Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

TELAAH RINGKAS IQRA’

Pada usia Baginda SAW meningkat empat puluh tahun, renungan dan pengamatan baginda di masanya yang silam membawa baginda semakin jauh dalam jurang dan cara pemikiran Baginda SAW dari kaumnya, lalu membawa Baginda SAW gemar untuk mengasingkan diri berikhtila’. Baginda SAW tidak senang dengan akidah pegangan kaumnya yang terlalu rapuh dan reput serta tasawurnya yang tidak bertunjang, serta runsing dengan persoalan persoalan rumit yang mendatang. Maka beliau beruzlah ke Gua Hira’. Pemilihan baginda untuk beruzlah merupakan sebahagian daripada susunan indah Tuhan sebagai persiapan untuk menanggung persoalan agung.
Genap empat puluh tahun yang merupakan noktah kesempurnaan, disebutkan bahawa pada usia inilah para rasul diutuskan, tanda-tanda kenabian mula bertapak dan muncul dalam penghidupan. Maka menurut riwayat Saidatina Aisyah, pada 21 Ramadhan bersamaan 10 Ogos 610M, berlakunya penurunan wahyu pertama, buat menghimpit kegelapan kufur dari kesesatan, hingga dengannya terubahlah perjalanan arus sejarah manusia.
Pada tarikh bersejarah ini, Jibril datang menemui Baginda SAW dan menyuruh BagindaSAW membaca, lalu Baginda SAW menjawab aku tidak tahu membaca, dan diulang Jibril sebanyak tiga kali, dan Baginda SAW masih menjawab aku tidak tahu membaca. Di sini penulis ingin mengajak pembaca supaya memberi perhatianlebih terhadap mesej agung yang pertama terhadap ummat Muhammad iaitu, iqra’(bacalah).

Menurut pendapat Muhammad Asad, iqra’ berkemungkinan merujuk kepada penelitian dan pemahaman terhadap sesuatu makna tulisan(read) atau membunyikan huruf-huruf yang ditulis(recite) , maka ternyata read adalah lebih baik dari recite dalam konteks ini kerana recite tampaknya hanyalah proses verbal (pembunyian huruf-huruf) tanpa perlu memahami sesuatu yang ditulis, di mana read, merupakan proses meneliti dan memahami makna dan idea di sebalik sesuatu tulisan dan perkataan.

Sebagai manusia yang mengaku muslim tidak boleh tidak haruslah, dengan tekun, menyahut
seruan agung Tuhan yang terawal iaitu membaca. Dikedudukan penulis yang ternyata jahil, penulis tertanya adakah matlamat iqra’ itu adalah supaya didatangkan ilmu kepada diri manusia melalui membaca, kerana tulisan atau buku ternyata adalah catatan, pembentangan idea, luahan, perkongsian, dan konklusi manusia terhadap pemerhatian sesuatu perkara lalu membuahkan sebuah pengetahuan yang bermanfaat, ataupun iqra supaya dibaca Al-Quran dan difahami isinya, atau kemungkinan keduanya sekali. Kerana penulis percaya, dengan hati yang suci, pemerhatian kita terhadap sekeliling, pengalaman, dan hidup kita bersama alam semula jadi mampu membuahkan hikmah-hikmah, contohnya mudah, melihat orang orang tua di kampung, nelayan, petani dan sebagainya, walaupun kurang bacaannya, ternyata di dalam situasi tertentu, mereka tahu untuk berdiri di mana, untuk membezakan hak dan batil.
Namun dengan membaca pastinya bertambah ilmu. Kita haruslah jujur bahawa mereka yang berilmu ini ternyata kedudukan mereka disisi Allah adalah lebih tinggi berbanding dengan mereka yang kurang berilmu, dan hakikat sebenarnya mereka yang berilmu ini amat merendah diri kerana makin banyak perkara yang diketahui, semakin banyak pula perkara yang tidak diketahui. Maka membaca sepatutnya menjadikan seseorang itu rendah diri.

Penulis gelisah kerana ada perkara yang lupa untuk dinyatakan di atas, tetapi penulis kembali lega dan tenang kerana masih belum terlambat untuk dicoretkan disini. Sesuatu yang amat penting harus diberi perhatian adalah
bahawa Baginda SAW adalah seorang yang ummiy(tidak tahu membaca dan menulis). Pada pendirian penulis, ketika bercakap soal iqra’ kita telah pergi terlalu jauh dalam menanggapi mesej awal islam ini. Dari awal, mesej ini menuntut supaya Baginda SAW faham dengan akal dan hati bahawa Baginda mampu melakukan sesuatu yang Baginda SAW rasa Baginda SAW tidak mampu lakukan. Kerana dari awal lagi, Jibril ternyata mengetahui bahawa Baginda SAW tidak mampu membaca, tetapi tetap meminta supaya Baginda SAW baca, Baginda SAW tidak berkemampuan, tidak berkeupayaan. Maka Jibril berkata bacalah dengan nama Tuhanmu. Jika kita faham dengan mendalam mengenai intipati islam, perkara pertama yang ditukar dengan ilmu yang dibawa oleh Jibril kepada Nabi, adalah cara kita menanggapi persepsi diri kita. Apa yang kita fikir kita tidak boleh lakukan, dengan Tuhan kita boleh lakukan, dan inilah kekuatan iman. Malahan, intipati iman yang dibawa oleh Jibril, adalah bukan untuk melihat diri kita dengan kelemahan yang kita ada, tetapi melihat diri kita dengan potensi yang kita ada. Perkara ini hilang dalam sistem pendidikan kita, seringkali bila bercakap soal ketuhanan, kita diasuh supaya melihat diri kita dengan kelemahan yang kita ada, tetapi sebaliknya patut berlaku. Hasil yang lahir dengan kita merasakan Tuhan dekat dengan diri kita adalah kita merasa sangat positif dengan diri kita. Inilah yang disebut oleh Luqman Al-Hakim apabila beliau menyuruh anaknya berterima kasih kepada Tuhan. Kenapa Luqman menyuruh sedemikian, kerana Luqman mengajar anaknya supaya kembali kepada diri sendiri dan melihat keupayaan diri supaya dari awal kita berterima kasih kepada Tuhan dengan apa yang dikurniakan, dan bukan melihat dengan apa yang tidak dikurniakan. Iman seharusnya melahirkan muslim yang positif, dan yakin bahawa dengan Tuhan semua perkara boleh dicapai, bukannya melahirkan muslim yang pasif, apologetik yang hanya menunggu tibanya Imam Mahdi.

nn

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :