25 FEBRUARI 2010, ISKANDARIAH- Bertempat di Asrama MARA sebuah majlis perpisahan atau majlis wida’ telah diadakan sekitar jam 10 malam. Majlis bertujuan untuk meraikan pemergian saudara Syed Omar Farouk Syed Alwi ke tanah air. Beliau merupakan pelajar Universiti Iskandariah yang tertua; yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di sini. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pihak pengerusi yang menggariskan serba serbi latar belakang beliau. Dalam kesempatan yang sama, pihak majlis juga memperkenalkan isteri beliau yang baru sahaja dinikahi kepada semua yang hadir.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan madah bicara atau wasiat atau kata-kata terakhir oleh beliau tentang kehidupan di Iskandariah dan bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan sistem dan budaya masyarakat di sini. Beliau juga mempersembahkan satu seloka yang unik, yang menggabungkan kedua bahasa ibunda dan bahasa arab. Tetamu kelihatan tidak kering gusi mendengar seloka tersebut. Majlis juga diserikan dengan titipan foto beliau sepanjang kehidupan beliau di Iskandariah, majlis perkahwinan beliau dan gambar-gambar beliau sewaktu masih kecil.

Agenda majlis diteruskan dengan penyampaian cenderemata kepada beliau yang telah disempurnakan oleh saudara  Abang Helmi yang diiringi oleh Abg Marul dan diakhiri dengan sesi fotografi bersama pelajar.

Buat Syed Omar Farouk Syed Alwi, kami disini mengucapkan jutaan terima kasih atas segala limpah budi dan jasa yang disemai dalam susah dan senang tanpa mengira latar belakang. Sesungguhnya, seandainya 7 lautan dijadikan tinta untuk menzahirkan selautan kasih tidak terdaya melainkan hanya Allah sahaja mampu membalasnya. Semoga panjang umur, dimurahkan rezeki dan semoga Berjaya di tanah air kelak dan bersua kita di lain masa.

“Kalau ada sumur di ladang,

Bolehlah kami menumpang mandi;

Kalau ada umur yang panjang,

InsyaAllah kita bersua kembali.”

Disediakan oleh:

Abdul Hafiz Idris

Unit Kewartawanan, UPP

26 FEBUARI 2010

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :