allah akan kembalikan semula semua anaknya, dan tuhan ku itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, عليم  حكيم. Kesusahan kepahitan yang dihadapi Yaakub bukanlah semakin reda, tetapi bertambah-tambah dalam perit masalahnya, awalnya kehilangan seorang anak, kini tiga anaknya sudah hilang. Tetapi dengan menyebut bahawa Allah Maha bijaksana dan mengetahui, Yaakub sedar bahawa Allah faham akan segala kedukaanya, kesedihan duka cita Yaakub bukan lah sesuatu yang asing bagi Allah, setiap lara dan kesengsaraan Yaakub tidak lain tidak bukan adalah di bawah pengetahuan Allah. Maka  عليم  حكيم disini, ternyata adalah suatu kata  kepercayaan yang penuh terhadap ilmu Allah, setiap perkara berlaku pasti ada hikmah yang indah di sebaliknya.

Sebelum bergerak kepada عليم  حكيم yang ketiga, pencerita ingin membawa terus kepada penghujung cerita di mana Yusuf sudah kembali bersama keluarganya, setelah Yusuf menempuh banyak kesusahan, tetapi di pengakhiran, Yusuf bersahaja, tenang menyebut,  ان ربي لطيف لما يشىء  ,yang bermaksud tuhan aku Maha Lembut terhadap apa yang dikehendaki, juga Yusuf menyebut  عليم  حكيم. Bahawa setelah bermacam-macam sengsara, pada awal, Yusuf yang kecil tidak bersalah tidak disukai oleh saudara saudaranya,dicampak ke dalam perigi oleh saudara-saudaranya, di ambil oleh rombongan pedagang, dijual pula sebagai hamba, difitnah, dimasukkan ke dalam penjara dan pelbagai lagi, Yusuf ditimpa banyak kesusahan, dan apabila Yusuf melihat kembali, Yusuf tahu Allah bersamanya sepanjang kesusahannya, dan segala semua ini merupakan perancangan Allah yang kaya dengan kebijaksanaan dan pernuh dengan hikmah.

Allah yang disebutkan sebagaiلطيف  , yang bermaksud lembut, ternyata bijaksana dalam perancangannya, segala semua rancangannya hampir tidak disedari oleh ramai manusia dek kerana terlalu halus hikmahnya. Dan surah ini diturunkan ketika situasi yang kritikal, iaitu pada tahun yang disebut sebagai tahun kesedihan. Yang mulanya dengan Khadijah meninggalkanya, Khadijah yang sering menjadi tempat mengadu Nabi Muhammad saw kini sudah tiada. Tidak lama kemudian Abu Talib pula sudah tiada. Satu persatu perkara, bertimbun menimpa Nabi Muhammad saw, waktu dikira yang paling getir dalam sirah nabi, dan pada waktu inilah juga turun surah Yusuf bagi menenangkan baginda. Surah Yusuf diturunkan bagi mengubat hati seorang nabi yang ditimpa seberat-seberat bala, maka kita insan biasa pastinya dapat mengambil iktibar dari surah ini. Seharusnya kita sedar bahawa tuhan itu amat mengerti setiap apa kesusahan yang kita hadapi, dia sebaik baik perancang, dia sebaik baik teman.

 

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :
  • Iman Azlan

    Ini yang aku perlukan. terima kasih banyak atas artikel ini.