Alangkah seronoknya orang-orang yang beriman, menerima kedatangan bulan Ramadhan untuk mereka menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah membersihkan jiwa mereka dari segala dosa dan noda, mengembalikannya semula kepada fitrah sekaligus mencapai matlamat taqwa yang dijanjikan buat mereka. subhanallah.


Justeru apakah persediaan kita menjelang ketibaan tetamu agung yang wajib kita layani ini. Sekiranya kita diberitahu kedatangan seorang kenamaan ke rumah kita, pastinya kita tidak akan senang duduk. Berfikir untuk mengemas dan menghias rumah sebaik mungkin. Jika perlu dicat, diganti perabut dan dibaiki kerosakan yang ada pasti kita akan lakukan. Hasrat kita adalah untuk melayan tetamu tadi dengan sebaik mungkin, supaya tetamu merasa selesa berada di rumah kita. Itu belum lagi menyediakan makan minum yang enak-enak serta menyelerakan. Pokoknya tetamu tadi akan merasakan kedatangnya benar-benar dihargai dan sangat dialu-alukan.

Nah, sekarang persoalannya bagaimana jika tetamu tadi itu adalah Ramadhan Al-Mubarak, bagaimana persiapan kita? Adakah kita merasa tidak senang duduk dengan kehadirannya, tidak membuat sebarang persiapan untuk Ramadhan bertamu atau merasakan kehadirannya tidak penting. Kegembiraan seorang mukmin dalam menyambut kedatangan Ramadhan telah digambarkan oleh Baginda sallallahualaihi wa sallam melalui sepotong doa yang bermaksud: Wahai Allah tuhan kami, berkatilah kami dalam bulan rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan. Doa ini jelas memberi kefahaman bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan yang amat dinanti-nantikan oleh baginda dan begitu jugalah orang- orang yang beriman yang mentauladani Rasulullah sallllahu alaihi wa sallam.

Ramai dikalangan kita merasa sedih jika tidak ada persiapan untuk menyambut aidilfitri, tetapi ramai yang tidak sedih jika tidak ada persiapan untuk meyambut Ramadhan. Bukan persiapan fizikal yang diperlukan untuk menghadapi Ramadhan, tetapi persiapan ruhi untuk menyambut Ramadhan sebagai tetamu agung dari Allah dengan penuh kemesraan dan kesyukuran. Oleh itu, ada beberapa persiapan yang wajar kita laksanakan sebelum melangkah masuk ke bulan Ramadhan Al-Mubarak dan antara yang perlu sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr. Abdul Khaliq Al-Syarif ialah:


1. Bertaubat kepada Allah daripada segala dosa yang kecil mahupun besar dengan tujuan membersihkan diri dan hati untuk menempuh gerbang bulan ramdhan yang mulia dengan jiwa yang bersih dan suci.
2. Menjernihkan semula hubungan baik sesama manusia sama ada kedua-dua ibubapanya, sanak saudara mahupun sahabat handai khususnya sesama ikhwah.
3. Melatih diri dengan amal-amal kebaikan dibulan Syaaban dengan
memperbanyakkan tilawah al-quran, qiyamullail dan puasa supaya dapat melaksanakan ibadat-ibadat tersebut dengan lebih sempurna pada bulan Ramadhan.
Bahkan Rasulullah sallAllahu alaihi wa sallam juga banyak berpuasa dalam bulan Syaaban sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis sahih (lihat Riadh al-solihin/hadis: 1247).
4. Merujuk semula fiqh puasa, untuk mengingati semula kaedah puasa yang bertepatan dengan sunnah, berserta rukun dan syarat-syaratnya terutamanya berkaitan adab-adab puasa yang sering diabaikan. Dalam hal ini para pembaca boleh merujuk kitab-kitab fiqh yang muktabar seperti Fiqh Mazhab Syafie (Al- Fiqh Al-Minhaji) yang terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Untuk itu, mengapa perlu disia-siakan detik-detik berharga yang menghiasi sepanjang Ramadan sehingga diisi dengan tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari? Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan yang Allah hamparkan sepanjang Ramadhan ini.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Oleh itu, marilah bersama-sama mempersiapkan diri kita untuk menerima kunjungan Ramadhan dalam pesta ibadah yang menjanjikan ganjaran bonus berlipat kali ganda. Semoga Ramadhan yang bakal kita lalui ini lebih baik dari yang pernah kita lalui. Disamping taqwa sebagai sasaran, marilah kita bersama menginsafi diri kita dengan merenung kebesaran Allah diatas segala nikmatNya kepada kita disamping berazam dengan sepenuh hati untuk melakukan yang terbaik untuk Ramadhan kali ini. Dengan harapan juga agar Ramadhan kali ini tidak berkecil hati menerima layanan kita. Wallahu a’lam.

Di petik dari http://saidhawwa.com/2008/08/persiapankan-diri-untuk-ramadhan/

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :