DSC_0713

19 Feb, Khamis – Baru-baru ini telah berlangsungnya Mesyuarat Tahunan Cawangan Iskandariah kali ke-7  dengan membawakan tema ‘Suarakan Solusi Menuju Transformasi’ bertempat di Pusat Konvensyen Universiti Iskandariah. Acara yang dihadiri oleh para perwakilan juga pemerhati ini diadakan pada tiap-tiap tahun bertujuan untuk meraikan suara dan pendapat ahli yang pelbagai dalam memberi nafas baru kepada PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI). Di samping itu, membincangkan gerak kerja tenaga pelajar yang dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Tertinggi sepanjang setahun sesi yang lepas dalam meneraju PERUBATAN Cawangan Iskandariah. Namun menjadi satu keistimewaan bagi tahun ini apabila Mesyuarat Tahunan Cawangan berlangsung selama dua hari berbanding hanya sehari bagi tahun-tahun sebelumnya. Hal ini kerana, pada sebelah malam esok harinya diadakan majlis makan malam perdana buat pelajar-pelajar pergigian.

Jam 5.30 petang, majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran perwakilan juga pemerhati. Untuk makluman, pemerhati terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi tahun 1 yang tidak dibenarkan memberi pendapat dan menyatakan undian sebaliknya hanya melihat keadaan di dalam dewan persidangan kerana dikira sebagai ahli yang masih belum matang. Sementara perwakilan pula merupakan mahasiswa-mahasiswi tahun 2 hingga tahun 6 yang diberi hak melontarkan pendapat, menyatakan pandangan dan memilih sebarang usul dikemukakan. Seterusnya, pelantikan setiausaha sidang bagi pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat tahunan Cawangan kali ke-6 di samping pembentangan laporan AJKT sesi 2014/2015. Selain itu, bendahari PCI turut memberi pembentangan dan pengesahan penyata akaun disusuli dengan sesi soal jawab dan muhasabah sebelum bersurai.

DSC_0685

Keesokan harinya, agenda diteruskan lagi dengan ucapan dif-dif jemputan seperti Pengarah Jawatankuasa MTC, Majlis Tertinggi PCI 2014/2015, Pengarah MARA Timur Tengah serta Executive Manager of IUMP, Dr Hala Makhlad. Memetik kata-kata salah seorang tetamu kehormat Encik Ahmad Sofi bin Abdullah selaku Pengarah MARA Timur Tengah, “Dalam tampuk kepimpinan, harus berteraskan  tiga paksi utama. Pertama, dengan adanya pemimpin. Kedua, mereka yang dipimpin. Dan yang ketiga, program yang dilaksanakan. Ketiga-ketiga ini perlu ada selari di bawah satu barisan bagi memantapkan dan mengukuhkan sesuatu organisasi.” Jam 10 pagi, MTC kali ke-7 dirasmikan bersama tayangan video.

Selanjutnya, diadakan ucapan penangguhan Pengerusi PCI 2014/2015, saudara Ahmad Abid bin Amin. Dalam ucapan beliau dinyatakan pembawaan-pembawaan PCI bagi sesi lepas yang berupa akademik, kebajikan, kesatuan, pembangunan insan dan biah solehah, keselamatan serta profesionalisme. Beliau juga menasihati pimpinan baru agar mengemudi bahtera sebaiknya dan membawa ke arah yang lebih berjaya sebelum mengakhiri kalam. Tiba masanya slot yang ditunggu-tunggu, Slot Apresiasi kepada pimpinan. Sambutan yang sangat menggalakkan dapat dilihat apabila ramai perwakilan menyuarakan penghargaan mereka dan berterima kasih sehinggakan ada yang tidak berpeluang menyatakannya akibat dari kekangan masa.

DSC_0781

Pembentangan, perbahasan dan kelulusan usul yang merupakan agenda wajib lagi penting menjadi tentatif seterusnya. MTC kali ini mempunyai lima usul dan yang menariknya semua usul diterima. Usul pertama ‘Membantu Pengurusan Visa Mahasiswa Pergigian’ dari Nur Fatin Hanani, Tahun 2 kuliah pergigian. Usul kedua ‘Memperkasakan gerak kerja Lembaga Penasihat PCI dan Penasihat Batch’ oleh Muhammad Akram Arif bin Sobree, Tahun 6 Kuliah Perubatan.’ ‘Menggesa PCI meningkatkan usaha untuk mewujudkan biah akademik dalam kalangan ahli PCI demi melahirkan personaliti seorang doktor dalam setiap individu’ merupakan usul seterusnya oleh Mohamad Hisyam bin Yusoff, tahun 6 kuliah perubatan. Nur Aisyah binti Hasshim, tahun 3 kuliah pergigian turut menyatakan usul berupa ‘Memperkenalkan satu sistem di setiap rumah ahli bagi mewujudkan gelombang biah solehah.’ Usul terakhir oleh Ahmad Naufal bin Nordin, tahun 3 kuliah perubatan yang berbunyi ‘Menggesa PCI dalam mengusahakan keterlibatan graduan Malaysia dalam alumni Universiti Iskandariah’.

Selesai pembawaan usul, Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Penasihat PCI sesi 2015/2016 diperkenalkan. Sesi muhasabah dan cadangan diadakan. Sesi perbahasan ucapan dasar Pengerusi PCI 2015/2016 Muhammad Faris bin Zulkifli dijalankan di samping pelantikan 4 orang juruaudit. Dalam ucapan dasar ini, beliau menekankan aspek penghayatan dalam suasana akademik, pemeliharaan kesatuan dan pemilihan jati diri. Akhir sekali, majlis penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada mereka yang banyak membantu sesi lepas seperti Penasihat dan AJKT, Organisasi Batch serta tidak dilupakan pelajar-pelajar cemerlang. Acara tamat jam 5.15 petang dan semua pemerhati dan perwakilan bersurai.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :