Iskandariah 12 Mac – Seorang pelajar Malaysia dipercayai jatuh daripada tingkat empat sebuah bangunan apartment malam tadi. Mangsa merupakan pelajar jurusan perubatan Tanta dikatakan datang ke Iskandariah untuk tujuan ziarah. Pegawai MARA dan JPMK bergegas ke tempat kejadian setelah dihubungi. Pihak berkuasa Mesir sedang menjalankan siasatan dan punca sebenar kejadian masih belum diketahui. Saksi kini sedang berada di balai polis untuk memberikan keterangan.-mediaPERUBATAN


Update: Mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Sarhan Bin Ahmad Khan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah jatuh daripada tingkat empat.  Jenazahnya ditempatkan di Mustashfa Mashrahah (Hospital Mashrahah). Ahmad Sarhan merupakan pelajar tahun satu jurusan perubatan Univeriti Tanta. Pihak kedutaan sedang menguruskan urusan penyempurnaan jenazah mangsa.

Saksi-saksi kejadian kini berada di balai polis untuk membantu siasatan. Turut hadir di balai polis malam tadi; Ustazah Nor Zakiah dan Ust. Sukimi, Pegawai JPMK Iskandariah dan Tuan Haji Idris, Pegawai MARA Iskandariah, Ustaz Fairuz Tamjis, Ustaz Khairul Nizam dan beberapa orang wakil PCI; Saudara Abdul Rahim Suhaini, Muhammad Hafidzuddin Abd Razak, Qamarul Azwan Kamaluzaman dan Muhammad Hafiz Zaini. Pengerusi PERUBATAN Tanta, Saudara Azhan dan Ustaz Muiz, Presiden PMRAM sedang dalam perjalanan ke Iskandariah.

Pihak PCI merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahmad Sarhan Bin Ahmad Khan atas ujian yang dihadapi. Semoga roh allahyarham Ahmad Sarhan ditempatkan bersama-sama golongan yang beriman. -mediaPERUBATAN

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :