22 Januari 2012,Mostafa Kamel LINGO-YALLA FOUNDATION sekali lagi telah mengadakan lawatan ke Rumah Anak-Anak Yatim Dar El Affaf selepas seminggu lawatan sulung dijayakan. Lawatan kali ke -2 ini bertitik tolak untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim yang terjalin antara anak-anak yatim Dar El Affaf dan mahasiswa mahasiswi Kelab Lingo khususnya.

Seramai 19 orang ahli Kelab Lingo telah menghadirkan diri dan berkumpul di hadapan Gamee’ Muoassah Islamiah Iskandariah sebelum bertolak ke Mostafa Kamel dengan menaiki tramco. Berbekalkan komitmen dan semangat yang berkobar-kobar, kuliah yang berakhir pada jam 4.00 petang bukanlah menjadi penghalang kepada ahli kelab untuk meneruskan hasrat murni menghiburkan hati kanak-kanak Dar El Affaf pada hari tersebut.

 

 

 

Kedatangan kami tepat jam 4.45 petang disambut mesra dengan hati terbuka oleh musyrifah-musyrifah dan Fatma,Pengurus Dar El Affaf. Walaupun sebahagian kanak-kanak kelihatan agak malu pada mulanya namun setelah beberapa ketika mereka semakin dapat menyesuaikan diri dengan kedatangan kami. Keriangan  jelas terpancar di setiap  raut wajah kanak-kanak tersebut apabila mereka diberi perhatian dan keinginan untuk bermain,bergurau senda dipenuhi oleh kami. “ Jika ada kelapangan waktu,datanglah selalu ke sini kerana mereka harus diajar mengenai adab-adab dan Islam”,jelas Fatma.

 

Nur Amirah Nasir, Timbalan Pengerusi II PERUBATAN Cawangan Iskandariah turut bersama-sama menyertai lawatan ini. Katanya,“Mabrook LINGO-Yalla. Moga-moga senyum tawa, jerit pikuk anak-anak kecil Dar El Affaf bukan sekadar memahat memori manis dalam diari masing-masing, malah menjadi pelonjak menyuburkan lagi KEPRIHATINAN dalam diri ahli LINGO-Yalla khususnya dan ahli-ahli PCI umumnya terhadap masyarakat sekeliling.

 

“ Lawatan saya ke sini  dapat mengubat kerinduan buat anak-anak buah yang jauh di mata,seterusnya dapat menghilangkan stress belajar”,ujar Nik Nadia Nik Mohd Naser.Lawatan seperti ini dikira dapat mendidik jiwa  mahasiwa mahasiswi untuk berkongsi kasih sayang sesama manusia walaupun zahirnya berbeza daripada rumpun bangsa dan negara.

Oleh yang demikian,matlamat Yalla Foundation lebih tercapai sejajar dengan tema “ Spread the Love,Heal the World”.

Alhamdulillah,kedua-dua projek lawatan ke rumah anak-anak yatim berjalan dengan lancar setakat ini. “ Perkembangan lawatan bertambah baik dari semasa ke semasa dari aspek pengurusan dan perjalanan program.InsyaALLAH,target untuk semester hadapan Kelab Lingo-Yalla akan mengadakan lebih banyak aktiviti bersama anak yatim dan fakir miskin”,ulas Pengarah Kelab Lingo, Mohd Faiz Bin Abas.

 

 

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :