Untitled-2

Iskandariah , 10 Mei – Acara penuh warna-warni dan gilang-gemilang memeriahkan majlis penutupan Alexandria Sport Carnival (ALESCA) yang melabuhkan tirainya secara rasmi di Gelanggang Hospital Pediatrik, Shatby. Majlis penutup temasya ini dihadiri oleh Prof Dr Hala Maklad. Majlis ini juga turut dihadiri oleh Mr Moataz, Coach Farid, serta wakil Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP), Muhammad Alif Akmal dan para peserta yang turut turun memeriahkan acara penuh ALESCA yang pertama ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Akmal Afif dan diteruskan dengan alunan Asma Ul-Husna, nyanyian lagu negara Mesir, lagu Negaraku dan lagu rasmi PERUBATAN yang dinyanyikan dengan penuh semangat oleh para penonton yang hadir.  Upacara penutup temasya ini telah disempurnakan oleh Prof Dr Hala Maklad.

Dalam majlis tersebut, Prof Dr. Hala turut menyampaikan piala kepada pasukan Stanza Mahabbah yang muncul sebagai johan keseluruhan selepas berjaya mengutip sebanyak 155 mata diikuti rapat oleh pasukan Phylox selaku naib johan dengan mata terkumpul sebanyak 153 mata manakala ACE pula menduduki tempat ketiga dengan memperoleh 121 mata. Perbezaan mata yang sangat tipis iaitu sebanyak 2 mata telah menyebabkan pasukan Phylox tewas di tangan pasukan Stanza Mahabbah. Pada acara ALESCA kali ini, sebanyak 30 pingat emas, 31 pingat perak dan 27 pingat gangsa telah ditawarkan daripada 11 jenis sukan yang dipertandingkan yang telah bermula sejak 26 April lalu, membabitkan 4 tempat utama di Iskandariah, seperti gelanggang Kuliah Tijarah, Istad, Teratak Iskandar dan Kuliah Pediatrik ini

Sementara itu, saudara Ahmad Nafis bin Nazlan dan saudari Nur Fatihah binti Yacob diumum sebagai olahragawan dan olahragawati terbaik ALESCA kali ini. Dalam sesi temuramah bersama saudara Nafis, beliau melahirkan harapan agar adik-adik tahun 1 lebih aktif menceburkan diri dalam sukan olahraga supaya mereka dapat menjadi pelapis dan menjadi wakil fakulti peringkat Alexandria. Kunci kemenangan beliau pula adalah berdisiplin semasa latihan serta berlatih secara berkumpulan. Manakala, saudari Nur Fatihah pula melahirkan rasa kesyukuran diatas kemenangan yang telah beliau kecapi serta berharap agar pasukan Phylox dapat memenangi juara keseluruhan pada tahun hadapan.

Diharapkan agar ALESCA mampu memberi impak positif kepada ahli PCI dan terus mengukuhkan ukhwah di samping menjadi medan menonjolkan bakat ali dalam bidang kesukanan.

.

Disediakan oleh,

Nur Arina binti Mohd Ishak,

Unit Liputan,

Biro Penerbitan dan Penerangan 2015/2016.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :