Isnin, 2 April 2012 – Setelah dilancarkan buat julung kalinya di bumi Iskandariah pada 8 Mac lepas, Alexandria PERUBATAN Frontliners Council   (Alexandria PROF) akhirnya mengadakan perjumpaan yang pertama di Tingkat 3 Asrama MARA. Sambutan yang menggalakkan dapat dilihat dengan kehadiran majoriti peserta sejak awal program lagi. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Mas Adil,  disusuli dengan ucapan daripada Pengarah Progam Alexandria PROF, Mohd Syafiq bin Nordin  dan Pengelola  merangkap Setiausaha PERUBATAN Cawangan Iskandariah, Muhammad Shahir bin Mohd Nadzir .

Dalam ucapannya, beliau berharap agar para peserta dapat memanfaatkan peluang-peluang yang ada untuk menuntut ilmu selain ilmu perubatan sepanjang program ini dijalankan. PROF dilihat memberi kelainan berbanding program-program PCI yang lain dengan menawarkan pelbagai bengkel seperti Bengkel Penulisan, Multimedia dan  Pengurusan Kewangan. Beliau juga berharap agar peserta dapat memberikan sepenuh komitmen dengan menghadiri setiap perjumpaan PROF pada masa akan datang selain tidak merasakan PROF sebagai beban sebaliknya berasa seronok dengan program-program yang telah ditawarkan.

Majlis diteruskan dengan sesi pembentangan tentang perjalanan program PROF oleh Wan Amirrul Abdul Rahman dan Amalina Zainudin. Peserta dilihat memberikan reaksi positif dengan memberi sepenuh perhatian ketika pembentangan.

Bertemakan ‘Break The Ice’, AJK pelaksana telah merangka sesi LDK bagi mewujudkan semangat kerjasama dalam kumpulan. Para peserta dibahagikan kepada tujuh buah company yang terdiri daripada 15 orang ahli dan dua orang fasilitator. Peserta diberi tugasan pertama untuk memilih CEO, Vice CEO dan nama company. Sekalipun baru sahaja dibahagikan kepada kumpulan, masing-masing menunjukkan daya saing yang tinggi apabila berlumba-lumba untuk memilih nama yang terbaik sebagai nama company. Antara nama company tersebut ialah El-Abrar, Von Braist, The Ant dan Esprit de Corp.

Sesi LDK diteruskan dengan aktiviti ‘Siapa dia’ dengan objektif untuk mengenali karakter-karakter ahli company. Sesi LDK ketiga pula berobjektifkan mewujudkan sifat kreatif dalam diri peserta. Setiap peserta diminta menulis satu perkataan berdasarkan huruf yang diberikan dalam masa yang ditetapkan bagi membentuk satu ayat atau slogan bagi setiap company. Rata-rata peserta dilihat terhibur dan memberi maklum balas yang positif dengan aktiviti yang diadakan secara santai.

       

Menurut salah seorang peserta, Nur Sakinah Sajali dari company El-Abrar pelajar tahun Tiga, keseluruhan program adalah sangat memuaskan selain dapat mengenali ramai peserta yang rata-rata dari kalangan pelajar tahun satu. Beliau  juga berharap menerusi program-program yang ditawarkan, beliau dapat mengasah bakat dalam bidang selain bidang perubatan supaya dapat dimanfaatkan dalam kehidupan.

Bagi Norliyana Amirah pula,juga pelajar tahun Tiga, berharap agar semua pihak sama ada AJK pelaksana atau peserta sendiri dapat memperbaiki kelemahan dari segi pengurusan masa supaya program yang akan datang dapat dijalankan tepat pada waktunya. Beliau  juga berharap dengan bengkel-bengkel yang bakal diadakan beliau dapat mempelajari pelbagai ilmu terutama ilmu pengurusan kewangan memandangkan dia sendiri memegang jawatan bendahari untuk tahun 3.

Diharapkan perjalanan program PROF dapat berjalan dengan lebih lancar pada masa hadapan dan para peserta memperoleh banyak manfaat hasil daripada program ini.

 

 ” All Glory Comes From Daring To Begin”

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :