“Hari ini kita pergi ke walimah Ahmad”

“Esok pulak kita pergi ke walimah Ali”

“Minggu depan kita join walimah Abu pulak”

Meriah.

Apabila bermulanya cuti semester mahasiswa Mesir, akan ada pelbagai kejutan dan undangan perkahwinan untuk diumumkan dan diraikan. Seakan ia menjadi suatu fenomena di kalangan mahasiswa Mesir setiap kali cuti semester, akan ada nama-nama pasangan mempelai yang bakal mengakhiri zaman bujang masing-masing. Ketika itulah, akan timbul pelbagai azam yang keluar daripada hadirin yang bakal hadir atau sahabat-sahabat yang terdekat dengan mempelai, memasang niat untuk turut mengakhiri zaman bujang masing-masing.

“Aku target, tahun lima aku hendak kahwin”

“Tahun depan, memang kena selesaikan zaman bujang”

“Cuti ini, kena pujuk mak ayah bagi ‘line hijau’ untuk nikah”

Begitulah senario dan pelbagai dilemma yang menanti baik buat sang mahasiswa dan juga mak ayah yang bakal mendengar perkhabaran anak-anak yang meminta hendak berkahwin.

Perkahwinan adalah fitrah

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”  [An-Nur : 32]

“Allah telah menjadikan dari diri-diri kamu itu pasangan suami-isteri, dan dari pasangan suami isteri itu pula anak-anak dan cucu-cicit (keturunan) [An-Nahl :72]

Bertapa indahnya Islam adalah kedatangannya meraikan fitrah dan keinginan manusia yang tertarik dengan jantina yang berlainan dan ingin berpasangan. Tatkala Nabi Adam a.s terasa kesunyian di syurga, maka Allah s.w.t menjadikan Hawa daripada tulang rusuk baginda. Fitrah yang dijadikan Maha Pencipta sebagai tanda salah satu kebesaranNya.

“Di antara tanda-tanda kebesaranNya, diciptakanNya bagi kamu pasangan suami isteri dari diri kamu untuk kamu merasa ketenteraman antara satu sama lain, dan dijadikanNya kasih sayang dan belas kasihan antara kamu, sesungguhnya dalam hal itu menjadi keterangan bagi orang-orang yang berfikir” [Ar-Rum : 21]

Indahnya perkahwinan ketika itu adalah disatukan hati dua insan yang kemudiannya melahirkan kasih sayang, belas-kasihan, tolak ansur dan membentuk zuriat yang lahir daripada mereka. Namun, hakikat dan realiti perkahwinan itu bukanlah seperti mainan mata. Mudah dan senang sebegitu sahaja. Bukan hanya sekadar untuk manis ketika di majlisnya namun dihurung tekanan dan bebanan selepasnya.

Perkahwinan bukan sekadar untuk mencari bahagia namun ia juga adalah untuk membentuk generasi seterusnya. Perkahwinan bukan sekadar antara diri kita dan si dia namun juga ia adalah suatu ikatan antara kita dan keluarga si dia. Perkahwinan bukan sekadar untuk bersenang-senang dengan si dia namun juga adalah kesanggupan kita untuk sama bersusah dengan si dia. Dan perkahwinan itu bukan sekadar untuk mencari pelengkap untuk diri kita namun ia juga adalah pelengkap untuk kita bersama si dia hingga ke syurga.

Amanah. Tanggungjawab. Matlamat.

Kesemuanya perlu jelas supaya makna erti perkahwinan itu bukan ketika di dalam majlis persandingan namun ia kekal sepanjang umur kita dan seterusnya kepada generasi atau zuriat setelah kita. Tatkala ketika itu, maka terlintas dalam diri kita :

“Apa yang perlu kita ada sebelum melangkah ke alamnya?”

 Berusaha Menjadi Sebelum Mencari

Ayat ini pernah terlintas dan diucapkan oleh seorang senior tatkala dalam usaha bersedia dan mencari calon yang sesuai buat diri. Slogan ini menyentuh aspek utama dalam persediaan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Oh tidak, bukan sebelum melangkah ke alam perkahwinan namun ia sebelum melangkah kepada langkah paling awal – iaitu berfikir untuk kriteria calon yang kita pinta!

Realiti hari ini melihat bagaimana ramai yang ingin mencari yang soleh dan solehah namun lupa untuk mereka terdahulu perlu berlaku sedemikian. Ramai juga yang ingin mencari yang baik untuk diri mereka namun terlupa untuk mereka berlaku sedemikian. Ramai yang ingin mencari sekian dan sekian, yang semuanya indah dan baik, yang semuanya sempurna dan molek namun lupa untuk mulakan daripada diri mereka untuk berlaku sedemikian.

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).” [An-Nur : 26]

Ayat ini kerap kali didengarkan kepada mereka yang sedang hangat ingin memulakan langkahnya.

Apa yang perlu difahami daripada ayat tersebut bukanlah ia ayat suatu kondisi tetap yang mengatakan yang baik adalah untuk orang baik manakala yang jahat adalah untuk yang jahat. Namun apa yang perlu difahami adalah ia merupakan suatu motivasi dan saranan buat rijal-rijal (pemuda) dan juga nisa’ (perempuan) di luar sana untuk berubah dan membentuk diri sendiri menjadi yang terbaik sebelum memilih calon yang terbaik.

Yang selama ini tunggang-langgang solatnya, maka perlu diperbaiki dan diperutuhkan solatnya. Yang selama ini malas untuk mengaji, maka perlu dirajinkan diri dan diperkemaskan akan perkara Fardhu Ain-nya. Yang selama ini berminggu-minggu dan berbulan-bulan disimpan al-Quran, maka perlu dirajinkan dan dijinakkan hati dengan bacaan Al-Quran. Agar apa yang kita inginkan calon yang terbaik, yang soleh, yang solehah itu, ada sendirinya dan ditetapkan buat diri kita.

Mulakan Daripada Diri Sendiri

Sebuah kebaikan yang kita pinta bukanlah suatu yang perlu kita harapkan daripada orang lain namun pada hakikatnya ia harus dan perlu bermula daripada diri kita. Seorang suami yang mengharapkan isterinya adalah mereka yang menjaga solatnya, maka perlu kepada diri si suami untuk yang paling terawal menjaga solatnya. Seorang isteri yang mengharapkan suami akan membimbing dirinya, maka perlu kepada diri si isteri untuk lebih terdahulu dipersiapkan diri dalam membimbing dirinya.

Hakikat tikamana dua mempelai ditemukan, maka keduanya akan saling melengkapi dan saling mengingati setiap kekurangan yang ada pada diri masing-masing. Disebabkan itulah sebuah perkahwinan bukanlah untuk mencari persamaan ataupun mencari perbezaan namun  ia adalah untuk melengkapkan keimanan!

Sabda Rasullah s.a.w :

“ Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah pun melengkapi separuh daripada agamanya. Maka bertaqwalah ia kepada Allah di separuh yang belum lagi.” [Riwayat Baihaqi]

Langkah memulakan daripada diri sendiri itulah yang sebenarnya paling susah untuk dicapai. Kadang-kala kita terasa di puncaknya namun terkadang-kala kita berada di bawahnya. Namun, itulah hakikat keimanan. Tidak menjadikan ia suatu yang tidak perlu diusahakan.

Bermula daripada diri sendiri itu adalah lebih baik daripada kita mengharapkan kebaikan yang akan datang daripada calon yang kita fikirkan. Amal fardhi (solat, puasa dan seumpama) perlu mula dibentuk. Dijaga dengan rapi dan diperkemaskan pengamalannya. Dengan sebab itulah perlu fahami dalam maratibul amal (susunan amal) dalam tarbiyyah meletakkan amal fardhi terlebih dahulu sebelum baitul muslim (rumah tangga muslim) dan seterusnya ke mujtama’ muslim (masyarakt muslim).

Bukan mudah.

Namun itulah sebaik-baik persediaan. Sebaik-baik persediaan bagi mereka yang memahami matlamat perkahwinan. Bukan buat mereka yang semberono menerjah ke alam perkahwinan.

Berusahalah Sehabis Mampu

Berusahalah sehabis mampu selagimana kita merasakan ingin dapatkan yang terbaik sebagai pasangan hidup kita. Mengerti bahawa sesebuh perkahwinan itu kebahagiannya bukan kepada majlis atau malam pertama tapi turut sepanjang hidupnya dan sehinggalah ke akhiratnya.

Tatkala tersalah, maka sentiasa perbetulkan diri sebelum bersedia untuk memperbetulkan siapa pasangannya kelak. Tidak boleh dijangka bila, bagaimana dan siapa yang bakal menerjah akan perjalanan kehidupan kita namun persepsi sebuah usaha senantiasa akan ada hasilnya. Kerana itulah, berusaha untuk mulakan daripada diri kita. Yakin akan ketetapan dan takdirNya. Yakin akan segala janji kebaikanNya. Banyakkan berdoa dan bermunajat bukan sekadar untuk dipilih yang terbaik untuk diri kita namun juga didoakan untuk diperkuatkan hati kita untuk menjadi antara mereka yang bersedia sebelum melangkah ke alamnya!

Penutup : Ingat Tujuan Hidup.

Tikamana sudah dijumpakan calonnya. Diikat perjanjiannya dan diberi tanggungjawabnya. Malah dikurniakan anak-anak dan cucu-cicit daripadanya. Maka senantiasa ingat akan tujuan dan matlamat hidup kita. Supaya kita tidak terlalu tenggelam akan kebahagiaan rumah tangga di dunia namun terlupa akan matlamat dan seruan Maha Pencipta.

“Tidak Aku ciptakan Jin dan manusia itu, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku)”
[Adz-Dzariyat : 56]

Ingatlah bahawa perkahwinan itu adalah suatu tanggungjawab yang perlu dibina. Amanah bersama.

Dan.

Alangkah indahnya dan hebatnya perkahwinan, jika semuanya kerana Allah s.w.t.

Ditulis oleh:

Muhammad Afiq Bin Muhammed Fahimy
Tahun 5 Fakulti Perubatan,
Universiti Iskandariah.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :