DI DALAM Islam, segala permainan dan hiburan harus dan selagi tidak melanggar batas-batas syarak adalah diharuskan bagi melapangkan hati sekali gus dapat mencergaskan jiwa yang telah lesu.

Agama Islam bukanlah satu agama kaku tetapi adalah agama yang dipenuhi dengan kemanisan dan diluhuri dengan budi pekerti.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri tidak melarang untuk berhibur dan bermain sebagaimana riwayat Imam Al-Baihaqi daripada Al-Muthalib bin Abdullah di dalam sabda Baginda yang bermaksud :

“Hiburkan atau bermainlah kamu, kerana saya benci melihat dalam agama kamu yang bengis dan masam yakni tiada lemah lembut dan manis muka dan hati.”

Pada zaman serba moden ini pelbagai jenis sukan telah diperkenalkan kepada umum. Maka dalam bermacam jenis sukan yang diperkenalkan itu, sebagai seorang Muslim dan Muslimah mestilah memastikan sukan yang hendak diikuti dan dilakukan itu sesuai dan tidak melanggar hukum-hukum syarak.

Islam menetapkan beberapa panduan yang harus diikuti dalam bersukan. sama ada panduan tersebut khusus bagi individu itu sendiri mahupun panduan bagi acara sukan yang diadakan, di antara adab-adabnya ialah

BERSUKAN MENGIKUT FITRAH

Setiap sukan yang hendak diikuti mestilah mengikut fitrah masing-masing. Bagi setiap insan sama ada lelaki mahupun perempuan mempunyai fitrah yang telah ditetapkan Allah Subhanahu Wata’ala, lelaki biasanya dikenali dan dikaitkan dengan kegagahan dan ketangkasan, manakala perempuan pula sering kali disifatkan dan dihubungkan dengan kelembutan dan keperibadiannya yang pemalu.

Sebab itulah setiap sukan atau olahraga itu hanya tertakluk kepada jantina yang tertentu sahaja, seperti menunggang kuda, bola sepak, tarik kalat dan sebagainya dikhususkan untuk lelaki sahaja memandangkan ianya adalah permainan yang lasak, manakala perempuan pula diharuskan bersukan yang sesuai dengan kelembutannya seperti berlari atau berjalan kaki, asalkan ianya dibatasi dengan hukum-hukum syarak.

MENUTUP AURAT DAN MENJAGA BATAS PERGAULAN

Penutupan aurat bukan hanya diwajibkan di dalam waktu sembahyang sahaja, tetapi ianya dituntut di mana sahaja selagi berada di tempat awam atau berada di hadapan (ajnabi) lelaki atau perempuan yang halal dinikahi.

Dengan terciptanya pakaian, ianya adalah di antara nikmat Allah Subhanahu Wata’ala untuk manusia agar ianya dapat digunakan sebagai penutup aurat mereka. Islam juga mengkhususkan dan membataskan pakaian kaum Muslimin agar dapat menghindari dari melakukan dan dilakukan maksiat ke atasnya.

Selain dari itu, setiap muslim hendaklah menjaga batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh Islam. Hubungan ikhtilat lelaki dan perempuan hendaklah di jaga dan sebarang bentuk sukan yang boleh menaikkan syahwat adalah dilarang di dalam Islam.

Perjalanan sesbuah aktiviti sukan telah diwarisi sejak turun temurun bermula dari penciptanya. Sukan bola sepak akan dimainkan dengan cara yang sama walaupun anda berada di dua titik yang berjauhan di muka bumi, ini bermakna ,bagi membolehkan bola sepak diterima sebagai satu sukan yang universal, ia perlu dimainkan dengan syarat yang telah ditetapkan.

Dua puluh dua pemain, dua gol dan sebiji bola sepak adalah ramuan asli bagi permainan ini. Namun begitu, Islam mengajar pengikutnya untuk menambahkan satu rempah penting dalam menjadikan permainan ini diterima di sisi Allah SWT.

“Ikutlah syariatNya dimana saja anda berada”. bagi Muslim, syarat sah permainan bola sepak ini bukan semata mata material, tetapi lebih subjektif lagi, disebalik permainan ini, ada hati yang ikhlas menjunjung segala arahan dan larangan Allah kepadanya.

Pelbagai bentuk syariat Allah yang kebanyakan dari kita telah lupa. Disamping aurat, kita sungguh jarang sedar akan pergaulan bebas yang terjadi dalam perjalanan sukan.

Dari penyokong hinggalah kepada yang bermain, dari latihan hinggalah ke hari penentuan kejuaraan. Jika muslimnya kita dibawa kedalam permainan, kita pasti akan mengelak daripada terjadinya segala bentuk perlanggaran syariat.

Sebagai contoh ikhtilat tidak syari’e antara muslim dan muslimah. Lelaki dan perempuan punyai batas yang telah ditentukan sejak azali. Jika terjadinya perlanggaran batas ini, sudah tentu redhaNya tiada kita temui, susah keberkatan untuk kita dapatkan dalam sukan yang kita islamikkan ini.

SUKAN YANG TIDAK MELALAIKAN

Sukan adalah di antara hiburan yang digemari ramai pada masa kini, adalah menjadi satu kelaziman bagi setiap insan menyukai perkara-perkara yang menghiburkan hati, tetapi sebagai seorang Muslim atau Muslimah mestilah membatasi setiap perkara yang hendak dibuat agar selaras dengan hukum syarak.

Maka jika sekiranya sukan yang hendak diikuti itu antara perkara yang melalaikan dan boleh menyebabkan seseorang tersebut meninggalkan kewajipan atau tanggungjawabnya, seperti meninggalkan sembahyang atau mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarganya, maka ini telah dikategorikan sebagai melanggar hukum Islam kerana ianya telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Allah Subhanahu Wata’ala dan tanggungjawabnya terhadap keluarganya yang mana mereka ini adalah amanah yang diberikan oleh Allah.

P/S – Diharap kepada semua mahasiswa dan mahasiswi agar mematuhi jadual bersukan yang telah ditetapkan.

Elakkan percampuran lelaki dan perempuan yang tidak perlu samada semasa latihan ataupun perkara-perkara yang lain.

Jadikan sukan ini sebagai peluang menyihatkan badan dengan cara yang paling Allah redha disamping kelebihan lain yang bakal kita peroleh. Semoga ALLAH melimpahkan rahmatNYA ke atas kita atas sedikit usaha kebaikan yang kita lakukan.

– Unit Penerangan JAKSI PCI 2010 –

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :