Pada 27 Februari hingga 2 March 2010,Unit Sukan dan Aktiviti Luar Perubatan Cawangan Iskandariah(PCI) telah menganjurkan trip “Menuju Puncak Sinai Explorer” dengan kerjasama ustaz-ustaz dari Syubra serta Kaherah. Trip ini dijalankan selama 3hari 2malam yang telah disertai seramai 75 orang akhawat dari Tahun 2 serta Tahun 3 yang baru selesai menduduki peperiksaan Semester 1 baru-baru ini. Trip ini juga telah disertai oleh Ustaz Ishak dan keluarga.Trip ini diiringi oleh 9 ustaz-ustaz selaku musyrif dan catering untuk para peserta. Terdapat 2 buah bas yang membawa seramai 80 peserta yang diketuai oleh Ustaz Haniq untuk bas2.

Presentation3

Perjalanan trip ke Sinai kali ini juga mengalami sedikit kelewatan seperti yang telah dijadualkan. Namun begitu dengan berkat kesungguhan,kerjasama serta rasa tidak putus asa dari para peserta serta ustaz-ustaz selaku pengiring trip ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Perjalanan ini bermula dengan melalu terowong Ahmad Hamdi yang terletak di bawah Terusan Suez. Panjang terowong ini adalah 300meter iaitu bersamaan dengan lebar Terusan Suez. Sepanjang perjalanan ini,ketua bagi setiap bas akan menceritakan serba sedikit berkenaan dengan tempat yang telah kami lalui serta mengeluarkan dalil-dalil dari Al-Quran bagi mengukuhkan lagi cerita dan info yang dikeluarkan. Alhamdulillah.

Kemudian,perjalanan diteruskan lagi dengan melawat kubu Barliff yang merupakan kubu pertahananan Israel yang kukuh dan tidak dapat dibolosi oleh pihak Mesir. Kubu ini dibina daripada rel-rel kereta api ,batu-batuan serta pasir yang menutupi kubu tersebut. Pasir selaku penyerap tekanan yang baik membantu mengukuhkan lagi kubu ini. Namun dengan pertolongan Allah swt yang telah member ilham melalui mimpi kepada Syeikh Abdul Halim untuk menggunakan bom air dan akhirnya kubu tersebut dapat ditewaskan dan ditawan oleh pihak Mesir.

Jaulah kami diteruskan lagi dengan mengunjungi Uyun Musa iaitu tempat terpancutnya 12 mata air setelah Nabi Musa mengetuk tongkatnya. Diceritakan juga mata air ini terpancut setelah Nabi Musa serta pengikut baginda yang seramai 7000 orang dari 12 suku kaum menyeberangi Laut Merah kerana lari daripada pengikut-pengikut Firaun pada zaman itu. Namun terdapat khilaf para ulama’ berkenaan dengan tempat letaknya Uyun Musa tersebut. Kisah ini dapat dibuktikan dalam surah Al-Baqarah ayat 60. Kemudian kami dibawa ke mata air Nabi Ayub . Mata air tersebut dapat menyembuhkan penyakit kulit atau sopak ataupun kusta (terdapat khilaf antara ulama’ juga). Airnya suam-suam dan tidak seperti sumber air dari sekelilingnya. Seterusnya kami mendaki selama sejam untuk menuju Wadi Arba3in yang merupakan tempat pertemuan 40 para nabi atau 40 para wali di situ.

Presentation4

Pada keesokkan harinya tepat pada pukul 2.30pagi,para peserta bersiap sedia untuk mendaki Gunung Sinai yang tingginya sebanyak 2288 meter dari paras laut. Pendakian kali ini agak mencabar kerana kebanyakan para peserta belum bersedia dari segi mental kerana kalau diikutkan tentatif yang diberikan kami akan mendaki puncak Sinai pada hari terakhir. Namun berkat kesungguhan serta semangat para peserta untuk menjejaki jejak Nabi Musa kami telah berjaya menawan Puncak Sinai pada pukul 5.30 pagi walaupun ada juga di kalangan peserta yang patah semangat untuk meneruskan pendakian. Kami diberi semangat oleh musyrif masing-masing untuk meneruskan pendakian ke puncak Sinai. Setelah selesai solat subuh kami naik ke puncak untuk melihat matahari terbit serta tempat di mana Nabi Musa bermunajat kepada Allah dan keadaan setelah Allah memperkenankan hajat Nabi Musa untuk melihat Allah. Kisah ini tercatat dalam surah Al- A’aaraf ayat 143. Setelah turun dari puncak Sinai kami dibawa ke tempat di mana letaknya cebisan serta tinggalan lembu Samiri. Kami diberi rehat dan bersiap-siap untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Dahab.

Dahab ialah tempat pelancongan yang terletak di bahagian tenggara Semenanjung Sinai. Kami diberi peluang untuk membeli-belah di Dahab serta menaiki bot mahupun menaiki motor di situ. Ketika menaiki bot kami dapat melihat kehidupan di dasar laut. Peluang ini merupakan kenangan terindah kepada para peserta yang merupakan pencinta kehidupan dasar laut.

Presentation2

Pada keesokan harinya, kami berangkat pulang dari tempat penginapan kami ke Iskandariah. Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah di kubu Salahuddin Al-Ayubi yang terletak di Taba, sempadan antara 4 buah Negara iaitu Mesir, Syria, Jordan dan Israel. Selepas kira-kira 3.30pagi, kami selamat tiba di Iskandariah dengan perasaan yang bercampur aduk, penat, gembira, seronok dan sebagainya.
Kesimpulannya, kami amat gembira dan berpuas hati dengan trip kali ini. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ustaz-ustaz dari pengajian Islam dengan bimbingan,cerita-cerita serta penjelasan dan aktiviti-aktiviti yang menarik yang telah mereka aturkan dan tidak lupa juga kepada penganjur utama trip ini PERUBATAN CAWANGAN ISKANDARIAH. Diharapkan agar aktiviti sebegini menjadi aktiviti tahunan PCI.

Disediakan oleh,
NOR JANNAH BINTI NOR KHALID
UNIT KEWARTAWANAN ,
UPP PCI.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :