“Amar ma’ruf nahi mungkar ini kerja ustaz-ustazah saja”.

“Maaflah, diri aku sendiri pun tak sempurna, nak bagi nasihat kat orang lain pula”.

Sorry bro, gua nak fokus studylah”

Pelbagai reaksi diberikan apabila diminta untuk menjalankan tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ada segolongan manusia yang berpandangan bahawa tugas amar ma’ruf nahi mungkar ini tugas ustaz-ustazah, alim-ulama’ dan mufti sahaja, orang biasa tidak perlu untuk terlibat dalam kegiatan ini. Tidak kurang juga yang memberi pelbagai alasan untuk mengelak daripada tanggungjawab ini.

Tugas dakwah adalah tanggungjawab kita bersama seperti yang dijelaskan oleh Allah subhanahu wa-ta’ala dalam surah Al-Imran:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُم‌ۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. [Al-Imran: 110]

Dalam ayat ini jelas kepada kita bahawa tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tangggungjawab yang perlu dipikul oleh kita semua. Tugas menyeru kepada kebaikan hendaklah seiiring dengan tanggungjawab mencegah kemungkaran.

Individu-individu  yang sedar tentang tanggungjawab dakwah pula kebiasaannya menjalankan amar ma’ruf sahaja, namun apabila melibatkan nahi mungkar, tidak ramai yang sanggup melakukannya. Perkara inilah yang perlu untuk dinilai dan dimuhasabah oleh para pendokong gerakan Islam dalam melakukan kerja dakwah untuk mengembalikan kegemilangan Islam.

Perintah untuk berdakwah diperkukuhkan lagi melalui sabda Rasulullah ﷺ dalam sepotong hadis yang selalu kita dengar dan baca;

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaannya), jikalau tidak berkuasa hendaklah mencegah dengan lisannya, jikalau tidak berkuasa juga, hendaklah mencegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.

Melalui hadis ini, kita dapat memahami bahawa tanggungjawab mencegah kemungkaran itu adalah wajib bagi kita dan Islam menggariskan beberapa wasilah untuk diteliti oleh para daie  dalam mencegah kemungkaran.

Pertama: Mencegah dengan tangan, kekuasaan, kekuatan.
Apabila kita melihat kemungkaran berlaku dihadapan kita, kita perlu mencegahnya dengan kemampuan yang ada. Tugas mencegah dengan tangan atau kekuasaan ini adalah amanah kepada permintah atau individu yang berautoriti kerana mereka mempunyai kemampuan dalam menggubal undang-undang bagi sesebuah negara dan mampu membuat etika dan peraturan bagi sesuatu program.

Kedua: Mencegah dengan lisan iaitu dengan nasihat atau teguran.
Sekiranya tidak mampu mencegah dengan kuasa (bagi mereka yang tida mempunyai kuasa atau autoriti), maka hendaklah mencegahnya dengan teguran, nasihat dan perkataan yang baik serta dengan berhikmah.

Ketiga: Mencegah dengan hati iatu dengan membenci perbuatan mungkar tersebut.
Bagi mereka yang tidak mampu untuk mencegah dengan tangan, tidak mampu untuk mencegah dengan lisan, maka hendaklah mencegah kemungkaran tersebut dengan hati iaitu dengan berasa benci dan tidak meredhai perkara maksuat tersebut.

Begitulah Islam mengajar kita cara untuk mencegah kemungkaran, bermula dengan mencegahnya dengan kuasa, kemudian dengan perkataan seterusnya yang terakhir mencegah dengan hati iaitu membenci kemungkaran yang berlaku yang disifatkan sebagai selemah-lemah iman. Bagaimana pula jika ketika berlakunya kemungkaran dihadapan kita, tiada sekelumitpun rasa benci terhadap kemungkaran yang berlaku? Tepuk dada kita, kemanakah hilangnya iman ketika itu?

Tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar ini perlulah dimulakan dengan individu, seterusnya keluarga, masayarakat, negara dan perlu disebar luas ke seluruh alam. Firman Allah subhanahu wa-taala;

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [At-Tahrim:6]

Ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai kewajipan menghindarkan diri kita dan keluarga kita daripada perkaran keji, kemungkaran dan maksiat yang boleh membawa kita untuk terjerumus kepada seksa neraka. Sebagai orang yang beriman, kita mestilah berusaha untuk meperbaiki diri kita sendiri dan keluarga kita sebelum menunding jari menyalahkan masyarakat apabila gejala sosial berleluasa.

Kemungkaran dan maksiat yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini perlu untuk kita tangani dengan betul. Semua pihak seharusnya berkerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan seruan ini. Apabila melihat maksiat berlaku, cuba sedaya upaya kita untuk mencegahnya. Hilangkan rasa takut dengan celaan dan cemuhan orang lain. Jika tidak mampu juga, laporkan kepada pihak yang bertanggungjawab, sebagai contoh warga Malaysia di Mesir boleh melaporkan sebarang kes kepada Unit Hisbah atau JAKSI.

Semoga catatan ringkas ini mampu menyedarkan kita tentang tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar yang dibebankan kepada kita selaku khalifah dimuka bumi ini. Cegahlah kemungkaran yang berlaku walau sekecil mana sekalipun sebelum ia merebak dan menjadi tidak terkawal. Wallahulam.

“Kami Benci Kemungkaran”
“Spread Dakwah With Love”

Jabatan Keselamatan Sosial Islam (JAKSI)
PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI)

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :