DAKWAH FARDIYAH DI ALAM MAHASISWA

OLEH : MOHAMAD HAFIZ MOHAMAD ZAINI

Kuliah Perubatan, Universiti Iskandariah

Tidak sabar rasanya nak bergelumang dalam arena dakwah dan tarbiyyah mahasiswa. Kemahuan dan semangat berkobar-kobar untuk berkecimpung dalam dakwah yang mana pada ketika itu masih lagi di bangku menengah. Pendedahan demi pendedahan diterima menyebabkan makin hari semangat untuk berintima’ dengan kerja-kerja dakwah ini makin membara. Oh, alangkah seronoknya jika pada ketika itu dapat menjejak ke alam mahasiswa. Bebas menerima tarbiyyah daripada naqib-naqib. Bebas untuk turun ke lapangan masyarakat menyeru kepada Islam. Tiap-tiap minggu berusrah ke sana ke sini, berprogram dari pagi hingga ke lewat malam. Di alam persekolahan apalah sangat yang diperoleh. Kadang-kadang untuk menyertai program tarbiyyah anjuran masyarakat di kawasan tempat tinggal pun tak sempat dek kesibukan dengan kelas tuisyennya. Maklumlah ketika itu, SPM itu adalah segala-galanya. Tetapi kalau bab memberi tazkirah di surau, kita adalah orang yang pertama mencapai mikrofon di hadapan. Kalau bersembang isu-isu umat Islam sejagat kita adalah orang yang paling bersemangat. Berdakwah di alam mahasiswa bukanlah mudah sebagaimana yang disangka.

Tidak sama berdakwah kepada rakan-rakan dalam bilik darjah  dengan rakan-rakan dalam dewan kuliah sewaktu kita di alam kampus.  Orangnya pelbagai dan ragamnya banyak. Tersilap langkah kita akan dijauhinya dan seruan kepada kebenaran itu menjadi musuhnya. Inilah yang benar-benar kita takuti selaku aktivis dakwah. Kita sering menganggap orang yang tidak dapat menerima kebenaran yang kita sampaikan itu, belum lagi mendapat hidayah daripada Allah. Ya, memang benar. Allah berhak memberi hidayah kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki tapi jarang sekali untuk kita bermuhasabah diri kita selaku daie ini. Apakah sebabnya sahabat sekuliah dengan kita tidak terkesan dengan seruan kita tetapi sebaliknya makin menjauhkan diri dari kita. Adakah pengucapan dan cara penyampaian kita tidak menarik perhatian mereka? Adakah perilaku kita selaku daei kadang-kadang membuatkan sahabat-sahabat kita menyampah dan bosan dengan kita? Jika jawapannya  ya, kita sebenarnya gagal dalam mengamalkan satu cabang  yang penting dalam dakwah iaitu dakwah fardiah.

Dakwah fardiah ditakrif oleh Habib Muhammad Bin Abdul Rahman As-saqaf dalam kitabnya yang bertajuk ‘Towali’ As-Sa’diah’ (Terbitan Kebahagian) iaitu mengunakan fikiran dalam menyelamatkan individu yang lalai daripada Allah kepada mendekat dan mengingati Allah. Setiap mad’u mempunyai tarikan dan minat yang tersendiri. Ada yang suka didekati dengan tazkirah dan ada juga yang suka didekati dengan sembang-sembang kedai kopi. Di sini pentingnya kepada kita selaku mahasiswa untuk menggunakan fikiran dan akal kita untuk menarik perhatian rakan-rakan mahasiswa lain kepada Islam. Konsep dakwah penuh bijaksana paling berkesan dan amat diperlukan dalam berdakwah kepada pelajar-pelajar universiti. Rasulullah SAW menganjurkan suatu dustur (kaedah) dakwah yang terbaik iaitu:

“Serulah ke jalan Tuhanmu secara bijaksana dengan pekerti teladan yang baik, hujah terbaik dan meyakinkan”.     (Surah An-Nahl:125)

Kebijaksana dalam melaksanakan dakwah fardiah meliputi keupayaan kita untuk mewujudkan ikatan kimia ataupun ‘chemistry bond’ antara kita (daei) dan mad’u. Kegagalan kita untuk mewujudkan ikatan kimia tersebut merupakan faktor utama kita dibenci oleh mad’u. Ikatan kimia yang baik boleh dipupuk melalui salam dan khabar. Pertemuan antara kita dan mad’u sekadar memberi salam dan bertanyakan khabar sebenarnya sudah cukup untuk membina ikatan kimia yang baik. Cukup sekadar itu. Tidak perlu untuk kita mengeluarkan bait-bait nasihat menegur sahabat kita tadi di atas kesalahan dan kekurangan. Hal ini demikian kerana, teguran dan nasihat berlebihan daripada kita yang berkarakter islamik ini bakal menimbulkan perasaan jemu dalam diri mereka terhadap kita. Kesannya, ikatan yang murni tidak dapat diwujudkan dan kita bakal disisihkan oleh mahasiswa yang kita serukan mereka kepada kebenaran Islam.

Selain itu, ikatan  yang baik juga mampu diwujudkan melalui hubungan perkenalan yang baik. Jika salam dan khabar merupakan permulaan kepada proses membina ikatan ini, pelengkap kepadanya ialah taaruf ataupun perkenalan yang baik dan murni. Sesuatu sesi perkenalan dalam dakwah fardiah amatlah berkesan jika kita selaku daie dapat mengingati nama mad’u kita. Perbanyakkanlah menyebut namanya sewaktu kita bercakap dengan mad’u  dalam sebarang pertemuan dan elakan daripada melupai namanya. Mad’u juga perlulah dihormati oleh kita selaku daie walaupun kadang- kala keperibadian dan akhlak kita jauh lebih bagus jika dibandingkan dengan mad’u tersebut. Berusahalah untuk menjadi pendengar yang baik jika mad’u berbicara. Hormati pandangannya walaupun ianya merupakan sesuatu yang batil dan bercanggahan. Sikap kita selaku pendakwah yang terlalu gelojoh untuk membetulkan sesuatu yang batil kadang-kadang membuatkan rakan madu’ kita merasakan mereka tidak dihargai oleh kita. Hanya kita saja yang betul sebaliknya dia hanya menjadi mangsa teguran kita setiap  hari. Tegasnya, apabila mad’u merasakan dirinya kerdil dek perbuatan kita itu, hubungan kimia yang baik antara kita dan mad’u  tidak dapat diwujudkan.

Dalam berbicara, kebijaksanaan kita untuk memilih sesuatu tajuk yang munasabah amat diperlukan. Semangat kita untuk terus bercakap dan bersembang mengenai hal-hal agama apabila saja bertemu dengan mad’u tidaklah sesuai untuk berdepan dengan mahasiswa yang lebih liberal. Selaku penyeru di jalan Allah elakan daripada menjadikan masalah agama sebagai pembuka kepada dakwah fardiyah kita. Raikan mad’u kita. Apabila bersembang berilah peluang kepada mad’u  untuk memulakan topik perbualannya tersendiri. Fahami fikrah dan pemikiran mereka sebelum membuka ruang perbualan. Kemudian gunakanlah hikmah sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Muhammmad SAW untuk menerapkan unsur-unsur dakwah dalam perbualan tersebut. Jauhi daripada menggunakan modus operandi yang ‘straight to the point’, sebaliknya cuba untuk menjadikan mad’u lebih berfikir tentang apa yang diperbualkan dan menghubungkaitkannya  dengan Islam. Oleh itu, suntikan secara halus dan berseni dalam perbualan seharian antara kita dan mad’u perlu untuk mengelakkan diri kita daripada digelar oleh mahasiswa lain sebagai penyeru tegar. Suntikan halus unsur dakwah yang berterusan diserta dengan hidayah daripada Allah lama kelamaan menyebabkan mad’u beransur-ansur  untuk menerima kebenaran. InsyaAllah!

Kesimpulannya, mengamalkan dakwah fardiyah di alam mahasiswa bukanlah suatu perkara yang mudah sebagimana yang disangkakan. Keperluan kepada method yang fleksible dan kreatif amat dituntut dan sepatutnya dipelajari oleh setiap pendakwah kampus. Seorang daei yang mampu untuk menjiwai tanggungjawab dan peranannya secara tidak langsung akan lebih berusaha untuk mempelbagaikan uslub dakwahnya. Lebih-lebih lagi  dalam menghadapi situasi mahasiswa di kampus yang telah diliberalkan pemikiran mereka. Inilah yang dikatakan professional da’ei, mampu menghadapi apa jua keadaan dengan baik dan berkesan.

Teknik dakwah yang berterusan dan istiqomah mampu untuk memulihkan kembali gaya hidup liberal dan permasalahan sosial dalam kalangan mahasiswa kampus. Selaku daei , amat perlu bagi kita untuk meluputkan perasaan malas dan jemu dalam menyeru sahabat kita kepada kebenaran. Ingatlah betapa besarnya ganjaran jika kita dapat menyelamatkan sahabat kita daripada lemas di alam mahasiswa. Sebagaimana sabda Nabi SAW :

“ Jika Allah s.w.t memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik

bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.” (Riwayat at-Tabrani)

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :