logo

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji dan kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi atas nikmat Islam dan iman. Selawat dan salam ke atas junjungan dan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Semoga dengan rahmat Allah Taala serta syafaat Nabi SAW kita dapat dihimpunkan bersama-sama di dalam syurga-Nya kelak.
Sebuah bangunan yang kukuh tidak akan berdiri teguh tanpa tapak yang utuh. Begitu juga dalam sebuah organisasi. Rakyat umpama akar, raja umpama pohonnya. Jika tiada akar, pohon takkan berdiri teguh. Dalam membentuk organisasi yang mampan, pemilihan tampuk pimpinan menjadi antara faktor penting dalam merelialisasikan harapan tersebut. Pemilihan melalui pungutan suara ramai dilihat mampu bertindak secara adil dan kolektif untuk semua pihak. Pungutan suara ramai ini secara langsung bakal menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan yang dipilih.

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” (al-Qasas:26)

Melihat kepada kepentingan seruan dalam ayat ini, PERUBATAN Cawangan Iskandariah seperti sesi-sesi yang lalu, akan mengadakan Pilihanraya Organisasi Batch [OB] seiring dengan sesi akademik baru 2014/2015. Perlantikan Suruhanjaya Pilihanraya telah dijalankan dengan membariskan Penasihat Batch, Ketua Batch, Timbalan Ketua Batch serta Unit Akademik yang sedang bertugas pada sesi kali ini.

Mengambil langkah proaktif, kami di barisan Panitia Perancang telah meletakkan garis masa bermula 15 Disember 2014 sehingga 25 Disember 2014 sebagai tempoh pilihanraya. Batch yang terlibat terdiri daripada;

  1. Tahun 2 Medik [ iMec]
  2. Tahun 3 Medik [ Phylox]
  3. Tahun 4 Medik [ Stanza Mahabbah]
  4. Tahun 5 Medik [ ACE]
  5. Tahun 6 Medik [ iMumtazz]

 

Dalam menjayakan pilihanraya ini, 4 objektif telah digariskan:

  1. Menyediakan medium kepada ahli memilih kepimpinan batch melalui sistem pilhanraya.
  2. Memberi pendedahan dan pendekatan kepada ahli tentang fungsi dan peranan organisasi yang terdapat dalam PERUBATAN Cawangan Iskandariah melalui organisasi batch yang dipilih.
  3. Melatih dan memupuk sifat kepemimpinan dalam kalangan ahli melalui organisasi kecil (batch).
  4. Memudahkan urusan dan rujukan kebajikan ahli melalui organisasi batch ke PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

Gerak kerja Organisasi Batch yang terlibat akan berkuatkuasa selepas pengumuman penuh keputusan pilihanraya pada 25 Disember 2014. Majlis Ketua Batch sesi 2014/2015 yang telah dilantik adalah di bawah kendalian Naib Pengerusi PCI 2014/2015 dan sesi 2015/2016 (sesi 2015/2016 berkuatkuasa setelah Mesyuarat Tahunan Cawangan) dibantu oleh Lembaga Penasihat PCI.

Amanah dan Tanggungjawab

Tugas melantik seorang ketua merupakan satu amanah dan tanggungjawab bagi setiap ahli dalam sesebuah organisasi. Ketahuilah bahawasanya amanah ini terletak di atas bahu setiap daripada kita untuk memilih ketua yang mampu memimpin kita ke jalan yang diredhai Allah SWT. Justeru itu, kami menyeru semua ahli PERUBATAN Cawangan Iskandariah untuk turut serta dan bersama-sama melibatkan diri sepanjang proses pilihanraya ini dengan sasaran 100% ahli setiap batch turun mengundi.
Akhir kata, besarlah harapan kami kepada seluruh ahli PERUBATAN di Mesir memberikan sokongan dan kerjasama yang padu bagi menjayakan Pilihanraya Organisasi Batch. Semoga perjalanan pilihanraya ini akan diredhai oleh Allah dan dapat memberikan kebaikan kepada seluruh warga PERUBATAN sekaligus melahirkan bakal-bakal pemimpin negara yang disegani dan dihormati.

Sekian, terima kasih.

‘Di Sini Pemimpin Dilahirkan’
‘Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati’

 

 

alepkecil

MOHAMAD ALIF AKMAL BIN ABD RAHIM
NAIB PENGERUSI I,
PERUBATAN CAWANGAN ISKANDARIAH,
SESI 2014/2015

 

ainikecil

AINI HAFIZAH BINTI SALLEH
NAIB PENGERUSI II,
PERUBATAN CAWANGAN ISKANDARIAH,
SESI 2014/2015

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :