“Kenapa dalam banyak-banyak surah di dalam Al-Quran, surah Al-Fatihah dipilih sebagai surah yang wajib dibaca di dalam solat?”

Saya masih ingat, ini antara persoalan yang diketengahkan dalam smart circle sewaktu saya masih di tahun satu dahulu. Sahabat-sahabat lain masing-masing memberikan jawapan, cuma pastinya saya lebih tertarik dengan penjelasan ringkas yang diberikan oleh mentor smart circle kami sendiri.

“First thing first. Awlakan perkara yang paling utama.”

Cumanya, bukan surah Al-Fatihah yang menjadi subjek utama perbincangan dalam tulisan kali ini. Saya ingin melontarkan persoalan lain untuk difikirkan bersama. Cumanya kali ini persoalan dan jawapan ini saya dapat melalui pembacaan, bukan dari smart circle.

“Kenapa cerdik pandai zaman dahulu menggunakan istilah “bab” yang memberi makna “chapter” dalam bahasa Inggeris dalam kitab-kitab mereka?”

“Bab” maksudnya apa?

Ya, pintu.

Ada beberapa sebab, dan saya percaya sebab-sebab ini mampu mengubah persepsi kita sebagai seorang penuntut ilmu.

Pertama, perkataan bab (pintu) digunakan untuk memberitahu penuntut ilmu bahawa mereka sedang memasuki satu dimensi yang baru. Alam yang berbeza. Seseorang yang mencari ilmu, dia tidak lagi sama sebagaimana dirinya sebelum menuntut ilmu. Satu lambangan yang seakan-akan ingin memberitahu penuntut ilmu bahawa sebaik sahaja mereka melangkah masuk, mereka harus tinggalkan semua sifat-sifat buruk (maksiat) mereka di luar pintu.

Ilmu itu cahaya, bukan? Maka ilmu itu hadir buat mereka yang datang dengan hati dan jiwa yang bersih.

“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Az-Zumar : 9)

Namun adakalanya pintu itu tak dapat dibuka. Terkunci dari dalam.

Inilah asbab yang kedua perkataan bab (pintu) digunakan. Bahawa sesungguhnya ilmu ini ada kuncinya.

“Bagaimana caranya untuk membuka pintu yang berkunci?”

Cara paling mudah, ketuk pintu.

Beri salam dan minta izin tuan rumah untuk masuk. Jika tuan rumah ada ketika itu, boleh jadi beliau akan membenarkan kita masuk. Begitulah juga dengan ilmu. Sebagaimana pesan Imam Abdullah bin ‘Alawi al Haddad :

“Bertanya itu adalah kunci yang dapat menyampaikan seseorang kepada makna-makna ilmu dan rahsia-rahsia ghaib yang ada di dalam dada dan hati. Sepertimana seseorang tidak akan dapat menjumpai barang-barang dan harta benda yang berharga di dalam rumah kecuali dengan menggunakan kunci yang diperbuat daripada besi dan kayu. Demikianlah pula seseorang tidak akan dapat sampai kepada ilmu dan pengetahuan yang ada pada ulama, tetapi dengan pertanyaan-pertanyaan yang ditujukan untuk mengambil manfaat yang disertai dengan kesungguhan, keinginan dan adab yang baik”

 Adakalanya situasinya begitu. Hanya perlu ketuk pintu dan memberi salam.

Namun bagaimana jika pintu sudah diketuk, salam sudah diberi namun pintu masih sahaja tetap tidak dibuka?

Itulah waktu di mana ilmu seakan-akan ingin membisik:

“Mencari aku tidak selamanya semudah mengetuk pintu.”

Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

Ilmu tidak diperoleh dengan badan yang bersantai-santai – HR Muslim

Adakalanya tuan rumah tiada. Ketika itu, ketuklah beribu kali pun, pintu tetap sahaja tidak akan terbuka melainkan kita memiliki kuncinya atau bertemu dengan tuan rumah. Kita merupakan bukti betapa jauhnya seseorang penuntut ilmu itu mampu mengembara semata-mata ingin mencari kunci tersebut. Jika ingin ‘mengetuk pintu’ pintu pun sudah berasa malu, apatah lagi ingin bersungguh-sungguh mendampingi tuan rumah.

Ingatlah kembali pesanan Imam Abdullah bin ‘Alawi al Haddad:

“…yang disertai dengan kesungguhan, keinginan dan adab yang baik”

Yang terakhir, dalam membicarakan soal bab (pintu) ini, jangan pernah kita lupa janji Allah dalam sabda baginda Rasulullah :

Barangsiapa yang melalui sesuatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. (HR Muslim)

Boleh jadi bab (pintu) itulah yang membawa kita ke syurga.

Sebagaimana pesan Tariq Ramadhan :

“Kita Muslim tidak menyembah ilmu. Tapi kita menggunakan ilmu untuk menyembah Allah.”

Sahaja aku belajar kerana Allah.

Walaupun bunyinya klise, selalu benar diulang-ulang namun itulah kebenarannya, semuanya kerana Allah.

Disediakan oleh:

Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Iskandariah,

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :