broken pieces

Ding..dong..ding..dong

“Hana..tengok siapa dekat luar tu..” jerit Adri dari dalam bilik. Mata dipejam celik meneliti key yang berselirat di atas sheet music.

“Aaaa tengokkanlah..aku tengah tumis bawang ni, nanti hangus.” Hana balas laung dari kuali yang berasap-asap di atas dapur.

“Hudaaa!” laung Adri dan Hana serentak.

“Aku tengah lari atas treadmill ni, terbantut nanti proses pembakaran lemak.” Balas Huda sama kuat dengan laungan Adri dan Amni. Budak berdua ni memang liat bab-bab nak bukak pintu.

Ding..dong..ding..dong

Loceng rumah menjerit lagi. Lembut suara gadis di luar memberi salam.

Adri ketap bibir. Butang off keyboard ditekan. Sheet music diletak tepi. Serabut. Janganlah Durrah yang balik. Memang masak kena bebel sebab semua orang taknak bukak pintu. Aisehmen. Memang betul Durrah yang tecongok dekat muka depan pintu.

“Waalaikumussalam wbt. Sorry Durrah, lambat bukak pintu.” Adri sengih serba-salah

“Naa~ its ok, salah aku jugak tertinggal kunci. Nasib baik Durratun Najhan yang datang ketuk pintu, cuba kalau hidayah Allah yang datang ketuk pintu, tapi takde orang yang datang buka, kan dah rugi.” Lembut Durrah mengingatkan.

Adri sengih geram melihat Huda yang senyum jahat atas treadmill. Laju tangannya menekan butang di atas treadmill bagi mempercepatkan kelajuan.

Hoi kau nak bunuh aku eh Adri? “ Huda melompat dari atas treadmill, menyambung nafas yang hampir putus.

Fuh. Nyaris tersembam. Keji la Adri ni, nasib baik cepat lompat, buatnya tersungkur tertonggeng atas treadmill tu, hilang sebatang gigi. Memang sampai mati kena bahan dengan budak-budak ni.

“Nah.sorry..” Adri hulur air mineral.

“Nasib baik aku tak tertonggeng tau.” Huda jeling sekilas, cepat-cepat tangannya menyambut huluran air Adri. Adri memang nakal, tapi Adri jugaklah yang paling cepat minta maaf andai kenakalannya melangkaui tahap kesabaran manusia.

“Huda, kau perasan tak sejak akhir-akhir ni Durrah selalu balik lambat? “ Adri lepas nafas perlahan, badan disandarkan ke dinding, merenung Huda yang meneguk air rakus. Teruknya anak dara sorang ni.. macam tak pernah jumpa air.

Huda letak gelas kosong di atas lantai. Peluh yang menitis di dahi dilap dengan tuala goodmorning. Kalau dekat Malaysia, tuala goodmorning tu dibuat kain buruk je. Tapi, bila kau jejak je bumi asing, segala benda yang dari Malaysia tu semuanya macam permata- priceless. Hatta biskut Hup Seng pun kau akan tengok macam roasted turkey tau.

“Perasan jugak. Tengok muka dia yang sangat penat pun aku rasa tak sanggup nak tanya banyak . tapi aku teringin jugak nak tahu apa masalah dia, ada orang buat dia serabut ke hari ni, ada apa-apa yang perlu aku tolong ke, dia dah habis study ke..” gelas atas lantai dipusing perlahan. Susah juga berkawan dengan manusia yang spesies tak suka susahkan orang ni. Segalanya nak ditanggung sendiri.

*****

Girls, its dinner time.” Hana tersenyum manis melangkah keluar sambil menatang pinggan dan periuk nasi.

Fuyyo Hana, dah macam master chef dah gayanya..siap dengan apron bagai, kau ni tengah praktis nak pikat hati bakal mak mertua eh?” usik Adri nakal.

“Eh Hana, jangan lupa letak gula melaka tau. Masakan orang Kelantan selalunya manis. Kan ‘dia’ orang Kelantan”mengekek Huda ketawa melihat muka Hana yang sudah memerah. Pantang diusik, cepat je blushing.

“Malas layan korang. Dah pergi panggil Durrah makan sekali.” Nasi disenduk ke dalam pinggan. Budak berdua ni, kalau dilayan, memang sampai esok pun tak habis nak mengusik orang.

“Adri…nak tambah nasi, “ Durrah hulur pinggan, kenapa Hana dengan Huda tengok aku semacam?

“Durrah, kau ok ke? Dah 3 kali kau tambah nasi.” Tanya Hana pelik. Durrah memang kuat makan, badan kurus, makan macam bela hantu raya je gamaknya. Tapi tak selalu Durrah tambah nasi banyak kali macam ni.

“Penat.” Durrah jawab sepatah. Senyum ikhlas dilempar buat sahabat-sahabat yang sentiasa setia nangis ketawa bersama, jatuh bangun berempat, merekalah yang sudi menghulur tangan andai diri lemas tak terjaga-jaga, andai  hati berkecai dikecewakan manusia.

Adri, Huda, dan Hana senyum segaris. Faham sangat dengan nada sepatah itu. Durrah yang mereka kenal sebelum ini tidak seperti itu. Sejak memegang jawatan sebagai Exco Akademik di universiti, Durrah semakin tidak banyak bercakap. Durrah kata, bimbang andai masanya disia-siakan sedang hak orang lain terabai.

Salute.

Sungguh mereka kagum dengan Durrah. Durrah yang rebellious dahulu bertukar menjadi Durrah yang religious. Hebatnya tarbiah bumi anbia’ ini. Durrah memang takut andai amanah yang tergalas dibahunya tak terlaksana. Teringat lagi kata-kata lecturer semasa mereka di pre-med dulu:

“Mesir itu adalah bumi Nabi Allah Musa, dan juga bumi Firaun Laknatullah. Awak pilihlah nak menjadi sebaik Nabi Musa a.s ataupun seteruk Firaun laknatullah.”

Nampaknya Durratun Najhan sudah membuat pilihan.

*****

Knock….knock…knock..

Durrah kalih pandangan dari skrin laptop ke muka pintu, kertas laporan audit akedemik diletak tepi. Air mata yang hampir kering di pipi diseka perlahan. Penat sangat, penat dengan urusan persatuan, penat mengendalikan adik-adik usrah, penat dengan meeting setiap hari. Penat memikirkan masalah ummah. Sungguh, Durrah tak sekuat yang disangka.

“Masuklah.”

“Durrah, nah ni.” Adri menghulur fail merah tebal seinci.

“Apa ni?” Durrah angkat kening bertanya. Takkan hadiah kot, Adri ni bukan jenis pemurah nak bagi hadiah, entah-entah katak mati. Astargfirullahal azzim, Durrah, tak baik su’u zzon (bersangka buruk)

“T nota kuliah. Aku tahu kau dah 3 hari skip lecture kan? Aku bertapa dari pagi sampai petang dekat Bibliotheca semata-mata nak siapkan nota untuk kau.” Tulus Adri berkata.

Bukan senang nak tengok Iman Adriana bertapa dekat library Bibliotheca semata untuk siapkan notes. Bibliotheca, sebuah perpustakaan yang gah berdiri di sebelah hamparan laut Mediterranean, dibangunkan hasil usaha sama pelbagai pihak bagi menghidupkan semula sebuah perpustakaan agung dalam era ancient Egypt dulu.

Berkaca mata Durrah merenung fail berisi nota itu. Terharu. Sungguh sahabat, kaulah titipan Allah di kala aku kepenatan dengan mehnah duniawi. Kaulah yang setia menyalur semangat di kala aku terasa mahu berhenti dari jalan dakwah dan tarbiah ini.

“Dahlah, jangan nangis..aku faham kau penat, kalau kau cakap kau bekerja untuk ummah, kau belajar untuk membantu ummah, aku pun teringin nak bantu ummah jugak, aku taknak kau rasa kau sorang-sorang. Mungkin kita berbeza fikrah, tapi kita tetap berdiri diatas satu akidah yang sama.” Lembut Adri menepuk bahu Durrah.

“Nah Durrah, aku tolong rakamkan lecture. Nanti sebelum tidur, kau boleh dengar.” Hana menghulur mp3 kepada Durrah.

Terketar tangan Durrah menyambut.

“Durrah, ni tadi aku belikan kau buku Oxford Handbook of Clinical Medicine, kecik je buku ni. Nanti boleh kau baca masa tunggu tram ke, atas tremco ke..” Huda senyum comel sambil menghulur buku.

Terhinjut bahu Durrah menahan tangis.

“Durrah, aku ada satu permintaan.” Hana renung mata berkaca milik Durrah. Bening mata itu, mengapa terlalu sukar untuk dimengerti?

“Cakaplah, inshaAllah kalau aku mampu, aku penuhi.” Jawab Durrah perlahan. Cuba menahan sebak.

“Boleh tak, kalau kau nak mintak tolong apa-apa, kau bagitahu kitorang? Kau janganlah penat sorang-sorang. Kau masih ingat lagi kan yang kitorang ni housemates kau? Best friend kau? Yang kita sama-sama menyimpan hasrat untuk pimpin tangan ke syurga? “pinta Hana penuh pengharapan.

Durrah bungkam tanpa kata.

“ Bukan ke muslim itu ibarat satu batang tubuh? Yang andai satu bahagian dicubit, seluruh tubuh merasa sakit? Dan bukankah muslim itu ibarat bangunan yang saling menguatkan? Kitorang sedih tengok kau penat sendiri. Boleh ke lepas ni share penat lelah together? ” tambah Huda perlahan.

Air mata yang bertakung ditubir mata diseka perlahan. Berderai mutiara jernih milik Durratun Najhan. Kepalanya diangguk laju. Tangannya didepangkan tanda lets-group-hug.

Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabat) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Maka tatkala dia sampai dia berkata : Engkau hendak ke mana ? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang saudara ku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi ” Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?” Beliau menjawab ” tidak, aku mencintainya kerana Allah” Maka malaikat itu berkata kepadanya : “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah. (HR: Abu Hurairah)

Durrah renyukkan surat perletakan jawatan sebagai Exco Akademik. Surat permohonan untuk menarik diri sebagai naqibah usrah juga dicampakkan ke dalam tong sampah.

“Tak rasa bersyukur ke bila Allah dah pilih aku untuk terus berada di atas jalan ini? Tak rasa beruntung ke kalau aku yang Rasulullah S.A.W sebut sebagai mata rantai penyambung perjuangan baginda? Baru diuji dengan rasa penat sudah mahu menyerah kalah? Dan kau menggelar dirimu sebagai pejuang?” hati Durrah berbisik sendirian.

Pandangannya ditala ke langit malam. Indahnya bintang-bintang yang bertebaran didada langit. SubhanaAllah. Seindah rasa mempunyai sahabat penguat semangat peneman perjuangan. Aku adalah the broken pieces yang Allah telah cantumkan semula dengan benang ukhuwwah dan mahabbah fillah.

Terima kasih Tuhan, untuk anugerah terindah ini. Iman Adriana, Annur Huda, Balqis Hananur Hawa. Sungguh, Durratun Najhan bertuah memiliki kalian.

Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak (Al-Quran-42:20)

Ditulis oleh:

Nadia Nabila binti Afandi,

Tahun 3 Fakulti Perubatan,

Universiti Iskandariah, Mesir.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :