Ada tiga orang lelaki sedang menebang sebatang pokok besar. Sejak pagi mereka melakukannya namun seolah-olah batang itu sedikitpun tidak bergoyang. Sudah habis keringat dicurahkan namun segala-gala tampak sia-sia.

Tahu kenapa?

Rupa-rupanya gergaji dan kapak masing-masing tumpul lantaran langsung tidak diasah. Nah untuk apa tenaga itu dibazirkan begitu sahaja? Begitulah kita dalam hidup ini. Tidak cukup dengan semangat yang berkobar dan jiwa yang kuat sahaja, kita juga memerlukan satu perkara lagi.

Strategi.

Ayat tazkirah itu masih terngiang-ngiang di telingaku, seolah-olah mengetuk diri yang berada di dalam dunia sendiri. Berada dalam forum ‘How To Become A Successful Medical Student’ membuatkan aku merasakan sedang berada di tempat lapang yang sedang dijirus dengan air sejuk dari langit. Masakan tidak, segala-gala yang diperkatakan ahli panel begitu mengesankan hati ini, betapa selama ini aku hanya seorang yang langsung tidak menitikberatkan strategi dalam pembelajaran.

sharpen the saw

Aku akui, setelah lima tahun berada di bumi Iskandariah, rankingku dalam batch hanya biasa-biasa, tiada apa yang boleh dibanggakan setiap kali aku menelefon ibu mengkhabarkan tentang result. Jawapanku hanya satu; ‘Saya dah usaha sehabis baik dah ibu, bahkan ramai cakap saya belajar jauh lebih rajin dari kawan-kawan lain yang sama batch..Tapi nak buat macam mana, mungkin IQ saya setakat ini sahaja..’

Namun kini, ku sedar ternyata kata-kata itu salah. Setiap sesuatu memerlukan strategi. Bahkan Sultan Muhammad Al Fateh sendiri menyiapkan seribu satu perancangan dalam menghadapi tentera Kristian dan hasilnya, terbukti bagindalah yang disebut Rasullullah sebagai sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

Dahulu kala aku selalu memandang sinis kepada sahabat-sahabat yang membaca buku motivasi atau teknik belajar kerana bagiku itu adalah nukilan orang lain dan tidak semua orang mempunyai kemampuan yang sama. Sebab itulah aku hanya meninggalkan buku-buku demikian di Malaysia walaupun itu adalah pemberian orang tersayang, daripada orang tuaku.

‘Tapi kalau sahabat semua baca buku Dr Muhaya, beliau tidak menceritakan secara detail teknik pembelajarannya, dan itu memang tidak perlu pun. Bayangkan kalau beliau menceritakannya, saya yakin hanya 2 peratus yang benar-benar mampu mengamalkannya. Apatah lagi sebagai medical student di Mesir yang mempunyai 4 musim berbeza, pastinya ia menuntut cara study yang berbeza bagi setiap musim.’

Jadilah seorang pendengki

Aku masih ingat ketika berada di tahun satu, ketika itu aku tinggal di asrama MARA. Ditakdirkan aku tinggal sebilik dengan seorang sahabat dari selatan. Setiap malam ketika ingin menutup buku selepas study, akan terdengarlah satu suara ‘Yes!’ dan ku lihat sahabat itu sedang tersenyum sambil memandangku. Cis rupa-rupanya dia sengaja mengatakan itu untuk tidak membenarkan aku tidur. Pandai sekali dia bermain psikologi. Kerana sememangnya sejak dari alam persekolahan lagi aku menjadi cepat cemburu kepada orang yang belajar lebih dariku, setelah mendengar tazkirah dari seorang ustaz :

‘Nabi cakap hasad atau dengki dibenarkan dalam dua perkara. Yang pertama, dengki kepada seorang kaya yang suka menderma, dan kedua, dengki kepada orang alim yang belajar dan menyebarkan ilmunya. Ha tapi itu dengki supaya kita pun berusaha menjadi seperti mereka, bukan dengki lalu mencuri harta kepunyaannya haha..’

Aku tahu Tuhan sedang mengajarkan aku sesuatu sekarang ini, iaitu dalam menuntut ilmu kita harus menjadi si pendengki. Di saat diri terasa tiada semangat untuk belajar, ambillah masa untuk menjenguk bilik sahabat yang sedang study, lihat dan perhatikan si dia. Semoga itu bisa membantu kita menyerap semangat yang berkobar dari dirinya.

Reward for yourself

‘Kalau dalam kepala kamu ingin menonton movie sekarang, boleh tapi dengan syarat jadikan ia satu hadiah selepas kamu belajar. Disiplinkan diri kamu dengan perkara ini. Selepas baca buku setengah jam, hadiahkan diri kamu dengan movie selama 15 minit contohnya. Dan begitulah seterusnya.. Akhirnya movie kamu dapat habiskan, buku kamu dapat khatamkan. Walaupun mungkin movie itu mengambil masa tiga hari untuk dihabiskan tapi bukankah itu namanya mujahadah?’

Ini antara tips yang salah seorang panelis forum kongsikan. Sekarang aku tahu bagaimana untuk menguruskan kegemaranku yang satu itu iaitu coklat. Akan kubeli Cadbury banyak-banyak untuk disimpan di dalam peti ais. Sebelum dimakan akan kupastikan sekurang-kurangnya 5 page menjadi santapanku terlebih dahulu. (pesanan : perbuatan ini tidak baik untuk diamalkan kerana akan merosakkan gigi anda)

Tapi ini berguna untuk mereka yang masih belum berkahwin. Bagi yang sudah kahwin, mintalah dari pasangan masing-masing, akhirnya dua-dua bakal menjadi pasangan cemerlang, dengan izin Allah.

Niatlah Kerana Sang Pencipta

Akhir sekali, sebelum memulakan strategi-strategi kamu yang pelbagai itu, jangan lupa menetapkan niat yang terbaik di hati. Niat inilah yang akan memandu kita di saat terasa lelah dalam perjalanan yang sangat panjang. Yang menguatkan kita di saat terasa tidak mahu lagi menatap buku-buku medic lantaran kamu tidak faham sepatah apa pun yang diajar di dalam dewan kuliah.

Ingat, jangan lupa niat awal ketika mula-mula menjejakkan kami di bumi Mesir. Katanya mahu menjadi doctor yang berjuang untuk ummah, bukan? Mahu membahagiakan orang tua? Berjuang di Palestin dan Syria? Dan banyak lagi niat yang ada dalam hati masing-masing.

Bagus keranan sememangnya niat itu sangat penting!

‘Bila kamu tiada semangat untuk belajar, kamu akan cari juga semangat itu kerana kamu tahu sebab apa kamu berada di sini.’

Cuma izinkan aku berpesan satu perkara, antara kebanyakan niat itu, letaklah niat yang paling tinggi iaitulah kamu belajar kerana Allah. Kerana satu hari nanti orang tua kamu akan pergi bertemu Allah. Palestin dan Syria akan kembali aman selepas ini, menjadi milik orang Islam sepenuhnya. Namun jika niatmu kerana Allah, ketahuilah Allah tetap akan kekal selamanya dan mudah-mudahan semangatmu juga akan utuh selamanya.

Wallahua’lam.

struggle today will make you stronger tomorrow

 

Ditulis oleh:

Mohammad Hisyam bin Yusoff
Mahasiswa Tahun 5,
Fakulti Perubatan,
Universiti Iskandariah,
Mesir.

Dengan kerjasama :

Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :