Teringat kenangan revolusi suatu ketika dahulu.
Pernah seorang sahabat menimbulkan persoalan, jika ditakdirkan kami semua bakal bercuti panjang di Malaysia, apakah aktiviti yang dirasakan wajar dilakukan bagi memanfaatkan cuti yang terluang. Saya dengan senang hatinya menjawab, mungkin boleh menjadi guru sementara di sekolah.

Dan ternyata jawapan yang diberikan oleh sahabat saya menyebabkan saya tersentak dan terus berfikir. “Guru adalah pekerjaan yang mulia, siapalah kita untuk suka-suka melakukannya”.

Ya, Guru adalah pekerjaan yang mulia. Merupakan tulang belakang kepada pembinaan generasi muda negara. Merupakan asas kepada pembangunan modal insan kepada negara.
Guru seorang yang mulia, dipandang tinggi dari dulu lagi.

Pada pandangan peribadi saya sendiri, guru adalah contoh yang paling dekat dengan generasi muda setelah ibu bapa sendiri. Mana tidaknya, saya sendiri sejak berada di bangku tadika lagi, mudah terikut dengan gaya guru yang mengajar saya.
Mahukan tulisan yang cantik macam tulisan cikgu,
Mahukan baju yang cantik seperti baju cikgu,
Mahu bercakap dengan bergaya macam seorang cikgu.

Ya, saya akui, sejak kecil hingga ke sekolah menengah cikgu-cikgulah yang banyak menjadi inspirasi saya. Dalam segala aspek kehidupan. Masih ingat lagi karenah adik saya semasa di bangku sekolah rendah, apa yang di ajar oleh cikgu di telan bulat-bulat. Mana tidaknya, adakalanya adik saya silap dengar semasa cikgu mengajar, bila beliau pulang ke rumah, bila abah atau mak saya bertindak untuk membetulkan kefahaman beliau, adik saya masih menafikannya. Pada adik, apa yang cikgu cakap adalah betul. Walaupun adik yang tersalah dengar. Dan akhirnya dibetulkan balik oleh cikgu beliau semula.

Tapi apa yang membimbangkan saya, kerjaya yang mulia ini semakin dicemari. Saya sendiri tidak tahu apa puncanya, kerana saya bukanlah dalam kalangan para pendidik.
Kadang kala, ketika melayari alam maya sama ada facebook ataupun blog-blog persendirian, saya jadi malu. Bukanlah semua, tapi ada sebilangan kecil bakal-bakal pendidik yang menjatuhkan persepsi masyarakat terhadap pekerjaan ini.

Buat bakal guru sekalian,
Saya berharap agar anda lebih berhati-hati di masa hadapan. Kadangkala saya tersentak melihat sesuatu yang tidak sepatutnya di siarkan di khalayak ramai tersiar.
Bukan apa, risau jika ada dalam kalangan para pelajar yang terlihat, dan menjadikannya sebagai contoh.

Risau jika status-status yang tidak patut dibaca oleh anak didikmu, dan mereka mengambil contoh akan perilakumu itu.

Risau jika, gambar-gambar pelajar yang anda upload di facebook, dan dikomen secara beramai-ramai di facebook telah menjatuhkan air muka pelajar tersebut.

Ketahuilah,
terdapat satu kawasan di bahagian otak kita yang dinamakan prefrontal area, yang bertanggungjawab membuatkan kita boleh berfikir dengan rasional akan matang sepenuhnya hanya selepas kawasan ini berkembang dengan sepenuhnya pada usia lebih kurang 18 tahun. Atas dasar itu lah jika umur di bawah 18 tahun masih dikira bawah umur di sisi undang-undang dan tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan sendiri.

Jadi anak murid anda masih belum mampu berfikir secara rasional wahai guru-guru sekalian. Takut jika mereka masih tidak mampu berfikir baik buruknya. dan mereka hanya mengikut contoh-contoh yang berada di sekeliling mereka.

Akhir kata,
Saya juga terdidik dari seorang guru biasa.
Siapa pun saya sekarang, guru adalah yang banyak menaburkan jasa pada saya.
Saya masih tidak mampu membalas jasa guru saya sendiri.
Bakal anak-anak saya juga akan saya serahkan buat para pendidik sekalian untuk dibentuk.
Dan percayalah, saya merasakan pekerjaan guru itu adalah satu pekerjaan yang mulia.

Namun ingatan buat diri saya dan anda semua, siapa pun kita, walau apapun pekerjaan kita, kita adalah seorang Muslim.
Di bahu kita masih tergalas status seorang yang beragama Islam, dan selagi mana kita adalah seorang Islam, wajarlah kita menjaga nama baik Islam itu sendiri, agar tidak menjadi fitnah kepada agama kita yang tercinta.

Akhir kata,
Selamat Hari Guru saya ucapkan buat cikgu-cikgu saya dan tidak dilupakan pada bakal-bakal guru =D

 

[stextbox id=”black”]Anda mempunyai berita, artikel atau karya kreatif untuk dikongsi di web PERUBATAN Online Iskandariah? Hantarkan kepada kami: iskandariah.perubatan@gmail.com[/stextbox]

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :