5 APRIL 2015

Aku seperti kebiasaannya akan duduk melepak di depan tv. Anak mataku tidak beralih walaupun seinci dari kaca tv memerhatikan setiap gerak geri pelakon kegemaranku. Bunyi derapan kaki dari belakang mencuri tumpuanku dan mengembalikan aku ke dunia nyata. Seingat aku, aku seorang saja yang berada di rumah hujung minggu sebegini sejak ibuku meninggal dunia tiga bulan yang lalu. Abangku sudah lama lesap bersama kawan-kawannya. Aku pun lantas memusingkan kepalaku dengan laju mengatasi kelajuan kipas ruang tamu rumahku. “Erk, ayah.” Degupan jantungku yang pantas tadi, kini kembali normal 70 degupan seminit. “Ayah nak keluar jap. Nak bayar bil. Jaga rumah elok-elok. Jangan lalai sangat.” Aku hanya mampu tersenyum kambing.

6 APRIL 2015

Aku terkocoh-kocoh keluar dari bas sekolah dan berlari sepenuh tenaga ke hadapan pintu pagar sekolah. Jam menunjukkan pukul 9.35 pagi. Aku terlewat tiga puluh lima minit untuk menduduki Peperiksaan Percubaan SPM. Keasyikan bermain game PES semalam mencuri masa tidurku tanpa aku sedari dan akhirnya aku tertidur jam 3.25 pagi. Mataku bulat memandang kertas peperiksaan yang bersih tanpa secalit pun dakwat pen. Loceng berbunyi menandakan waktu telah tamat seiring dengan suara Ckikgu Hamid meminta semua meletakkan pen masing-masing. Aku bangkit dari kerusi tempat dudukku dan melangkah perlahan ke arah Shafiq, teman baikku. Wajah Shafiq jelas menunjukkan riak gembira dan lega seusai menjawab kertas terakhir tadi.

7 APRIL 2015

“Shafiq, aku tak boleh ikut kau la esok. Kakak aku ni dah plan nk sambut Hari Ibu.” Aku dan Shafiq yang sedang rancak berborak serentak menoleh ke arah Anwar. Suasana tiba-tiba berubah suram. Shafiq memandangku dengan ekor matanya. Aku lantas tertunduk dan menunggu bicara mereka seterusnya. “Sorryla. Eh, korang berdua ni tak kan la takde plan kot?” Aku memberanikan diri memandang mata Anwar. Sebelum aku sempat menjawab, Shafiq memberi amaran kepada Anwar dengan signal matanya.

Aku baring sambil meletakkan tangan di dahi. Penat masih lagi terasa sejak balik dari sekolah tadi. Aku teringat pesan mak sebelum mak pergi meninggalkan aku buat selamanya. “Safwan, kalau wan dapat 10A, mak nak kasi wan motosikal.” Aku mengesat air mataku yang mengalir di pipi. Betapa aku merindui raut wajah ibuku yang sering tersenyum dan ceria walaupun berhimpun masalah di dada. Ibu sering menasihatiku ketika aku dilanda masalah berkaitan pelajaran dan dialah yang selalu memujukku ketika ayah dan abang memarahiku. Kini aku telah berubah. Aku melupakan janjiku kepada ibu. Tempoh tiga bulan amat singkat untuk aku menjadi seperti  Safwan yang dulu.

8 APRIL 2015

Hari ini dirasakan amat lama bagiku. Di sekolah kawan-kawanku sibuk bertanyakan perihal sambutan Hari Ibu dan kejutan untuk ibu masing-masing. Aku menguncikan diri di kamarku. Aku ingin tidur dan melupakan segalanya. Aku ingin hari esok muncul dengan sinar baru. Sedang kelopak mataku semakin berat, tiba-tiba pintu bilikku diketuk dari luar. Ayah memanggil namaku dengan lembut. Aku berasa amat tenang seolah-olah terdengar suara milik wanita kesayanganku memanggil namaku. Niatku untuk tidur terbantut. Aku bangun dari katil dan membuka pintu. Ayah memberiku sepucuk sampul surat lantas pergi tanpa sebarang kata. Aku terpana sebentar dan tanpa membuang masa aku membaca isi kandungan surat tersebut.

Assalamualaikum wbt

Safwan, apa khabar Wan sekarang? Maafkan mak, mak tak mampu meraikan kejayaan Safwan bersama-sama. Maafkan mak Wan, mak tahu masa mak amat singkat untuk bersama-sama dengan Wan tapi mak harap Wan tabah menghadapi ujian ini. Mak sentiasa mendoakan kejayaan anak mak. Kalau mak pergi nanti, mak harap Wan jadilah anak yang soleh dan mendengar kata ayah. Wan jadilah pelajar yang rajin dan tekun. Kalau Wan ada masalah, ingatlah Allah ada di sisi Wan. Dialah yang Maha Mengetahui segala isi hati.

Mak tahu Safwan kuat. Jaga diri Wan, abang dan ayah. Mak tahu mak boleh harapkan anak bujang mak ni. Terlalu banyak ingin mak katakan kepada Wan. Mak harap Wan sentiasa ingat pesan mak dulu. Mak sayangkan Wan. Kalau Wan teringatkan mak, Wan ingatlah pesan mak dan dekatkanlah diri Wan kepada Allah kerana Dialah tempat mengadu dan meminta pertolongan.

Yang menyayangimu selalu.

 

Aku menangis semahu-mahunya. Aku tahu ayah perasan akan perubahan diriku sekarang.

Mak, kalaulah mak masih ada di sisi Wan, Wan takkan mensia-siakan setiap detik kita bersama. Wan amat sayangkan mak. Wan rindukan mak sangat. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa rindu dan sayangnya Wan pada mak. Mulai saat ini, Wan akan dengar nasihat mak. Wan akan kotakan janji Wan.

Bertuahnya insan yang masih mempunyai ibu sedangkan diriku  merindui selalu belaian ibu. Hari Ibu, hari yang amat bermakna bagiku. Meskipun tanpa ibu di sisi, aku masih ada ayah, abang dan juga kenangan manisku bersama ibu. Ya Allah, tempatkanlah ibuku di kalangan hambaMu yang soleh. Amin.

“Mak, Selamat Hari Ibu.”

 

[stextbox id=”black”]Anda mempunyai berita, artikel atau karya kreatif untuk dikongsi di web PERUBATAN Online Iskandariah? Hantarkan kepada kami: iskandariah.perubatan@gmail.com[/stextbox]

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :