Kenyataan Hari Khusus SC

Mentor Council amat komited dalam usaha memberikan tarbiah yang terbaik dan menyeluruh kepada seluruh mahasiswa bertepatan dengan pembawaan ke-4 didalam ucapan dasar Pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah iaitu “Pembangunan Insan” .

Analisis dan kajian telah dijalankan terhadap muhasabah yang diberikan dan langkah demi langkah telah disusun untuk mengatasinya. Idea “Hari khusus SC” direncanakan sebagai resolusi terhadap muhasabah yang diterima.Antaranya masalah kekangan waktu, tiada perjumpaan berkala, pertindihan program serta keadaan mentor dan mentee yang sibuk.

Dr Yusof Al-Qardawi didalam bukunya “Al Wakt Fi Hayatil Muslim” menekankan bahawa manusia secara semula jadi sukakan kehidupan dan inginkan hidup lebih lama. Walaupun begitu, manusia tidak dapat menolak fakta bahawa semakin lama hidupnya, semakin tua dirinya dimamah usia.Jalan keluar terbaik kepada proses ini adalah memaknakan kehidupannya dengan meningkatkan keikhlasan dan pengabdian kepada Allah S.W.T. Persoalan timbul, dimana ruangnya?

Sesungguhnya Smart Circle (SC) merupakan suatu ruang dan peluang kita untuk berubah menjadi lebih baik. Ia juga menjadi medan ahli-ahli SC berkongsi suka-duka, medan perbincangan isu semasa, membina tsaqofah islamiah dan mempererat ikatan ukhuwwah. SC amat penting dalam pembinaan individu muslim kearah maratib amal yang lebih tinggi sehingga akhirnya mencapai ustaziatul alam.

Suatu perkara lagi yang perlu diberi perhatian adalah apabila kita menjadi doktor gigi atau doktor kesihatan muslim, kita bukan hanya merawat fizikal tubuh pesakit, tetapi kita perlu menyentuh hatinya kerana kesihatan sebenar berlaku tatkala jasad dan roh menjadi aman. Peribahasa Melayu ada mengingatkan ,”belakang parang lagikan diasah akan tajam”. Insyaallah sedikit usaha namun istiqamah akan membuahkan hasil yang akan dinikmati bukan sahaja empunya diri bahkan keluarga dan masyarakat sekeliling.

Sejarah membuktikan bahawa tarbiah Islamiah mampu melahirkan pemuda-pemuda luar biasa yang mampu menyumbang kearah kemakmuran dunia. Pengorbanan kanak-kanak pertama yang memeluk islam iatu Saidina Ali untuk memastikan hijrah Baginda Muhammad S.A.W berjaya amatlah besar.Beliau telah menggantikan tempat tidur Baginda. Lain pula ceritanya Usamah bin Zaid.Beliau telah mengetuai angkatan Islam ke wilayah Syam ketika berumur 18 tahun. Relatifnya usianya amat muda namun keazaman dan keimanan mengatasi segalanya.

Ulama-ulama yang lahir selepas zaman tersebut juga telah menyumbang sesuatu yang amat besar kepada ketamadunan dunia.Imam Syafie sudah layak mengeluarkan fatwa di Mekah ketika berumur 15 tahun. Ibn Sina pula dikatakan telah selesai membaca semua karya penting dizamannya ketika berusia 18 tahun.Inilah contoh-contoh pemuda yang terdidik daripada tarbiah Islamiah.Jika sudah ada bukti didepan mata, mengapa perlu berdiam diri. Mentor Council menyeru seluruh warga PCI agar memanfaatkan seoptimum mungkin SC masing-masing.

Akhir sekali, Mentor Council amat mengharapkan agar manfaat “Hari Khusus SC” ini akan digunakan sebaik mungkin oleh semua warga PCI . Hal ini kerana ruang waktu tersebut akan dikosongkan oleh PCI daripada sebarang aktiviti. Ia adalah satu pengorbanan yang besar dan sebagai ahli persatuan sesungguhnya peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Semoga lahirlah pemuda-pemuda yang bersemangat seperti singa,gagah seperti gajah , rajin seperti lebah, kreatif seperti lelabah, tabah seperti unta, dan teliti seperti helang dari bumi Iskandariah.Bersama kita doakan.
“Dalam hati setiap insan, pasti ada walau sekelumit keinginan, untuk berubah menjadi lebih baik”

Sebarang pertanyaan dan masalah berkaitan Hari Khusus SC boleh rujuk individu berikut:

Muhammad Huzaifah bin Hassan : 0111-538 2508

Nur Syakirah binti Othman : 0115-663 9918

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :