Iskandariah, 2 November 2011 – Isu duit peruntukan untuk Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit Ke-3 (SPIP3) yang diluluskan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia terjawab apabila pimpinan PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI) mengambil inisiatif untuk bersemuka dengan pihak Education Malaysia Egypt (EME – dahulunya dikenali sebagai Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah – JPMK). Pertemuan ini turut disertai oleh Presiden PERUBATAN, Saudara Syafiq Bin Hamdani.

Melalui perbincangan tersebut, pihak PCI difahamkan bahawa status duit peruntukan daripada KPT Malaysia masih belum dapat dipastikan. Hal ini demikian kerana kewujudan surat kelulusan daripada pihak KPT Malaysia tidak sampai ke pengetahuan Pengarah EME, Prof. Madya Dr Hj Su’aidi, dan perkara ini masih dalam peringkat perbincangan pihak EME untuk kelulusan terhadap PCI sebagai peruntukan untuk program SPIP3 ini.

Dalam pertemuan itu juga, pimpinan PCI  turut dimaklumkan mengenai kelulusan peruntukan daripada KPT Malaysia untuk  Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit Ke-2 (SPIP2) yang telah berlangsung pada 12 dan 13 November 2010. Jumlah yang telah diluluskan adalah sebanyak RM20,000 (±EGP39,000).

Dalam pada itu pihak mediaPERUBATAN™ sempat menemuramah Ex-Officio SPIP2 berhubung perkara ini. Beliau berkata “Kejadian yang sama turut berlaku pada seminar yang lepas. Namun begitu, segala kekurangan dapat diatasi hasil usaha keras Ahli Jawatankuasa Pelaksana seminar dan sumbangan para peserta”

Di akhir pertemuan dengan pimpinan PCI, Pengarah EME, Prof. Madya Dr Hj Su’aidi berjanji untuk menyelesaikan perkara ini dengan secepat mungkin. Rundingan seterusnya akan diadakan bersama pihak EME dalam usaha untuk memastikan hak yang sekian lama dituntut ini diperolehi oleh PCI.

SPIP3 yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 November 2011 dijangka akan menelan belanja sebanyak ±EGP 126,000. Setakat ini, sebahagian besar kos seminar disumbang oleh beberapa individu dan syarikat terkemuka di serata dunia.

[stextbox id=”black”]Anda mempunyai berita, artikel atau karya kreatif untuk dikongsi di web PERUBATAN Online Iskandariah? Hantarkan kepada kami: iskandariah.perubatan@gmail.com[/stextbox]

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :