Setelah dua tahun penghantaran pelajar-pelajar perubatan ke Mesir oleh MARA, seawal tahun ketiga telah mengukir satu sejarah baru dengan penubuhan Pejabat MARA Timur Tengah yang berpusat di Iskandariah.Pejabat ini terletak di tingkat M, bangunan Asrama MARA Iskandariah dan mempunyai 3 orang badan penggerak yang diketuai oleh Ustaz Ishak Bin Othman, sebagai Pengarah MARA Timur Tengah.

Pihak Unit Penerbitan dan Penerangan PCI telah berusaha mendekati Pejabat MARA Timur Tengah untuk menemubual  Ustaz Ishak, malangnya beliau telah pulang ke Malaysia untuk beberapa hari bagi menyelesaikan urusan penghantaran pelajar-pelajar MARA bagi sesi 2009/2010 akan datang.Namun,  UPP PCI sempat berjumpa dengan Ustaz Firdaus, selaku pembantu tadbir di Pejabat MARA Timur Tengah ini.Untuk tidak mensia-siakan pertemuan itu, satu sesi berlangsung untuk memperkenalkan Pejabat MARA Timur Tengah ini kepada pembaca.

ust-firdausNama                    : Muhammad Firdaus Bin Sulaiman

Negeri Asal         : Johor Darul Ta’zim

Pengajian            : Pelajar Tahun 4, Kuliah Syariah Islamiyah,

Universiti Al-Azhar As-Syarif

Jawatan               : Pembantu Tadbir, Pejabat MARA Timur Tengah

Terangkan sedikit sebanyak bidang tugas dan urusan kerja pegawai-pegawai MARA di Pejabat MARA Timur Tengah ini.

Antara bidang tugas yang diamanahkan kepada pegawai-pegawai MARA di sini ialah yang melibatkan surat-menyurat rasmi yang bersangkut-paut dengan pengurusan MARA, sebagai contoh pengurusan kemasukan pelajar tajaan MARA ke Alexandria University.Selain itu, pegawai-pegawai ini juga bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan dan cek biasiswa pelajar MARA.Dengan erti kata lain, para pelajar boleh menuntut cek biasiswa masing-masing dengan kami di pejabat ini.

Proses penyelenggaraan dan maintenance asrama MARA  juga dibawah tanggungjawab pegawai.Oleh itu, kami secara tidak langsung perlu berhubung dengan kontraktor yang terlibat dalam pembinaan asrama ini.Seterusnya, pegawai MARA juga bertanggungjawab dalam pengurusan database dan segala data yang melibatkan para pelajar.Juga tidak lupa dalam menganalisa serta membuat laporan berkaitan prestasi akademik dan keputusan peperiksaan pelajar kepada MARA Headquarter di Kuala Lumpur.

Sebelum terlupa, bidang tugas pegawai MARA yang paling penting di sini ialah menjaga kebajikan para pelajar, khususnya tajaan MARA.Memandangkan para pelajar sudah mempunyai persatuan pelajar di sini iaitu PERUBATAN, maka pegawai MARA di sini secara tidak langsung membantu PERUBATAN dalam menjaga hal ehwal kebajikan pelajar, serta bersama-sama dengan PERUBATAN dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pelajar.

Jadi setakat beberapa bulan penubuhan Pejabat MARA ini, skop tugas masih lagi di peringkat pembinaan serta menjaga kestabilan pejabat di sini.Mungkin setelah dua atau tiga tahun lagi, bidang kerja akan lebih menyeluruh dalam memudahkan urusan pelajar di sini.

Apakah pendapat ustaz tentang pelajar-pelajar perubatan di Mesir, khususnya di Iskandariah ini?

Alhamdulillah, setakat beberapa bulan bertugas di Bangunan MARA ini, saya rapat dengan pelajar-pelajar MARA khususnya pelajar-pelajar tahun satu.Dari situ saya lihat pelajar-pelajar perubatan di sini mempunyai akhlak yang baik serta tidak kekok dalam berurusan secara rasmi.Dengan erti kata lain, para pelajar cepat matang dalam pengurusan kehidupan memandangkan ramai dikalangan pelajar yang mempunyai latar belakang kehidupan berasrama.Namun, ada juga dikalangan pelajar yang perlu meningkatkan prestasi tidak kira dalam sebarang aspek kehidupan sekalipun dan belajar daripada sahabat-sahabat yang lain rentak kehidupan di Bumi Anbiya’ ini.

Dari setahun ke setahun, jumlah penghantaran pelajar perubatan Malaysia ke Mesir semakin meningkat.Berikan sedikit komen dan pendapat ustaz.

Secara peribadi, saya suka jika Kerajaan Malaysia khususnya MARA menghantar para pelajarnya melanjutkan pelajaran ke Mesir berbanding Negara-negara lain.Namun, penghantaran pelajar tersebut hendaklah berdasarkan kualiti dan prestasi pelajar, bukan  berdasarkan kuantiti dan bilangan semata-mata.Kerana kelak, kualiti doktor-doktor yang dilahirkan dari Mesir ini yang akan memberi impak yang lebih besar dalam kemajuan dan pembangunan masyarakat di Malaysia.Di samping itu, penghantaran pelajar ke sini juga dapat memberi ruang kepada kerajaan sendiri dalam mengurangkan bajet kewangan, memandangkan krisis kewangan yang melanda Malaysia hari ini.

Walaupun begitu, komuniti pelajar perubatan yang semakin meningkat di Bumi Mesir ini mungkin memberi cabaran kepada badan pengurusan pelajar seperti Pejabat MARA sendiri, pihak kedutaan serta tidak lupa PERUBATAN dalam menjaga kebajikan pelajar.Namun, dari aspek yang lain, mungkin kita boleh lihat secara positif dimana kebanjiran pelajar perubatan di sini dapat memberi peluang kepada kita untuk membina satu keluarga MARA yang harmoni disamping melatih para pelajar sendiri dalam hidup  berkomuniti.

Apakah harapan ustaz terhadap para pelajar perubatan di Mesir disepanjang pengajian mereka di sini khususnya serta amnya apabila mereka telah pulang ke Malaysia membawa segulung ijazah kelak?

Harapan saya terhadap para pelajar, agar mereka celik dan sedar betapa beruntungnya kehadiran mereka di Bumi Mesir ini.Bumi yang penuh di dalamnya para ulamak Islam.Dan dalam masa yang sama, para pelajar diberi peluang mendalami dua bidang ilmu yang menjadi tunjang kehidupan masyarakat, iaitu bidang perubatan dan bidang agama.Keadaan ini memberi ruang advantage kepada pelajar perubatan di sini berbanding yang menuntut di Ireland, UK, Australia, Rusia dan tempat-tempat lain.Para pelajar seharusnya menggunakan kesempatan yang ada di sini untuk membina diri kelak menjadi pakar-pakar perubatan yang berteraskan Islam.Serta tidak hanya tertumpu kepada sesetengah bidang ilmu semata-mata.Semoga kelak, akan lahir tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Sina, yang mana bukan sahaja mahir dalam bidang perubatan semata-mata, tetapi mampu mengoreksi bidang-bidang ilmu yang lain.

Di samping itu, saya berharap agar para pelajar sentiasa dapat belajar bersungguh-sungguh dan meningkatkan prestasi akademik masing-masing dari semasa ke semasa.Dan juga, dapat menjaga nama baik keluarga, MARA, Islam dan Malaysia.

Akhir sekali, apakah nasihat ustaz kepada pelajar-pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran perubatan di sini, atau yang akan melanjutkan pelajaran di sini?

Nasihat saya, kepada pelajar-pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pelajar ke Timur Tengah, tidak kira ke Jordan atau Mesir agar sebolehnya dapat menguasai bahasa arab dengan baik.Berdasarkan analisa dan postmortem keputusan peperiksaan yang lepas menunjukkan penguasaan bahasa arab memainkan peranan penting dalam prestasi akademik pelajar.Selain itu, para pelajar perlu sedar bahawa permusafiran pelajar ke Mesir bukan untuk berjalan-jalan semata-mata, tetapi untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu agar kelak apabila pulang ke Malaysia dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Para pelajar juga perlu sedar bahawa kehidupan di Mesir tidak serupa dengan kehidupan di negara-negara lain.Kehidupan pelajar di sini bersama-sama dengan komuniti masyarakat arab mesir yang terkenal dengan keadaan persekitaran yang kurang selesa, masyarakat arab yang kasar serta mempunyai nilai adat yang berbeza dengan Malaysia.Maka, pelajar perlu mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan segala karenah dan situasi, memperkuatkan fizikal dan mental serta bersedia menerima apa sahaja dugaan dan cabaran sebagai satu proses pembelajaran untuk mempersiapkan diri kearah peribadi doktor yang sempurna.

About Alif Akmal