Konflik-konflik yang seringkali hadir dalam kehidupan seorang manusia merupakan qada’ dan qadar (ketentuan) daripada Allah S.W.T. Kita yang namanya hamba, sangat perlu untuk sedar dan menerima hakikat bahawa sesungguhnya antara tujuan penciptaan manusia adalah untuk diuji dan dinilai oleh Allah S.W.T.  Malangnya akal manusia yang pendek membuatkan kita terlalu prejudis dan bersangka buruk dengan ketetapan yang telah Dia aturkan.

Bukan semua ketetapan yang baik pada pandangan kita, semudahnya boleh kita takrifkan sebagai nikmat. Bukan semua ketentuan yang buruk pada penglihatan kita, terus kita menghukumnya sebagai musibah dari Tuhan. Kadang-kala Allah turunkan ujian dalam kenikmatan, dan dikurniakan nikmat dalam kesusahan dan ujian. Malah sebenarnya semua yang Allah aturkan, baik nikmat mahupun ujian merupakan sebahagian daripada kehidupan.

Kisah ombak dan lautan

Sedang ombak menikmati indahnya tiupan angin yang juga makhluk ciptaan Tuhan, dia melihat ombak lain yang berada tidak jauh di hadapannya menghempas batu-batu di tepian pantai. Menyedari tidak lama lagi dia juga akan menerima nasib yang sama, dia berasa sedih.

“Bagaimana sekarang ini? Adakah aku juga akan menghempas batu-batu itu? Pasti menyakitkan.”

Kemudian datang ombak yang lain. Melihatkan ombak tadi sedang bersedih, lantas dia bertanya:

 “Kenapa engkau kelihatan sedih?”

 Ombak yang risau tadi menjawab:

 “Engkau tidak tahukah kita semua akan melanggar batu-batu besar di hujung sana. Entah apa akan jadi kepada kita selepas itu. Malang sungguh nasib menjadi ombak.”

Ombak lain tadi kemudiannya membalas:

“Tidak. Bukan begitu. Kita bukannya ombak. Kita sebahagian daripada lautan.”

*****

Seperti ombak yang sebenarnya sebahagian daripada lautan, begitulah juga ujian yang sebenarnya sebahagian daripada kehidupan. Hakikatnya ujian itu bukan semata-mata ujian. Ianya manifestasi kehidupan hamba-hamba yang beriman. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang merupakan kekasih Allah lagi diuji, inikan pula kita umat baginda. Allah S.A.W telah berfirman:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”(Al-Baqarah: 214)

Ibrah dan pengajaran

Kerana itu, yang menjadi pertimbangan kepada Allah kemudiannya adalah bagaimana manusia beriman tadi menghadapi konflik-konflik tersebut. Sama ada melalui jalan kebaikan ataupun kejahatan. Manusia yang beriman tidak terus menyalahkan Tuhan atas sesuatu yang telah ditetapkan. Kerana mereka beriman bahawa sebaik-baik perancang itu adalah Allah S.W.T. Dia yang Maha Menciptakan dan menetapkan segala sesuatu.

Allah jualah tempat sebaik-baiknya meletakan pengharapan untuk suatu kehidupan.

Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya mereka telah berlumba-lumba dalam usaha-usaha kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan takut, dan mereka itulah adalah orang-orang yang tunduk hatinya kepada Kami.” (Al-Anbiya’: 90)

Mereka akan terus berusaha untuk mencari redha Allah S.W.T dengan tetap yakin bahawa ada hikmah di sebalik setiap aturan Ilahi. Seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini, tidak semua musibah yang terlihat buruk pada permulaannya, akan tetap buruk sehingga pengakhiran. Disebabkan itu, orang beriman seharusnya bijak mengambil peluang.

Seperti kata pepatah cina:

‘When the wind of change blows, some build walls, while others build windmills.’

Allah bukan plan B

Antara ruang dan peluang paling besar yang Allah kurniakan bersama ujian, adalah kesedaran untuk kembali kembali Tuhan. Sudah menjadi fitrah manusia yang lemah, akan terus teringatkan Allah yang Maha Kuat ketika waktu yang menghimpit. ‘Allah..’ Itulah kata yang spontan terucap apabila ditimpa sesuatu musibah.

Silapnya kita kerana merasakan diri sangat lemah hanya apabila ditimpa ujian. Saat senang, entah mana ingatan kita kepada Tuhan. Sampai bila mahu begitu? Sampai bila mahu berTuhan hanya ketika senang? Ingatlah, Allah tetap sama saat kita susah mahupun senang. Allah tetap yang Maha Kuat, Yang Maha Agung. Andai sahaja kita tidak meletakkan Allah sebagai pilihan kedua, pasti segala rencana yang Dia aturkan mampu kita hadapi dengan baik sebagaimana layaknya seorang hamba.

 Kerana itu Allah berikan kepada manusia hak untuk memilih berbekalkan Al-Quran dan As-sunnah yang dipandu dengan akal yang waras. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya” (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Percayalah, dengan berlalunya waktu maka berlalulah juga kesusahan dan kesenangan. Fahamilah bahawa nikmat dan ujian semuanya sebahagian daripada kehidupan. Sedarlah bahawa kita semua hanyalah hamba yang hidup bertuhan.

“Life is what you make of it. Make the most of what you have. Finding happiness even in the worst of situations.”

Ujian dan Kehidupan

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :