SEGAH SEJARAH KOTANYA

Universiti Alexandria yang pada awalnya dikenali sebagai Universiti Farouk ditubuhkan pada 1938. Bermula dengan hanya penubuhan dua fakulti ketika itu iaitu Fakulti Perundangan dan Fakulti Kesenian, Universiti Alexandria pada hari ini mempunyai 30 fakulti dan institusi. Pelbagai pembaharuan dan pembangunan telah dilakukan semenjak ia ditubuhkan untuk memenuhi keperluan ilmiah masyarakat selari dengan arus pemodenan dunia. Fakulti Perubatan University Alexandria ditubuhkan pada tahun 1942. Ia menawarkan pengajian dalam bidang perubatan bukan sahaja kepada pelajar tempatan malahan kepada pelajar antarabangsa seperti Arab Saudi, Nigeria dan Malaysia.

Universiti Alexandria terletak di bandar kedua terbesar di Mesir, Iskandariah@Alexandria yang berpopulasi lebih 5 juta penduduk dan beriklim mediterranean.   Iskandariah dibuka oleh Alexander the Great dan mempunyai sejarah yang hebat. Iskandariah pernah menjadi ibu negara Graco-Roman Egypt. Di Iskandariah pernah terdirinya Lighthouse of Alexandria yang merupakan satu daripada tujuh keajaiban dunia dan Library of Alexandria yang merupakan perpustakaan terbesar pada zaman purba. Pada hari ini, Iskandariah dikenali sebagai bandar pelabuhan terbesar Mesir. Tambahan pula, Iskandariah juga terkenal sebagai antara tempat tarikan utama pelancong di Mesir kerana kebersihan bandarnya dan keindahan pemandangan persisir pantainya.

Universiti Alexandria mempunyai pelbagai kelengkapan untuk menjamin mutu pembelajaran. Universiti Alexandria menyediakan dua dewan kuliah untuk penuntut tahun pre-klinikal dan  dua dewan kuliah untuk penuntut tahun klinikal yang satu-satunya mampu memuatkan lebih kurang 150 penuntut dalam satu masa. Universiti Alexandria juga mempunyai perpustakaan yang memberikan suasana kondusif untuk penuntut mentelaah. Selain itu, Universiti Alexandria mempunyai makmal-makmal sains seperti makmal Anatomi, Histologi, biokimia dan microbiologi. Universiti Alexandria juga mempunyai pusat konvensyen yang menjadi tempat mengumpulkan semua penuntut untuk sesuatu program. Selari dengan perkembangan teknologi maklumat, Universiti Alexandria juga menyediakan makmal komputer.

Bermula tahun 2009 Universiti Alexandria memperkenalkan sistem pembelajaran berintegrasi berasaskan modul. Sistem ini telah digunakan di universiti-universiti terkemuka di dunia seperti Monash University di Australia. Sistem ini diperkenalkan untuk meningkatkan qualiti pembelajaran dan melahirkan graduan yang mampu memenuhi kehendak professionalism bidang perubatan. Sistem berintegrasi ini mengamalkan sistem pembelajaran berasaskan modul yang menggabungkan subjek-subjek yang berkaitan dalam satu modul. Ini memudahkan pemahaman penuntut. Dalam sistem pembelajaran berintegrasi juga dijalankan program Integrated Learning Activity (ILA) yang mengaitkan situasi klinikal sebenar dalam pembelajaran. Oleh itu, penuntut akan mendapat gambaran yang jelas bagaimana mengaplikasikan apa yang dipelajari.

Universiti Alexandria merupakan sebuah universiti yang mengamalkan keseimbangan antara pembejaran dan kokurikulum. Pelbagai aktiviti kokurikulum telah dianjurkan oleh pihak universiti. Antara contoh aktiviti kokurikulum yang dianjurkan ialah pertandingan futsal, lawatan ke Aswan dan Luxor, hari kebudayaan dan karnival sukan. Aktiviti ini bermatlamat melahirkan graduan yang serba boleh dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara penuntut yang berbilang bangsa. Tambahan pula, lawatan yang dianjurkan oleh pihak universiti memberi peluang kepada penuntut untuk lebih mengenali bumi Mesir ini. Oleh itu pembelajaran di Universiti Alexandria tidak berpaksikan kurikulum semata-mata malahan melibatkan kokurikulum yang membantu penuntut untuk membuka minda mereka kerana bukan semua pembelajaran dapat ditimba dari buku.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :