18 MAC 2009 – Kehadiran Ketua Pengarah MARA, Y.BHG Datuk Nam Bin Marthinin ke Bumi Anbiya’ ini digunakan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar tajaan MARA di Iskandariah untuk beramah mesra dan mengenali dengan lebih dekat pemimpin tertinggi pihak penaja ini.Dengan kerjasama PERUBATAN Cawangan Iskandariah, berserta bantuan dan pertolongan dari pihak Pegawai MARA di Iskandariah, satu majlis ramah mesra telah dapat dilaksanakan.Kawasan Asrama MARA menjadi lokasi pertemuan rasmi, disamping lawatan Y.BHG Ketua Pengarah meninjau keadaan Asrama MARA Iskandariah yang baru berusia 5 bulan.

Rombongan Ketua Pengarah yang disertai wakil MARA Inc. dan Ketua Bahagian Pengurusan Harta Bekalan Dan Kontrak tiba di Iskandariah lewat petang 18 Mac, setelah selesai beberapa siri perjumpaan rasmi di Kaherah.Para pelajar mula membanjiri kawasan asrama seawal jam 7.00 malam.Sejurus selepas tinjauan Ketua Pengarah di setiap tingkat Asrama MARA, majlis dimulakan pada pukul 8.00 malam dan dipengerusikan oleh Mohd Faiz Bin Abbas, dan bacaan doa diketuai oleh Saudara Basyir Bin Kamaruzaman.

Seterusnya, majlis disambung dengan ucapan ringkas dari Pegawai MARA Timur Tengah, Tuan Haji Ishak Bin Osman.Dalam ucapannya, beliau menekankan beberapa masalah dan kepincangan yang timbul dalam kehidupan pelajar-pelajar tajaan MARA di Iskandariah, terutamanya masalah-masalah yang melibatkan pihak universiti.Beliau juga berharap agar pihak MARA dapat lebih serius membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar.Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan ucapan utama dari Ketua Pengarah MARA, Y.BHG Datuk Nam Bin Marthinin.Beliau menekankan betapa pentingnya usaha keras dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.Beliau juga menasihatkan para pelajar agar menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik dan meningkatkan tahap kecemerlangan demi membela bangsa melayu pada masa akan datang.

Sejurus selesai ucapan dari Ketua Pengarah, para pelajar diberi peluang untuk bertanya sebarang soalan.Beberapa orang wakil pelajar telah bangun untuk menyampaikan soalan serta harapan, dan telah dijawab dengan sempurna oleh Y.BHG Ketua Pengarah sendiri.Majlis tamat pada pukul 10.00 malam dengan diakhiri jamuan ringan yang disediakan oleh Kedai Makan Hadramaut.

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :