Nur Amirah binti Nasir, Mahasiswi Tahun 4 Universiti Iskandariah

Iskandariah,6 Oktober- Forum “Membina Karisma Doktor Muslim”  yang telah berlangsung pada hari kedua program AHLAN ‘11 telah menyuntik semangat  kepada mahasiswa baru yang akan meneruskan perjuangan mengejar cita-cita seorang doktor muslim. Forum yang dikendalikan oleh 3 orang ahli panel handalan, Ahmad Azizi bin Mat Yusuf, Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah, Khadijah binti Isa yang merupakan mahasiswi tahun 4 Kuliah Bahasa Arab Universiti al Azhar dan Nur Amirah binti Nasir, mahasiswi tahun 4 PERUBATAN Cawangan Iskandariah membincangkan isu pemantapan sikap dan mentaliti  seorang mahasiswa perubatan lulusan Mesir.

Memetik kata-kata ahli panel jemputan pertama, Ahmad Azizi bin Mat Yusuf ,”Seorang doktor lulusan Mesir perlu ada nilai tambah. Seorang doktor bukan sekadar mengubat jasad pesakit, malah perlu merawat rohani pesakit. Oleh itu ,setiap doktor perlu membina kekuatan rohani yang kukuh.”

Ahmad Azizi bin Mat Yusuf, Pengerusi PERUBATAN Cawangan Mansurah

Seluruh dewan menumpukan perhatian  sepenuhnya apabila isu-isu keistimewaan mahasiswa Mesir dan khazanah-khazanah ilmu yang perlu direbut di Mesir dibentangkan. Antara pengisian forum awal pagi tersebut adalah kepentingan menuntut ilmu akidah, ilmu al Quran dan hadis, usul fiqh dan pemantapan akhlak selain ilmu perubatan yang menjadi keutamaan mahasiswa yang belajar di sini. Kepentingan bumi Mesir sebagai kiblat ilmu yang ketiga selepas Baghdad dan Andalusia menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk menggunakan peluang menuntut ilmu sepenuhnya di Ardil Kinanah ini.

Program diteruskan dengan pengenalan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah(KBMK) bagi menerangkan pengurusan visa dan passport sepanjang keberadaan di luar Negara. Taklimat yang disampaikan oleh Encik Abdul Latif bin Samad, wakil  Kedutaan Besar Malaysia Kaherah memberi maklumat berguna demi keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia di luar negara. Beliau menegaskan akan kepentingan menjaga keselamatan passport. Jika berlaku kehilangan passport, selain melaporkan kepada pihak polis, individu juga perlu menggunakan Sijil Kecemasan Malaysia yang hanya terhad fungsinya untuk pulang ke Malaysia.

Encik Abdul Latiff Samad, Pegawai Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah

Program pada hari tersebut diteruskan lagi dengan sesi perbincangan akademik bersama senior dalam membantu para pelajar baru untuk memahami dan bersedia memulakan sesi pengajian menggunakan sistem modul yang  diperkenalkan 2009 lalu.
[stextbox id=”black”]Anda mempunyai berita, artikel atau karya kreatif untuk dikongsi di web PERUBATAN Online Iskandariah? Hantarkan kepada kami: iskandariah.perubatan@gmail.com[/stextbox]

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :
  • nur auni

    Assalamualaikum, saya hendak bertanya maksudnya org yg mengambil jurusan perubatan di mesir perlu mempamerkan untuk bercakap ke hadapan atau apa mohon tunjuk ajar