PERUBATAN Cawangan Iskandariah merupakan sebuah persatuan kebajikan yang menaungi pelajar-pelajar sains kesihatan yang berada di bumi Iskandariah ini. Ditubuhkan pada tahun 2006 dengan keahlian seramai 216 orang dan kini pada tahun 2009 keahlian mencecah 589 orang. Pada sesi pengambilan pelajar yang akan datang, keahlian dijangkakan mencecah 800 orang. Pada setiap tahun bilangan ahli akan bertambah besar ekoran kedatangan pelajar-pelajar baru. Bertambahnya bilangan ahli bermakna bertambahlah tanggungjawab persatuan dalam menjaga kebajikan para ahlinya. Dalam pada masa yang sama, PERUBATAN Cawangan Iskandariah masih lagi baru dan kurang pengalaman dalam menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan. Namun begitu dari tahun ke tahun, dari satu badan kepimpinan ke satu badan kepimpinan, mutu gerak kerja persatuan di tingkatkan.

Pertambahan ahli setiap tahun dan realiti bahawa PERUBATAN Cawangan Iskandariah merupakan sebuah persatuan yang baru memaksa para ahlinya untuk berkorban masa yang cukup berharga untuk seorang mahasiswa/mahasiswi Universiti Iskandariah, tenaga, wang ringgit(EGP), harta dan sebagainya. Semua ini adalah demi memantapkan persatuan seterusnya memastikan kebajikan semua ahlinya terjaga. Sesungguhnya pengorbanan yang dilakukan oleh para ahli yang sentiasa bekerja untuk PERUBATAN Cawangan Iskandariah amat besar dan bermakna. Ini semua tidak mungkin akan dapat dilakukan tanpa adanya UKHUWWAH ISLAMIYAH dalam diri kita semua.

Sesungguhnya kita sebagai ahli persatuan yang beriman diumpamakan sebagai bersaudara. Dalam sebuah hadits ada mengatakan:

Ertinya: “Perumpamaan orang-orang beriman di dalam kecintaan, kasih sayang, dan hubungan kekerabatan mereka adalah bagaikan tubuh. Bila salah satu anggotanya mengaduh sakit maka sekujur tubuhnya akan merasakan demam dan tidak bisa tidur.”

Dengan semangat inilah kita sanggup berkorban demi kepentingan rakan-rakan kita yang lain. Apabila mereka ditimpa musibah kita hulurkan bantuan kewangan melalui tabung kasih sayang yang diwujudkan oleh Unit Kebajikan Persatuan PERUBATAN Cawangan Iskandariah. Kita lawat mereka, kita beri semangat kepada mereka, kita masakkan untuk mereka dan segala macam cara yang kita lakukan demi memberi kesenangan dan menenangkan hati mereka. Apabila rakan-rakan kita kurang bernasib baik dalam peperiksaan dan gagal, kita bantu mereka melalui program Mentor-Mentee dibawah kelolaan unit Akademik Persatuan PERUBATAN Cawangan Iskandariah. Bila rakan-rakan kita menyimpang dari ajaran Islam kita bantu mereka dengan memberi teguran yang baik.

Dalam kita kekurangan pemahaman agama Islam, kita mengambil bahagian dalam kelas-kelas pengajian agama dan Smart Circle diwujudkan oleh Unit Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Iskandariah. Demi mendapatkan tubuh badan yang sihat kita bersukan dan menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh Unit Sukan PERUBATAN Cawangan Iskandariah. Dalam mencari duit tambah dan menimba pengalaman berniaga, kita bekerjasama dengan Unit Ekonomi PERUBATAN Cawangan Iskandariah. Sebaran maklumat antara kita dimudahkan denan kemudahan-kemudahan yang diwujudkan oleh Unit Penerbitan dan Penerangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

Sedarkah anda, yang menggerakkan semua unit-unit persatuan di atas bukanlah AJKT-AJKT semata-mata, tetapi ANDAlah yang sebenar menggerakkannya. Ya, ANDA sebagai ahli persatuan memainkan peranan yang teramat penting. Pengorbanan, kerajinan, buah fikiran, jerit-perih, susah-payah, kesanggupan, kreativiti dan inisiatif-inisiatif ANDAlah yang menggerakkan persatuan selama ini. Tanpa ANDA semua iaitu ahli-ahli persatuan, persatuan ini hanya tinggal nama dan mati. Maka kepada yang sudah bekerja untuk persatuan(baca menolong rakan-rakan seIslam) teruskan bekerja dengan semangat yang membara. Kepada yang masih belum lagi kerana mungkin belum bersedia, mulakan langkah anda. Sesungguhnya, persatuan ini, persatuan kita semua. Bukan persatuan AJKT sahaja. Persatuan inilah yang kita ada. Gunakannya sebaik dan seoptimum mungkin dalam mencapai matlamat-matlama kita demi mendapatkan redha Ilahi. Sekiranya terdapat kekurangan, kitalah sebagai ahli yang patut dan mesti melengkap dan membaiki kekurangan itu sebenarnya, bukan orang lain tetapi KITA.

Firman Allah : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri”

Dalam menggerakkan persatuan yang masih lagi baru, kewangan teramatlah penting demi menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan. Demi memudahkan perlaksanaan aktiviti, barang-barang asas seperti kelengkapan sistem audio, bekas air, dapur, pinggan, cawan, hailer, first aid kit, bola dan sebagainya dibeli. Tidak dapat tidak, ini semua menuntut penggunaan wang yang banyak. Oleh itu, kita sebagai ahli persatuan janganlah lokek mengeluarkan sebahagian kecil daripada wang kita dalam menyumbangkan kepada PERUBATAN Cawangan Iskandariah KITA. Anggaplah ia sebagai sedekah dalam membantu memudahkan urusan rakan-rakan kita yang lain dan pada masa yang sama kita mendapat manfaat. InsyaALLAH ada ganjarannya di sisi ALLAH selagi mana kita ikhlas. Maka marilah kita sama-sama menyumbangkan sedikit wang kita sebagai benih demi mendapatkan balasan yang baik kelak, dunia mahupun akhirat.

Firman Allah:

bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.-Al-Baqarah:261

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama berkerja, berusaha dan berkorban dalam menggerakkan persatuan kita berdasarkan konsep UKHUWWAH ISLAMIYAH yang kita semua sudah maklumi. Bukankah indah dan cantik sekiranya kita mengimplementasi konsep ITSAR dalam persatuan kita? InsyaALLAH, kehidupan dan kebajikan dunia akhirat kita semua akan terjaga selagi mana kita mahu dan sanggup berusaha ke arah mencapainya. Wallahualam…

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).- Al-Maidah:2

Oleh :

Abdul Rahim Bin Suhaini

Bendahari PERUBATAN Cawangan Iskandariah 2008/09


Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :