Assalamualaikum w.b.t.

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ

“Apabila seorang keturunan Adam meninggal dunia maka terputuslah amalnya kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau seorang anak soleh yang mendoakannya.”

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, kita memujiNya dengan pujian orang yang bersyukur, kita mensyukuriNya dengan kesyukuran orang yang memuji. Semoga selawat dan salam terlimpahkan kepada nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, keluarga, sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syari’atNya hingga hari qiamat.

Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit merupakan program rasmi tahunan yang dianjurkan oleh PERUBATAN Cawangan Iskandariah sebagai medium untuk menyediakan bakal-bakal doktor kearah memahami tanggungjawab dan pelaksanaan kerja berlandaskan syariat Islam. Seminar kali ke-3 ini adalah kesinambungan daripada Seminar Ibadah Pesakit Kali Pertama pada 2 Disember 2009 dan Seminar Perubatan dan Ibadah Pesakit Kali Ke-2 pada 12 dan 13 November 2010.

Gerak kerja jawatankuasa pelaksana Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit Ke-3 telah bermula sejak bulan Mei yang lalu dan kini tiba ke fasa yang terakhir sebelum menjelangnya tarikh pelaksanaan seminar yang berbaki kurang daripada sepuluh hari sahaja lagi. Seminar kali ini bakal mempamerkan beberapa penambahbaikan berbanding siri pertama dan kedua. Antara penambahbaikan yang utama adalah dari segi dewan yang boleh memuatkan sehingga 750 orang peserta berbanding 350 orang peserta untuk seminar kali pertama dan 500 orang peserta untuk seminar kali ke-2.

Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit yang menjadi identiti utama PERUBATAN Cawangan Iskandariah adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada peserta berhubung perkembangan bidang perubatan serta isu-isu yang berkaitan didalamnya dalam konteks ilmu sains dan ilmu fiqh. Seminar ini juga bertujuan untuk menyedarkan pengamal perubatan tentang tanggungjawab sebagai pendakwah kepada pesakit.

Saya selaku Pengarah Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit Ke-3 menyeru semua ahli untuk menyumbang dari segi mental dan fizikal untuk sama-sama menjayakan seminar kali ini.

Sekian, wassalam.

Yang benar,

 
 
AHMAD HANIF BIN MOHD HAFIZ
Pengarah,
Seminar Perubatan Dan Ibadah Pesakit Kali Ke-3,
Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Cawangan Iskandariah sesi 2011/2012.
 

[stextbox id=”black”]Anda mempunyai berita, artikel atau karya kreatif untuk dikongsi di web PERUBATAN Online Iskandariah? Hantarkan kepada kami: iskandariah.perubatan@gmail.com[/stextbox]

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :