zz

Usai solat Jumaat, Bahar duduk bersila sejenak sambil membaca wirid selepas solat. Tiba-tiba dua orang kanak-kanak meluru maju ke bahagian depan masjid. Wajah mereka kelihatan sangat girang. Rupanya mereka mencari ayah mereka.

Mustafa. Mustafa

Seorang ayah itu memanggil anaknya dengan panggilan yang sangat menarik. Sambil tangan kanan memegang jemari kanan kanak-kanak itu. Seperti memberi sesuatu isyarat. Lantas, anaknya terus berjalan ke mimbar masjid. Terus menyalami khatib dan imam Jumaat pada hari ini. Sambil berlari anak, dia memberitahu ayahnya, “Ayah. Ayah. Saya telahpun bersalaman dengan imam.” Ayahnya menggosok kepala anak kecil itu. Abang budak kecil itu pula tersenyum melihat gelagat adiknya.

Bahar terus membaca sedikit wirid. Matanya masih memerhati gelagat anak-beranak itu. Ada sesuatu yang menarik tentang keluarga ini. Mereka adalah saudara muslim ku cuma mereka berbangsa Mesir. Itu sahaja yang membezakan kami. Perhatian Bahar sekali lagi terusik dengan perlakuan si ayah itu.
Kini giliran tangan kanan abang budak kecil itu pula yang dipegang si Ayah. Tangan itu dipimpin ke tabung masjid. Lantas dia mengeluarkan sekeping not kertas lalu diberikan kepada si Abang. Si Ayah cuba mendidik si Abang menghulurkan sedeqah kepada masjid. Si Adik sedang memerhati dengan wajah yang takjub.

“Ayah, adik pun mahu… masukkan duit dalam tabung tu.” Si Adik meluahkan keinginan hatinya.

Lalu si Ayah mengambil sekeping syiling satu Junaih dan diberikan kepada anak kecilnya itu. Berseri-seri wajahnya menerima satu junaih. Segera dia memasukkan sekeping syiling itu ke dalam tabung. Dia tersenyum gembira.

“Ayah jom balik. Jom ayah” Kanak-kanak itu menarik-narik tangan ayah mereka.
“Sabar… Kita tunggu atuk habis solat sunat dulu. Lepas salam dengan atuk, baru kita balik.”

Anak kecil itu menggangguk patuh. Seminit kemudian, si Atuk selesai solat lalu menyalamai cucunya. Mereka terus pulang bersama-sama ke rumah. Bahar yang sedari tadi memerhati perlakuan mereka dengan senyap, jadi kagum. Terukir senyuman pada wajahnya. Segera dia menutup wiridnya dengan sedikit doa kepada Allah yang Maha Kaya.
Zainuddin membaca selawat sambil menunggu temannya, Bahar keluar dari Masjid Ibadur Rahman. Hari Jumaat sangat digalakkan kita berselawat. Itu tanda ingatan dan sayangnya kita kepada utusan Allah, nabi Muhammad saw.

“Mari pulang.” Bahar menepuk bahu temannya. Sambil berjalan ke rumah sewa mereka, Bahar membuka cerita yang dilihatnya tadi. Zainuddin hanya mendengar sehingga habis. Jarak rumah mereka dengan masjid hanya 500 meter. Perjalanan itu mereka gunakan untuk bercerita dan berbincang mengenai kisah tadi.

“Saya fikir si ayah tu mesti bukan sembarangan orang. Dia sangat berwawasan nampaknya. Dia lakukan tiga perkara. Pertama, membawa anaknya mengenal rumah Allah. Kedua, mendidik anaknya mendekati orang ‘alim dan soleh. Ketiga, dia mengasuh anaknya bersedeqah di jalan Allah.”

“Betul. Bak kata pepatah melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Didikan dan teladan yang baik semestinya disemai sedari kecil lagi.”

“Barulah boleh kita lahirkan generasi muslim yang lebih berakhlak dan lebih baik dari generasi zaman kita. Usahanya nampak kecil tapi impaknya besar. Perlakuan si ayah tadi mampu memberi kesan yang sangat besar pada si anak apabila besar nanti.” Bahar menghurai panjang.

“Antara kesilapan segelintir masyarakat kita ialah meninggalkan anak-anak membesar dengan sendiri. Kita biarkan anak kita memilih kawan yang buruk. Kalau kita bawa anak kita ke masjid pada hari Jumaat sekalipun, kadangkala kita biarkan mereka bersembang di pondok-pondok masjid. Sedangkan isi khutbah Jumaat tu adalah sangat penting untuk di dengari. Betul kan? Kita kena ubah gaya pendidikan yang kita terapkan dalam keluarga kita.”

“Wah nampak matang dah pemikiran kau sekarang Bahar. Dah boleh naik tahap seterusnya. Apa tu…baitul muslim. Keluarga Islam.” Zainuddin menyakat temannya.

“Sabar dulu. Kita tak boleh tergesa-gesa untuk berbaitul muslim kalau soal fardu(individu) muslim kita masih tak ke mana. Persoalan keperibadian muslim kita belum cukup selesai lagi kan? Tumpukan dulu pada pembinaan diri. Kan?” Bahar bertambah serius.

“Betul juga. Selalu pemuda kita ramai yang belum bersedia sebenarnya tapi dah mahu membina masjid. Sepatutnya, kita bersedia dahulu sebelum menggalas tanggungjawab yang lebih besar tu. Lain lah, kalau dah bersedia tak apa. Masa belajar pun boleh buat masjid.”

“Tepat sekali. Sangat tepat. Kalau kita perincikan lagi apa ciri yang semestinya kita miliki sebagai individu muslim, paling kurang kita kena lah capai sepuluh ciri. Ingat?” Zainuddin menguji ingatan saudaranya.

“Sepuluh sifat tu ke? Apa? Aqidah yang sejahtera, ibadah yang shahih, akhlak yang terpuji, menjaga waktu, luas pengetahuan, sihat tubuh badan, berdikari, kuat melawan nafsu dan… ” Bahar membilang sepuluh sifat yang pernah dipelajarinya dari Smart Circle sebelum ini. Ada dua lagi sifat yang tidak di ingati.

“Sistematik urusan atau tersusun urusan dan terakhir bermanfaat kepada orang lain.” Zainuddin mencukupkan sepuluh sifat yang semestinya ada pada tiap-tiap individu muslim.

“Jom singgah ‘Asir Mekkah jap. Saya belanja Fankush nak?”

“Oh, boleh sahaja. Mesti boleh.”

***
Dalam salah satu pesannya, Imam Hasan Al-Banna mengatakan,

“Seandainya dapat, saya ingin sekali menyampaikan dakwah ini kepada setiap anak yang dilahirkan.”

Mendidik anak dengan manhaj islami merupakan fondasi berdirinya sebuah masyarakat yang islami, karena mendidik anak dengan manhaj yang islami berarti mempersiapkan generasi yang siap mengembang risalah dakwah dan menegakkan bendera Islam.

pp

Zainuddin
1 Mei 2015
Syatby, Alexandria.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :