Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Dia yang mengurniakan manusia akal dan fikiran agar kita dapat mengolah ilmu pengetahuan menjadi pedoman dan pengajaran  yang akhirnya mendekatkan diri kita kepada Tuhan yang memiliki dan menguasai segala ilmu. Segala puja dan puji hanya kepada Allah SWT, berkat inayah dan ilham daripadaNya kita mampu menguasai ilmu teknologi yang memastikan kita sentiasa selari dengan arus kemodenan dan kecanggihan. Selawat dan salam sejahtera atas Nabi junjungan mulia Muhammad SAW pembawa rahmat ke seluruh alam. Baginda pembawa mesej kepentingan ilmu pengetahuan dan bukti keagungan keilmuan Islam yang menjadi kebanggaan umat sepanjang zaman. Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah, akhirnya setelah sekian lama berusaha dan berganding bahu dalam menyiapkan laman web rasmi Perubatan Iskandariah, detik bersejarah ini menjadi saksi bahawa laman web Perubatan Iskandariah berjaya dilancarkan dengan rasminya serta menjadi kebanggaan seluruh warga perubatan Iskandariah. Perubatan Online Iskandariah menjadi nama yang bakal mengubah suasana perhubungan maya di Alexandria ini yang mana bukan sahaja kita memiliki Alexmedicalteam sebagai medium utama internet bahkan kini kita dilengkapi juga dengan laman web rasmi Perubatan Iskandariah sendiri. Saya mewakili semua warga PERUBATAN Cawangan Iskandariah sebenarnya  meletakkan harapan yang begitu besar agar wadah media seperti ini dapat kita aplikasikan seoptima mungkin demi kebaikan dan manfaat buat seluruh ahli persatuan. Perubatan Online Iskandariah yang direka dengan sebegitu unik dan ekslusif semestinya menjanjikan kelebihan dan kepuasan kepada semua, bukan sahaja gabungan warna dan gaya sentuhan yang menyejukkan mata, konsep dan peranan yang dimainkan oleh laman web ini juga telah dipersembahkan dengan sebaik mungkin selaku medium utama Perubatan Iskandariah. Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh warga PERUBATAN Cawangan Iskandariah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan laman web ini sehingga dapat dilancarkan dengan rasminya untuk seluruh ahli persatuan.

Saya juga menyeru agar semua ahli persatuan mengambil sepenuhnya manfaat dan kelebihan yang tersedia dengan adanya laman web rasmi kita ini, semua pastinya sedia maklum betapa pentingnya laman web ini yang bakal bertindak sebagai pusat multimedia komunikasi dan maklumat serta medium yang memudahkan sebarang urusan kerja kita di Alexandria. Sehubungan itu, kita sentiasa mengalu-ngalukan sebarang komen dan saranan sebagai penambahbaikan kepada laman web ini dan secara tidak langsung pengendaliannya dapat dipermudahkan lagi serta mutunya dapat dianalisis dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa insyaAllah. Harapan saya agar kebersamaan dan perpaduan yang terbina antara kita semua dapat diteguhkan lagi sejajar dengan optimisnya matlamat yang dibawa oleh Perubatan Online Iskandariah sebagai wadah penyatuan warga Iskandariah. Bersama-sama kita doakan agar segala usaha dan gerak kerja kita dalam mencipta, mengaplikasi dan mengemaskini Perubatan Online Iskandariah  ini diberkati Allah SWT dan dihindarkan oleh Allah daripada segala kesulitan dan kerumitan yang mungkin terjadi. Amin Ya Rabbal ‘alamin. Akhir kalam, terima kasih daun keladi dan tahniah sekali lagi, ayuh kita mulakan eksplorasi kerana pastinya manfaat yang menanti. Selamat menggunakan Perubatan Online Iskandariah buat semua!Wassalamu ‘alaikum warahmatullah..

“MENGUNGGULI KECEMERLANGAN, MENGERAT KEBERSAMAAN”

MOHD HAFIDZUDIN BIN ABD RAZAK,

(PENGERUSI PERUBATAN CAWANGAN ISKANDARIAH)

Sukakan artikel ini? Kongsi dengan rakan-rakan anda! :