Gelombang Seminar Ibadah Pesakit yang diadakan pada tahun 2009 masih lagi terasa walaupun telah setahun berlalu. Permintaan demi permintaan diterima dari pelbagai pihak yang dahagakan ilmu dan pengajian, lebih-lebih lagi ilmu yang membincangkan soal feqah perubatan semasa. Hal ini menjadi titik tolak bagi PERUBATAN Cawangan Iskandariah mencipta revolusi dalam pelaksanaan seminar perubatan.

 Kekuatan fizikal dan mental dikumpulkan oleh penggerak-pengerak PERUBATAN Cawangan Iskandariah bagi mengerah idea dan ilham untuk meneruskan kesinambungan seminar kali pertama.  Alhamdulillah, berkat doa dan usaha daripada semua pihak, satu proses menaiktaraf status, objektif dan pelaksanaan seminar diutarakan dan telah mendapat sokongan yang kuat dari semua. Nama Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit diberikan sebagai ganti nama yang lama bagi membuka ruang yang lebih luas dalam perbincangan seminar. Tiga tema besar perbincangan seminar disenaraikan, dan akhirnya tema Perbidanan Dan Sakit Puan dipilih dan disepakati.

 Dalam usia yang boleh dikatakan setahun jagung, agenda menjayakan seminar ini tampak diragui pelbagai pihak, lebih-lebih lagi apabila tema perbincangan yang khusus diwajibkan dalam setiap pelaksanaan seminar. Dengan pertambahan jumlah mahasiswa-mahasiswi baru yang semakin mendadak, tanggungjawab yang dipikul oleh Ahli JawatanKuasa Tertinggi PCI juga tidak kurang hebatnya. Perancangan demi perancangan diatur, akhirnya kesepakatan tiba jua. Tarikh keramat 12 dan 13 November 2010 dipilih sebagai tarikh pelaksanaan program Seminar Perubatan dan Ibadah Pesakit Kali Ke-2.

 Perancangan pelaksanaan program yang  menelan belanja hampir RM30,000 memerlukan pengorbanan yang cukup banyak dari semua pihak, terutamanya AJK Pelaksana program. Menyedari hakikat keperluan bajet kewangan yang sangat besar bagi menjayakan program mega tahunan ini, pihak AJKT PCI, bersama-sama dengan AJK Pelaksana SPIP-2 betungkus-lumus mengerah keringat dan segala daya yang ada bagi mencapai target yang dirancang. Namun, gerakkerja pencarian dana sedikit terganggu dengan ketiadaan akaun bank rasmi persatuan. Walaubagaimanapun, segala peluang yang ada dikaji dan diselidiki. Segala ruang digunakan sebaiknya. Aral lalu melintang patah. Semangat pekerja-pekerja PCI tidak pernah luntur walau sedikitpun. Gerakkerja pencarian dana diteruskan, dan natijahnya separuh daripada jumlah bajet awal pelaksanaan seminar telah dapat diperoleh.

 Tahun pertama perubahan status dan objektif seminar tidak menumpulkan gerakkerja unit pengisian bagi merancang dan merencana tajuk-tajuk kertas kerja dalam seminar. Lapan kertas kerja dibentangkan oleh tokoh-tokoh ilmuan dan individu professional yang dijemput khas bagi menjayakan seminar ini. Tambah merancakkan suasana seminar apabila setiap satu kertas kerja dibuka perbahasan dan perbincangannya kepada peserta seminar yang hadir. Tajuk-tajuk seminar yang dibentangkan dalam Seminar Perubatan dan Ibadah Pesakit Ke-2 (SPIP2) ialah :

  1. Perbidanan Dan Sakit Puan (Obstetric & Gynecology) : ‘Kerjaya, Cabaran Dan Masa Depan’ Dan ‘Masalah Kesuburan Wanita – Bagaimana Terjadi’ dibentangkan oleh Dr. Ariza Bt Mohamed, Pakar Runding Perbidanan Dan Sakit Puan Hospital Pakar Ampang Puteri
  2. Permasalahan/Persoalan Haid, Keputihan Dan Cecair Yang Keluar Dari Kemaluan Wanita Dan Pengguguran dibentangkan oleh Dr. Fatimah binti Mustafah, Pakar Runding Perbidanan Dan Sakit Puan Hospital Pakar Annur
  3. Fiqh Aulawiyyat Dalam Konteks Perbincangan Aurat Wanita, Maruah Dan Nyawa yang dibentangkan dibentangkan oleh Ustaz Muhd Nazirul bin Mohd Sabri, Universiti Al-Azhar Jurusan Syariah
  4. Masalah Dalam Melahirkan Anak : Perbincangan Hukum Anak Luar Nikah, Wiladah Dan Hukum Agama Anak Dalam Kandungan  dibentangkan oleh Ustaz Mohd Hanif bin Haron, Universiti Al-Azhar Jurusan Syariah
  5. Obstetric And Gynecology In Egypt dibentangkan oleh Prof Dr. Ahmed Abd El Aziz Ismail, Chairman of OB/GYN Department, Faculty of Medicine, Alexandria University
  6. Keguguran (Abortion)dibentangkan oleh Syiekhul Maqari Haji Othman Bin Hamzah, Panel Lajnah Penyemakan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Dan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Selangor
  7. Haid Dan Nifas yang dibentangkan oleh Ustazah Maziah binti Jamaluddin, Universiti Al- Azhar Jurusan Syariah
  8. Masalah Melibatkan Kesuburan Wanita dibentangkan oleh Syiekhul Maqari Haji Othman Bin Hamzah, Panel Lajnah Penyemakan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) Dan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Selangor

 Masalah kewangan bagaikan cemburu akan setiap gerakkerja seminar yang dirancang. Bajet-bajet yang dipohon dari badan-badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan banyak yang tidak berbalas. Kesempitan sumber kewangan memaksa AJK Pelaksana seminar memilih dewan yang sederhana sebagai tempat program. Namun, dengan penyertaan 500 orang mahasiswa mahasiswi dari pelbagai muhafazah dan fakulti menghilangkan suasana suram Dewan Abd El Mon’iem yang menjadi tempat berlangsungnya Seminar Perubatan dan Ibadah Pesakit Kali Ke-2.

 Alhamdulillah, dua hari seminar berjalan dengan jayanya. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dan cacat-cela, namun rata-rata peserta menyatakan kepuasan hati dengan perjalanan dan pengisian program. Objektif yang digariskan dalam setiap slot kertas kerja dapat disampaikan sepenuhnya kepada para peserta.

 Penat lelah setiap individu pekerja PERUBATAN yang bersungguh menjayakan program seminar ini tidak akan dilupakan. Bantuan, sumbangan dan pengorbanan dari semua pihak, terutamanya ahli PERUBATAN sendiri wajar dipuji. Tanpa sokongan ahli PERUBATAN, Program Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit Kali-2 ini tidak dapat dijayakan dengan sempurna.

[stextbox id=”black”]Anda mempunyai berita, artikel atau karya kreatif untuk dikongsi di web PERUBATAN Online Iskandariah? Hantarkan kepada kami: iskandariah.perubatan@gmail.com[/stextbox]

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :